Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Friday, April 25, 2008

Fendi A to Z meninggal

KUALA KEDAH: Bekas anggota kumpulan A to Z, Affendey Zainon, 39, atau lebih dikenali sebagai Fendi meninggal dunia akibat diserang angin ahmar selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Norma Md Akhir, 58, dan bapanya, Zainon Cha, 58, di HSB, kira-kira jam 9.30 pagi semalam. Kumpulan A to Z popular dengan lagunya Itik Gembo-gembo dan Berdendang pada 1990-an.

Lebih 200 orang, termasuk sanak saudara dan peminat menziarahi Allahyarham di rumah keluarganya di Taman Harapan di sini, untuk memberi penghormatan terakhir.


Adik perempuannya, Zailiawati Zainon, 32, berkata abang sulungnya itu diserang angin ahmar sejak Disember tahun lalu dan sejak itu arwah tidak berselera makan sehingga menyebabkan badannya semakin susut. Katanya, Ahad lalu, abangnya mengadu sesak nafas dan beliau kemudian membawa Fendi ke HSB untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dengan keadaannya yang tidak bermaya.

“Saya memujuknya supaya pergi ke hospital tetapi dia hanya mendiamkan diri. Tak sangka pula dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Harapan di sini, semalam.

Beliau berkata, abangnya hanya sempat menyertai kumpulan A to Z selama dua tahun dan berhenti dari dunia hiburan untuk menyertai kumpulan tabligh.

Zailiawati berkata, abangnya pernah menyatakan hasrat untuk membina sebuah sekolah pondok di Langkawi untuk mengajar agama kepada golongan muda.

"Beliau (arwah) sudah meninjau kawasan untuk didirikan sekolah pondok itu tetapi saya tidak pasti bila akan membina sekolah berkenaan kerana beliau hanya memaklumkan perkara itu kepada ibu."Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila meninggal dunia pagi tadi (semalam) dan kami sekeluarga reda kerana beliau pergi dengan tenang," katanya.

Zailiawati berkata, abangnya yang masih bujang, terus menyimpan Anugerah Platinum yang pernah dimenangi ketika menjadi artis selain majalah hiburan lama yang memaparkan kisah dan gambar kumpulan berkenaan.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kedah, selepas solat Asar, petang semalam. Fendi menganggotai kumpulan A to Z pada 1995 bersama dua anggota lain iaitu Lan dan Jeff tetapi hanya sempat merakam dua album bersama kumpulan itu, sebelum mengambil keputusan untuk bersara dari dunia artis.

Sumber: Berita Harian/Nasional/24.04.2008

No comments:

Blog Widget by LinkWithin