Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, September 26, 2010

Kehinaan Syirik

Allah SWT dengan jelas telah menyatakan bahawa tujuan asas diciptakan manusia, begitu juga makhluk jin, hanyalah untuk beribadah kepada-nya. Itulah yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya, di dalam surah az-Zariyaat ayat ke-56:
“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah mengabdikan diri mereka kepada-Ku”

Sesungguhnya, tujuan tertinggi penciptaan manusia ialah untuk mentauhidkan Allah SWT. Agar manusia benar-benar mengenali siapakah pencipta sebenar alam ini. Dan Allah SWT menciptakan segalanya, daripada tiada kepada ada, dengan hanya satu tujuan, iaitu agar kekuasaan dan kebesaran-Nya dikenali oleh sekalian makhluk-Nya.

Allah berfirman:
“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan daripada bumi itu sepertinya juga, terus menerus berlaku perintah Allah di antara mereka itu (yakni alam langit dan bumi); supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi akan tiap-tiap sesuatu itu ilmu-Nya” (surah at-Tolaq: ayat 12)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, adalah jelas, dosa syirik itu merupakan sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang makhluk terhadap penciptanya. Kenapakah dosa syirik itu dikatakan sebagai dosa yang paling besar? Ini disebabkan, syirik itu adalah penyelewengan tertinggi seseorang insan daripada akidah tauhid, yang merupakan tujuan dia diwujudkan oleh Allah SWT.

Syirik membawa maksud, mempersekutukan Allah SWT dengan mana-mana makhlukNya dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad. Penyekutuan ini berlaku sama ada dalam peribadatan, keyakinan terhadap kekuasaan mahupun menumpahkan rasa kehambaan kepada sesuatu selain Allah.

Seseorang yang melakukan syirik, tidak semestinya mengengkari ketuhanan Allah SWT, malah cukup dengan merasakan disamping allah ada satu kuasa lain yang mampu memberikan manfaat dan mudarat yang mutlak. Contohnya, di awal kemunculan Rasulullah SAW sebagai rasul di Makkah, golongan Quraisy yang tidak menerima dakwah baginda disebut sebagai kaum musyrikin, yakni orang-orang yang melakukan syirik. Kenapa? Ini disebabkan, selain tetap meyakini bahawa Allah itu adalah tuhan, tetapi mereka juga menyembah berhala-berhala yang diberikan pelbagai nama dan fungsi. Malah dikatakan, di sekeliling Kaabah ketika itu, terdapat tidak kurang 360 jenis berhala.

Syirik merupakan dosa besar yang paling besar. Abdullah bin Mas’ud r.a. menceritakan, “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. , “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?” Baginda bersabda, “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah (yakni syirik), padahal Dia-lah yang telah menciptakan Mu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syirik merupakan satu bentuk dosa yang amat besar. Malah sebahagian ulamak mengeluarkannya daripada senarai dosa, malah syirik dikategorikan sebagai perkara yang membatalkan iman. Apa yang jelas, syirik adalah sebesar-besar kezaliman yang dilakukan oleh seorang manusia terhadap Allah, yang telah menciptakan manusia dan seluruh makhluk ini.

Allah sendiri mensifatkan syirik merupakan satu kezaliman yang besar. Allah berfirman di dalam surah Luqman ayat ke-13:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak ku, janganlah engkau mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Kesyirikan mempunyai sejarah yang lama. Syirik telah bermula seawal zaman Nabi Syith a.s. setelah wafatnya Nabi Syith a.s. lalu tinggallah beberapa orang pengikutnya yang soleh, yang meneruskan ajaran yang telah ditinggalkan oleh Nabi Syith a.s. Setelah orang-orang soleh ini meninggal, lalu dibina patung-patung sebagai memperingati tokoh-tokoh tadi. Setelah berlalunya beberapa generasi, patung-patung yang asalnya hanya sebagai tanda ingatan, akhirnya mula dimuliakan dan dijadikan tumpuan pemujaan. Maka, bermulalah dosa syirik dalam kalangan manusia.

Begitu juga, apabila manusia mula berkembang di atas muka bumi ini, lama kelamaan, mereka mula melupakan ajaran-ajaran tauhid yang murni yang telah dibawa oleh para rasul. Al-Quran merakamkan, betapa seluruh para rasul membawa risalah dan dakwah yang sama, iaitu untuk mengajak manusia agar mentauhidkan Allah dalam keimanan mereka, serta meyakini bahawa, hanya dalam mentaati titah perintah Allah yang diimani itu, mereka akan berjaya dan mulia di sisi Allah.

Bermula kesesatan dengan kesyirikan dalam bentuk menyembah berhala, maka timbul pula kesyirikan, apabila manusia yang telah melupakan ajaran rasul yang diutuskan kepada mereka, mula meyakini bahawa unsur-unsur alam ini mempunyai kuasa yang tersendiri dan sebahagian daripada alam ketuhanan. Ini kita dapat lihat contohnya, melalui kisah Nabi Sulaiman a.s. dan Puteri Balqis yang memerintah kerajaan Sabak di Yaman. Apabila burung hud-hud telah melaporkan bahawa dia telah melihat suatu kaum yang sedang menyembah matahari.

Ada pula kelompok manusia, walaupun mereka masih beriman dengan Allah sebagai tuhan, tetapi mereka juga percayakan bahawa ada unsur atau makhluk lain yang juga berkuasa disamping Allah. Ada yang meletakkan kepercayaan kepada bahawa Allah itu mempunyai anak. Atau malaikat itu adalah anak-anak Allah. Ada yang memberikan sifat yang tidak selayaknya kepada Allah. Ini semua adalah syirik yang secara nyata telah membatalkan iman seseorang dan mengeluarkan seseorang itu daripada agama islam.

Islam mengajarkan tauhid yang murni kepada Allah SWT. Tauhid merupakan asas segala asas di dalam ajaran Islam. Tauhid inilah yang merupakan lawan kepada syirik. Allah SWT menjelaskan tentang tauhid murni melalui surah al-Ikhlas. Perkataan ‘al-ikhlas’ ini membawa makna ‘tauhid yang bersih daripada sebarang syirik’.

Allah berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengannya". (surah al-Ikhlas ayat 1 -4)

Daripada surah ini, adalah jelas bahawa antara elemen syirik yang utama ialah apabila kita meyakini kepada kuasa-kuasa lain selain Allah, bahawa mereka juga layak menjadi pusat tumpuan memohon sebarang hajat. Seperti meyakini bahawa matahari itu mempunyai kuasa untuk menyampaikan hajat. Atau bernazar di kuburan dengan keyakinan bahawa kubur keramat tersebut boleh mengurniakan apa yang dihajati. Begitu juga, apabila membuang ancak di akar pokok yang besar, kerana meyakini jika tidak berbuat demikian, akan ditimpa bala.

Satu lagi contoh kesyirikan yang boleh membawa terkeluarnya seseorang daripada agama Islam, apabila pergi kepada bomoh atau tulang tilik, lebih-lebih yang bukan Islam, lalu bertanyakan atau menilik perkara-perkara yang ghaib, seperti ingin tahu bilakah seseorang itu akan mati?... Menilik adakah si polan ini yang melakukan begini begini… penilikan sebegini merupakan dosa-dosa besar yang membatalkan iman seseorang..

Sebagaimana amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w.:
"siapa yang mendatangi seorang dukun/peramal, lalu mempercayai apa yang dia katakan, maka dia telah kafir kepada apa yang telah diturunkan kepada Muhammad saw"
(Hadis riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah).

Apa yang menarik untuk diperhatikan hari ini, jika dulu manusia melakukan syirik kerana kesesatan mereka dalam akidah, apa yang terjadi hari ini, manusia sanggup melibatkan diri dengan dosa yang dahsyat ini semata-mata kerana hawa nafsu dan kecintaan mereka kepada keduniaan. Kita dapat saksikan, betapa ramai umat Islam sendiri, yang sanggup menyembah kuburan, melakukan perkara khurafat, dan sebagainya, semata-mata untuk mendapatkan nombor ekor supaya menang dalam perjudian. Sedangkan perbuatan tersebut, hakikatnya merupakan satu contoh yang jelas kepada dosa syirik.

Syirik merupakan satu dosa yang akan mencabut ketenteraman daripada hati seseorang. Kehidupan mereka di dunia akan sentiasa dalam gundah gulana dan kegentaran. Ini adalah janji Allah sebagai hukuman di dunia.

Allah mengingatkan:
“Kami akan isikan hati orang-orang yang kufur itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Sllah dengan benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.”

Seterusnya, hukuman yang menanti di akhirat adalah hukuman yang jauh lebih dahsyat. Kedahsyatan yang berganda-ganda! Allah menggelarkan syirik itu sebagai satu dosa yang besar dan tidak terampunkan. Lalu hukumannya ialah diharamkan daripada memasuki syurga, dan seterusnya dicampakkan ke dalam neraka.

Allah berfirman:
“Sesungguhnya allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukannya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisaa’: ayat 48)

Seterusnya Allah menegaskan lagi:
“…bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim" (Surah al-Maaidah: ayat 72)

Kesyirikan bukanlah suatu dosa yang boleh diremehkan. Pertaruhannya bukan masalah antara hidup dan mati, tetapi ancaman untuk kekal selama-lamanya di dalam neraka. Syirik adalah dosa yang perlu diperolehi keampunannya sebelum seseorang itu meninggal dunia. Mati tanpa taubat dan kembali kepada Islam, maka dosa syirik ini tidak ada harapan pengampunannya di sisi ALlah pada hari Akhirat nanti.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah sendiri:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari ahli kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.” (Surah al-Bayyinah: ayat 6)

Malah bagi perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang itu daripada agama Islam, maka cara yang perlu dilakukan untuk bertaubat ialah sebagaimana cara seorang yang murtad bertaubat dan kembali kepada Islam. Yang mana, bukan sahaja perlu memperbaharui syahadah dengan disaksikan oleh dua saksi yang adil, malah orang tersebut perlu mengqada kesemua amalan-amalannya yang lalu.

Sebenarnya, masalah syirik adalah satu perkara yang sangat perlu diperhatikan dengan serius dan cermat. Sebagai seorang insan yang sememangnya diletakkan di atas muka bumi ini dengan berbagai-bagai ujian, maka perkara yang paling perlu dihindarkan ialah daripada terperangkap dengan kedahsyatan dosa syirik.

Kadang-kadang, kita tidak bermaksud untuk melakukannya. Sebagai contoh, anak kita menghadapi penyakit misteri, lalu kerana terdesaknya kita untuk merawat dan menyembuhkan sakit anak kita itu, adakalanya hingga sanggup pergi kepada dukun yang bukan beragama Islam, yangmana kaedahnya berasaskan perkara yang syirik. Ini adalah satu contoh mudah dan sering terjadi.

Begitu juga, kononnya kerana terlalu cintakan pasangan kita, hingga sanggup kita bomohkan pasangan kita dengan kaedah-kaedah yang khurafat dan syirik. Ini semua amalan syirik yang akan merugikan kita di Akhirat nanti, dengan ancaman akan kekal selamanya dalam bakaran dan kehinaan api neraka.

Mendepani masalah syirik ini, antidot utamanya ialah tauhid dan keyakinan yang sahih kepada Allah SWT. Medan atau tempat kepada tauhid dan keyakinan ini ialah hati manusia. Disebabkan itulah, semua para rasul telah diutuskan dengan membawa dakwah dan risalah yang sama, iaitu untuk mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mu’minuun ayat 32:
“Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka (dengan seruan): "Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?"

Hari ini, hati masyarakat Islam perlu kembali dipupuk dengan tiga perkara:

Pertama, kemantapan akidah. Ini bermaksud, umat Islam perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu akidah yang sahih dan mantap. Perkara ini mungkin lebih mudah untuk dicapai. Terutamanya di Malaysia, subjek Pendidikan Islam merupakan pelajaran yang wajib dalam arus perdana sistem pendidikan kebangsaan. Manakala pendekatan yang bersifat pembelajaran sepanjang hayat perlu dilaksanakan dengan lebih aktif. Masjid, pusat-pusat pengajian dan media massa perlu dioptimumkan sebaiknya sebagai wadah ilmu-ilmu akidah ini disebarluaskan. Melalui penekanan kepada keilmuan akidah yang tepat sebagaimana dianjurkan oleh ahlus-sunnah wal-jamaah, baharulah umat Islam akan dapat membezakan sesuatu ajaran atau perbuatan itu adakah syirik atau tidak.

Kedua, tauhid yang sahih. Umat islam hari ini perlu kembali dididik untuk benar-benar meyakini dengan kebesaran dan kehebatan Allah SWT. Hanya Allah yang memegang secara mutlak segala manfaat dan mudarat. Sebagaimana di dalam azan dan di dalam takbiratul ihram, kita diperingatkan agar menghayati seruan “Allahu Akbar!”, hanya Allah sahaja yang maha besar, dan selain daripada Allah semuanya kecil! Maka penghayatan yang sama perlu dibawa ke dalam seluruh kehidupan kita. Maka hati kita perlu hanya bergantung dengan Allah. Cara yang paling sederhana ialah, selain diadakan majlis berkenaan ilmu-ilmu agama, perlu juga disuburkan dikalangan ummah, majlis-majlis yang memperkatakan tentang kebesaran dan kemutlakan kudrat dan iradat Allah SWT. Melalui majlis ini juga, umat akan diajarkan bagaimana mereka benar-benar dapat menghayati ungkapan ‘Allahu Akbar’ di dalam hidup mereka.

Ketiga, umat Islam perlu diperingatkan sentiasa secara lisan dan praktikal, bahawa kesalahan-kesalahan syirik ini ada hukumannya. Sama ada hukuman secara undang-undang syarak di dunia ini, mahupun hukuman yang lebih berat lagi di Akhirat nanti. Terutamanya bagi pesalah yang telah disabitkan terlibat dengan amalan-amalan khurafat atau telah disahkan terjebak dalam isu kemurtadan.

Sebenarnya, dosa syirik ini merupakan kemungkaran yang paling besar yang perlu kita secara bersama mencegahnya. Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan:
“Barangsiapa yang menemui Allah (yakni meninggal dunia) sedang dia ada mempersekutukan Allah dengan sesuatu, maka dia akan masuk neraka!” (hadis riwayat Muslim)

Untuk mencegah syirik, kita perlulah menyeru masyarakat kepada tauhid dan keimanan yang kental kepada Allah SWT. Usaha secara bersepadu perlu dilakukan oleh seluruh lapisan masyarakat islam. Agama itu nasihat. Dan agama amat menekankan agar kita saling tolong menolong atas kebajikan dan ketaqwaan.

Pendidikan merupakan medium asas untuk menerapkan penghayatan tauhid. Pendidikan yang paling asas ialah pendidikan di rumah. Di sini, ketua keluarga sesuatu keluarga itu perlu memainkan peranan mereka. Cubalah wujudkan suasana belajar dan mengajar agama di rumah-rumah kita.

Begitu juga pada peringkat komuniti. Masjid memainkan peranan yang amat penting. Disamping bermacam program dan pengajian yang telah dijalankan di masjid-masjid, adalah sangat perlu juga untuk ‘orang-orang’ masjid pula yang melakukan down-to-earth kepada ahli masyarakat. Para imam dan ustaz, perlu menjadi seperti hujan. Yang sedia menurunkan airnya walau di mana sahaja. Sikap menjadi seperti perigi yang hanya menunggu orang datang untuk mendapatkan airnya sudah tidak berapa sesuai lagi. Ustaz, imam dan orang surau, mereka perlu lebih proaktif untuk mendekati dan mendatangi masyarakat dengan penuh kasih sayang.

Manakala di peringkat negara, pihak yang berwajib perlulah memperkasakan lagi sistem pembelajaran agama islam. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilakukan, sesuai dengan kuasa yang dimiliki oleh mereka. Penilaian semula kepada kandungan media massa juga perlu dilakukan, agar segala unsur tauhid dapat ditegakkan manakala unsur syirik pula dapat ditegah.

Sekiranya semua pihak memainkan peranannya masing-masing, insya Allah, satu suasana yang kondusif akan muncul di dalam masyarakat bagi memastikan segala punca dan amalan syirik yang ada akan dapat dibanteras; serta suasana nur tauhid dan iman akan mampu bersinar terang.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin