Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Wednesday, December 31, 2008

1 Muharam 1430H dan 1 Januari 2009M

Alhamdulillah... Puja dan puji hanya dan sebenarnya milik Allah. Dia-lah Allah, Tuhan Yang Esa. Satu-satunya Sang Pencipta, dan selain daripada-Nya, semuanya diciptakan. Maka, antara ciptaan-Nya yang paling purba ialah 'masa' itu sendiri. Sebelum diciptakan masa, tidak ada sebelum, sedang dan sesudah. Tidak ada saat, minit dan jam. Tidak ada semalam, hari ini dan esok. Tidak ada minggu, bulan dan tahun. Lalu diciptakan masa. Semuanya hanya terbit daripada Kudrat dan Iradat Mutlak Allah Taala.

Sama seperti manusia. Sebelum Allah menciptakan manusia, tidak ada makhluk yang bernama manusia. Tidak dikenal malah tidak disebut pun tentang makhluk manusia. Begitulah juga masa! Sebelum Allah menciptakan masa, tidak ada makhluk yang bernama masa. Lalu segala Hukum Masa tidak pernah dikenal dan berlaku.

Apa sahaja masa dan tarikh yang disebut oleh kita, pada hakikatnya adalah simbol kepada masa. Dan dengan 'masa' inilah Allah Taala telah bersumpah, bahawa seluruh manusia itu berada dalam kerugian!


Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian!
Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh;
Dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran
Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya menukilkan kata-kata Imam Asy-Syafi'ie rahimahullah, "Sekiranya manusia benar-benar bertadabbur (memikirkan dengan mendalam akan surah ini, sudah memadailah (surah ini) bagi mereka!".

Seterusnya Imam Ibnu Khathir memberikan komentarnya, "Maka Allah Taala telah bersumpah dengannya (yakni masa), atas bahawasanya manusia itu dalam keadaan 'khusr', iaitu kerugian dan kebinasaan."

At-Tobari pula menyatakan, ayat ini menyatakan bahawa, "Seluruh anak Adam itu dalam keadaan kebinasaan dan kerugian".

Di dalam Tafsir Adwa-ul Bayaan oleh Asy-Syanqiti ditegaskan bahawa huruf 'alif-lam' pada perkataan 'insan' itu ialah "alif-lam lil-jinsi"yang memberikan makna perkataan insan itu meliputi makna semua manusia sama ada yang kafir atau yang beriman. Tantowi di dalam tafsir 'Al-Wasit'nya juga memberikan kesimpulan yang sama.

Allah, yang telah menciptakan masa, serta yang juga menciptakan manusia, telah bersumpah bahawa kita semua dalam keadaan kerugian dan kebinasaan sentiasa, melainkan kita berusaha untuk memiliki empat perkara:

1. iman;
2. amal soleh;
3. berpesan-pesan dengan 'kebenaran'; dan
4. berpesan-pesan dengan 'kesabaran'.

Imam At-Tobari menukilkan di dalam Tafsirnya bahawa Qatadah dan Al-Hasan menyatakan, makna 'al-haq' (kebenaran) di sini ialah Kitabullah yakni Al-Quran Al-Karim. Qatadah dan Al-Hasan juga menyatakan, makna 'as-sabr' (kesabaran) pula ialah ketaatan kepada Allah Taala.

Manakala pengarang Tafsir Adwa-ul-Bayaan pula menyimpulkan bahawa, makna 'berpesan-pesan dengan kebenaran' di sini seolah-olah sama dengan seruan 'saling ingat-mengingatkan atas Jalan Yang lurus dan beristiqamah di atasnya, sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah Al-Fatihah.

Imam Al-Fakhru ar-Raazi pula memberikan komentarnya bahawa, sesungguhnya Allah Taala apabila mengkhabarkan keadaan orang-rang yang terselamat daripada kerugian itu, dengan kejayaan mereka disebabkan amal soleh dan keimanan mereka; Allah menyatakan pula kepada mereka bahawa adalah tidak memadai dengan memiliki apa yang berkaitan dengan diri mereka sahaja, bahkan diambilkira juga apa yang berkaitan dengan diri orang lain, yakni dengan mengajak orang lain kepada perkara yang membawa kejayaan kepada mereka, atas batasan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., "Kasihilah kepada saudaramu, apa yang kau kasihi untuk diri kamu sendiri."

Jelas di sini, kejayaan dan keselamatan daripada kerugian dan kebinasaan di dunia dan akhirat ialah apabila kita benar berusaha atas iman kita, berusaha atas amalan soleh kita, saling mendakwahkan dan memberi peringatan agar berpegang dengan pengamalan agama yang sempurna dan saling mendakwahkan agar istiqamah dengan ketaatan.


Semoga tarikh 1 Muharram 1430H dan 1 Januari 2009M ini dapat mengingatkan kita, bahawa kemuliaan dan kejayaan kita ialah dalam agama, sejauhmana kita dapat taat perintah Allah, sebagaimana tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Dan dalam masa yang sama, kita juga mengingatkan saudara-saudara kita yang lain, tentang perkara ini.

Sunday, December 14, 2008

Catatan di Cameron Highland 2008...

Alhamdulillah, puja dan puji milik Allah semata-mata. Maha Agung Allah lagi sempurna Jalal dan Jamal-Nya. Hanya Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Wujud lagi hanya layak disembah. Dialah Al-Khaliq (Sang Pencipta). Tiada pencipta lain lagi selain Dia. Selain daripada-Nya, semuanya diciptakan. Dan Dia Maha Memiliki lagi Maha Menguasai segala ciptaan-Nya. Maka antara ciptaan-Nya di atas muka bumi ini, ialah diciptakannya gunung-ganang dan bukit-bukau. Dihiasi dengan segala kesesuaian flora dan faunanya. Rujuk akhirnya hanya menyatakan Keesaan-Nya. Dia-lah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia!

Setelah dapat menyambut Aidil Adha selama dua hari. Setelah habis-habisan dijamu dengan juadah daripada lembu korban, pada 10 Disember 2008 jam 11.30 pagi, saya dan keluarga mula bergerak meninggalkan rumah Abuji. Kami menuju dahulu ke rumah bapa saya untuk pamitan dan bersalam-salaman. Kemudian ke rumah nenek saya di Kg. Rupek, Kota Bharu. Ini adalah rutin wajib sebelum saya meninggalkan bumi Kelantan dan balik ke Putrajaya.

Lebih kurang jam 12.00 tghr, kami mula keluar daripada batasan kampung saya dan bergerak menuju ke Gua Musang. Kali ini, saya tidak akan terus balik ke Putrajaya, kerana perlu ke Cameron Highland terlebih dahulu. Tujuan ke sana ialah untuk memenuhi jemputan Kem. Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk program Kursus Penyegaran Emosi AKRAM mereka. AKRAM ialah akronim untuk Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia. Saya diminta berkongsi dengan para AKRAM tentang "Tafakkur Zihni". Setelah berhenti makan tengahari yang lewat di Gua Musang, kami meneruskan perjalanan melalui jalan Gua Musang - Lojing - Cameron Highland.

Akhirnya, sekitar pukul 7 mlm, kami tiba di Brinchang, Cameron Highland. Keesokannya pada sebelah pagi, ialah slot "Tafakkur Zihni". Saya benar-benar berharap, apa yang telah dikongsikan, akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para peserta.

Petangnya, saya membawa keluarga untuk menikmati keindahan dan suasana Cameron Highland. Kali terakhir kami ke sini, 'Ubaid masih lagi bayi. Kini umurnya 'dah pun mencecah 3 tahun. Kunjungan kami kali ini, giliran Itmi'nan pula sebagai bayi. Anak-anak nampaknya begitu teruja. Mereka meminta untuk ke Taman Agro Mardi di Tanah Rata. Mereka mahu tengok pokok dan buah epal di sana. Untuk tidak menghampakan, setelah makan tengahari di KFC Brinchang, kami semua berkejar ke Tanah Rata. Alhamdulillah, cuaca juga agak mesra hari itu, jadi dapatlah anak-anak saya memuaskan hati mereka dengan melawat dan mempelajari tentang flora dan fauna yang ada di Taman Agro Mardi tersebut. Hampir dua jam jugalah kami di sana.

Seterusnya, kami bersetuju untuk minum teh di Tea Shop, Bharrat Plantation Tea, Ringlet. Bagaimanapun, agak hampa kerana teh tarik yang didamkan telah kehabisan.

"Macamana teh boleh habis kat ladang teh ni?", hati saya menyoal.

Bagaimanapun, saya telan sahajalah gumaman hati saya 'tu. Kami order minuman lain dan memesan kek keju strawberi. Sambil menikmati minum petang, kami menikmati sama pemandangan 'lautan' pokok teh yang menghijau dan 'beralun serta berombak'. Anak-anak nampaknya begitu 'terpikat' dengan pemandangan hijau yang hebat ini.

"Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau ciptakan ini semua dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka jauhkanlah kami daripada api neraka.", terlintas maksud satu firman Allah. Semoga apa yang disaksikan ini, mendorong kami sekeluarga menjadi Ulul-Albab.

Indah dan hebatnya, bila bukit-bukau dijadikan bagai hamparan permaidani hijau yang saujana mata memandang. Betapa Allah telah hamparkan bumi ini untuk dimanfaatkan. Allah jugalah yang telah memberikan manusia kemampuan akal dan tenaga, untuk mengusahakan tanaman yang membentuk 'lautan hijau' yang hebat ini. Dan semua ini tidak akan dapat dirasai kehebatannya, jika tidak ada mata yang mampu melihatnya. Maha Suci Allah, yang telah menciptakan mata, dan meletakkan pada mata itu kemampuan untuk melihat. Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia!

Keesokannya, kami bertolak balik ke Putrajaya melalui jalan Cameron Highland (Kg. Raja) - Simpang Pulai. Dipertengahan jalan, sempat pula singgah di Kea Farm untuk membeli sedikit sayur-sayuran dan buah strawberi. Antara yang istimewa sedikit, ialah Teh Raja. Teh yang didakwa sebagai yang paling istimewa dan tersedap berbanding teh-teh lain. Seterusnya, singgah pula di Tea Shop, Bharrat Plantation Tea di bawah sedikit daripada Kg. Raja. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga menikmati teh tarik di sana. Setelah bergambar seketika, kami meneruskan perjalanan menuju ke Simpang Pulai. Seterusnya, daripada Simpang Pulai terus menuju ke Putrajaya.

Benarlah firman Allah Taala:

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada."
( Al-Hajj 22:46)

Friday, December 12, 2008

Utusan Malaysia, 8 Disember 2008


Pada hari pertama Aidil Adha, alhamdulillah, artikel saya yang bertajuk: "Ibadat Haji Pemacu Kemajuan Sosio-ekonomi Ummah" telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.



Artikel tersebut boleh dibaca melalui Arkib Berita Utusan di: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Catatan Aidil Adha 1429H

15 Zulhijjah 1429H

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah, masih diizinkan untuk meneruskan kehidupan di dunia ini. Kehidupan yang merupakan medan ujian, bagi menentukan bentuk dan corak kehidupan yang tiada penyudahnya, kehidupan yang kekal abadi. Abadi dan abadi.

Nampaknya, Aidil Adha kali ini masih lagi disambut dengan penuh keterujaan di kampung saya. Walaupun tahun ini, saya atau isteri tidak melakukan ibadah korban di kampung, kemeriahannya masih seperti dulu. Tahun ini saya lakukan akikah untuk anak saya melalui program akikah dan korban di Kemboja. Bila saya tahu bahawa syarikat yang menguruskan program tersebut, akan mengasingkan antara daging korban dan akikah; di mana daging akikah akan dimasak dan dijamu kepada saudara-saudara kita di Kemboja, saya ambil keputusan untuk mengakikahkan anak saya melalui program ini. Alhamdulillah.

Tahun ini, hanya bapa saya yang melakukan ibadah korban satu bahagian. Lembu yang diambil ialah lembu Pak Cu Soh, datuk saudara saya. Tidak silap saya, lima ekor lembu Pak Cu yang dikorbankan tahun ini. Alhamdulillah, lembu korban bahagian bapa saya, adalah lembu yang mula-mula sekali disembelih.

"Cepat la sikit sudahnya ni...", kata hati saya.

Di kampung saya (dan juga boleh dikatakan di seluruh Kelantan), setiap ekor lembu akan diuruskan oleh tujuh tuan korbannya. Masing-masing akan merebahkan lembu, melapah dan membahagikan daging-daging kepada tujuh bahagian untuk diambil oleh tuan masing-masing. jadi ibadah korban tidak dilakukan secara centralise. Tuan lembu pula, akan menyediakan makan tengahari untuk semua orang yang bergotong-royong menguruskan lembu korban tadi. Jadi terasa sungguh suasana ibadah korban dan hari raya korban 'tu.

Kali ini, semua adik beradik saya yang berada di tanah air balik ke kampung. Dua orang lagi adik saya sedang mengerjakan ibadah haji. Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur kepada mereka. Disebabkan semua balik, bilik di rumah bapa semua penuh. Jadi saya ambil keputusan untuk menumpang di rumah Abuji, bapa saudara sebelah isteri saya.

Walaupun bapa saudara, tetapi hubungan kami seperti anak dengan bapa. Inilah kelebihan keluarga isteri saya. Hubungan kekeluargaan antara anak saudara dan bapa saudara, bapa sepupu atau datuk saudara, amat rapat sekali. Banyak yang saya pelajari tentang kekeluargaan dan silaturahim daripada cara hidup keluarga sebelah isteri saya.

Apabila menyentuh tentang Aidil Adha, kita akan sering diperingatkan tentang pengorbanan. Lebih spesifiknya, pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim, Ismail dan Hajar 'alaihimus-salam. Maka kita akan diperingatkan tentang peristiwa mimpi Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anaknya Ismail. Serta betapa cekal dan ikhlasnya Ismail menerima perintah Allah untuk disembelih. Diiringi betapa hebatnya sabar dan redha seorang muslimah yang bernama Hajar menghadapi perintah ini. Sudahlah baru saja melahirkan anak, ditinggalkan suami di tengah lembah kontang Bakkah untuk membesarkan anaknya Ismail berseorangan diri, kini suaminya yang telah berbelas tahun meninggalkannya muncul dan mahu menyembelih anaknya sebagai korban. Inilah kisah hebat dan benar yang telah dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Bagaimanapun, kisah hebat pengorbanan agung ini, akan bertambah lengkap jika kita sedar bahawa kisah ini sebenarnya adalah satu kisah kekeluargaan. Kisah satu keluarga yang dipenuhi dengan keimanan. Inilah asas pengorbanan. Keimanan seorang bapa. Keimanan seorang suami. Keimanan seorang isteri. Keimanan seorang ibu. Keimanan seorang anak. Kisah ini telah dirakamkan untuk dikekalkan sehingga hari Kiamat. Kisah mereka ialah kisah keimanan yang membuahkan pengorbanan. Pengorbanan demi meninggikan kalimah Allah. Pengorbanan demi menyebarkan hidayah untuk umat manusia.
Maka, disamping keghairahan kita melakukan ibadah korban dengan menyembelih unta, lembu dan kambing; kita perlu juga fikirkan, bagaimana kita juga dapat membina sebuah keluarga yang menjadikan keimanan sebagai asasnya dan sentiasa bersedia untuk melakukan pengorbanan demi Allah, Rasul dan perjuangan menegakkan agama-Nya!

Saturday, November 29, 2008

Satu Perjalanan-Kata...

28 November 2008

Sekarang lebih kurang jam 9.00 malam. Alhamdulillah, penerbangan K.K. - K.L. ini berjalan dengan lancar. Setelah terhenti seketika untuk menikmati juadah nasi minyak MAS, alhamdulillah, saya berjaya juga menamatkan bacaan buku yang saya TERBELI di Lapanganterbang Kota Kinabalu tadi.

Buku 'tu nipis 'je. Cetakan 1992. 54 muka surat dengan harga RM52.00.

Mula-mula 'tu, saya ragu-ragu juga untuk membelinya, "Boleh tahan, mahal buku 'ni!" Hati saya berkata-kata.

Tetapi, bila teringat kata-kata mentor dan sifu saya dalam bidang kaunseling, iaitu Puan Raja Kamariah, "Buku ni, bila kita ada peluang, beli 'je. Kalau 'tak, nanti menyesal!"

Akhirnya terbeli jugalah buku tersebut.

Saya merasakan buku ini agak menarik, disebabkan nama pengarangnya ialah Dr. Paige Turner, manakala tajuknya pula ialah "How To Prove That Christianity Is Not True". Kalaulah penulisnya bernama Ahmad Deedat, Harun Yahya atau Zakir Naik, ada kemungkinan besar saya tidak akan membeli buku 'tu.

Lebih menarik lagi, bila membaca antara kata-kata 'Foreword' penulis, "Instead, this book provides a defense for individuals who are the targets of criticism by holier-than-thou "Christians" who think they have a monopoly on God."

Dari segi mauduk mahupun kandungannya, buku ini sederhana sahaja. Bagaimana pun, penulisnya yang menyebabkan saya amat teruja untuk membacanya. Kandungan buku ini dibahagikan kepada satu Mukadimah, sembilan Bukti dan satu Penutup. Menjadikan kesemuanya ada sebelas bab. Setiap apa yang dikatakan sebagai bukti, dibentangkan sebagai satu bab. Melalui pembacaan saya, ada hujah dan fakta yang pernah saya baca dan temukan; dan ada juga merupakan input baru kepada saya.

"Okay juga doktor perubatan 'ni menulis.", komen hati saya.

Premis asas atau hipotesis utama penulis ialah, jika Kristian itu agama yang benar daripada Tuhan, maka sumber ajarannya mestilah juga daripada Tuhan. Oleh itu, Kitab Perjanjian Baru (New Testament) mestilah benar-benar sesatu yang "devinely inspired, inerrant word of God". Kriteria nombor wahid yang menjadi kayu ukur kebenarannya ialah ia mesti bersih daripada sebarang kesilapan dan pertentangan; kerana sesuatu yang benar-benar bersih daripada kesilapan dan pertentangan pasti tidak mengandungi sesuatu yang tidak benar (untrue).

Dr. Paige Turner telah menguji kitab Perjanjian Baru (New Testament) berdasarkan premis ini. Akhirnya Dr. Turner telah menemui sembilan bukti terpenting (menurutnya) yang menunjukkan bahawa kandungan kitab itu ada yang tidak benar (untrue).

Saya merasa seronok membaca buku ini, kerana gaya penulisannya yang santai, seakan membawa saya menelusuri kajian penulis persis satu pengembaraan. Dari satu bukti ke satu bukti. Dimulai dengan bukti yang pertama iaitu pertentangan total antara The Gospel of Mattew dan The Gospel of Luke dalam memberikan tarikh atau waktu lahirnya Jesus. Menggunakan kata-kata yang mudah, kita dibawa menjelajah 'gospel-gospel' tersebut. Begitulah seterusnya sehingga kesemua sembilan bukti selesai dibicarakan.

Betullah kata-kata penulisnya dalam perenggan terakhir bab Kesimpulan, "Thank you for going on this word-journey with me."

Apa pun, setelah mengkhatamkan buku ini, timbul satu persoalan dalam benak fikiran saya, "Kenapa Dr. Turner yang begitu gigih dan berani mengkaji dan mencabar Bible dengan pemikiran yang kritikal, demi mendapatkan sebuah kebenaran, tiba-tiba terhenti pencariannya hanya sekadar mensabitkan bahawa kitab suci agama Kristian mengandungi sesuatu yang tidak benar (untrue) lalu telah menatijahkan satu kesimpulan bahawa agama Kristian itu juga tidak benar (untrue)?"

Alangkah moleknya jika Dr. Turner meneruskan pencariannya kepada kitab suci manakah pula yang benar-benar berasal daripada Tuhan dan tidak mengandungi apa-apa melainkan Kebenaran.

Tiba-tiba timbul keinginan yang sangat tinggi di dalam hati saya, untuk menghadiahkan kepada Dr. Turner senaskah terjemahan Al-Quran. Semoga ini akan benar-benar membantu beliau menemui noktah tuntas pencarian satu Kebenaran.

Alhamdulillah, pesawat MAS ini selamat mendarat di KLIA kira-kira sepuluh minit sedikit lewat daripada jadual asalnya...

Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin!

Saturday, November 22, 2008

Malfuzat Hadrat Al-Arif Billah Syaikh Zubairul-Hasan (d.b.)

Berkata Hadrat Al-Arif Billah Syaikh Zubairul-Hasan (damat barakatuh):

"Jangan pandang rendah kepada orang Islam yang lain. Kita tidak tahu kedudukan orang itu di sisi Allah. Allah yang tahu. Satu kisah Abdullah ibnu Mubarak, anak murid kepada Imam Abu Hanifah; beliau banyak buat usaha atas ilmu, 6 bulan keluar jalan Allah, 6 bulan lagi taklim, tulis kitab dan mengajar.

Kemudian seseorang telah memuji beliau, lalu katanya, "Semoga Allah memaafkan saya."

Beliau menyatakan, "Tukang besi di hadapan rumah saya lebih tinggi darjatnya daripada saya."

Orang yang memujinya, telah pergi ke rumah tukang besi tersebut, tetapi tukang besi tersebut rupanya telah meninggal dunia. lalu ditanyakan isterinya, apakah amalan istimewa arwah suaminya?

Isterinya memaklumkan, sepanjang masa suaminya membuat kerja besi, bila balik dia tidur. Tidak ada amalan-amalan istimewa yang lain. Bagaimanapun, ada dua perkara yang suaminya benar-benar pegang. Perkara pertama, bila dengar azan, walau apaun yang dia sedang buat, dia akan tinggalkan dan terus ke masjid, dia jaga solat fardhunya. Perkara kedua, dia selalu lihat jirannya Abdullah Mubarak sepanjang malam solat malam, sepanjang malam dia beribadat, sepanjang malam dia berdoa. Maka, setiap malam suaminya tidur dengan rasa menyesal kerana tidak ada kekuatan untuk bangun malam untuk bersolat.

Dia sering mengadu, " Ya Allah, sepanjang hari saya kerja buat besi, bila balik sudah letih tidak mampu untuk bangun solat malam seperti yang diamalkan oleh Abdullah Mubarak. Maafkanlah saya!"

Allah suka dengan pengaduannya, menyebabkan darjatnya menjadi lebih tinggi."
--------------intaha----------------------
Oh Allah, maafkanlah si faqir ini.....


Thursday, November 20, 2008

Peta Minda Surah Yaasiin


Memudahkan seseorang itu memahami isi kandungan surah Yaasiin
Oleh: Azran Jaffar

YAASIIN, surah ke-36 di dalam kitab suci al-Quran disebut sebagai hati al-Quran adalah antara surah yang kerap dibaca. Surah ini ‘dikeluarkan’ dan dijadikan kitab kecil , bagi memudahkan pembacaannya.

Namun, walaupun ramai yang menjadikan bacaan Yaasiin sebagai amalan terutama pada malam Jumaat selepas selesai fardu Maghrib, sementara menunggu waktu Isyak, mungkin juga tidak ramai yang memahami dengan mendalam apa yang dibaca.

Ini menyebabkan penghayatan terhadap maksud yang terkandung di dalam surah berkenaan bagaikan tidak sampai kepada pembacanya.

Bagi membantu masyarakat memahami kandungan surah Yaasiin dengan mudah, penceramah dan pendakwah, Mohd Gunawan Che Abdul Aziz mengambil inisiatif menghasilkan poster Peta Minda Huraian Surah Yaasiin.

Penerbitan poster berukuran A3 ini bagi memupuk sifat suka mengkaji dan mendalami ilmu agama di kalangan masyarakat dan ini membolehkan sesuatu amalan baik yang telah menjadi kelaziman, lebih banyak faedahnya yang dapat dimanfaatkan, katanya.

Mohd Gunawan berkata, amalan membaca surah Yaasiin sudah sebati dengan masyarakat kita, baik secara individu mahupun kolektif, maka amalan yang baik ini adalah sangat perlu dan dapat dilengkapkan dengan pemahaman serta penghayatan.

Ia sesuai dengan tujuan al-Quran itu sendiri diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada mereka yang bertakwa, katanya.

“Kita tahu ramai yang rajin membaca Yaasiin, tetapi adakah mereka benar-benar faham apa yang mereka baca,” kata Mohd Gunawan.

Katanya, apabila sudah memahami surah Yaasiin, seseorang itu akan dapat membacanya dengan penghayatan tak kiralah sama ada membacanya sendirian atau sewaktu menghadiri majlis tahlil.

Gunawan berkata, dalam menggunakan peta minda itu, ada baiknya bagi mereka yang tidak memahami bahasa Arab, meletakkan bersama mereka terjemahan al-Quran dan bagi memahami surah Yaasiin dengan baik, sekurang-kurangnya terdapat tujuh isi utama iaitu:

1. Yaasiin sebagai satu daripada siri himpunan enam surah yang lain.

2. Perkataan Yaasiin adalah satu daripada huruf Al-Muqotto’at di dalam al- Quran.

3. Zaman pewahyuan surah Yaasiin

4. Ringkasan surah

5. Gelaran sebagai ‘hati al-Quran’

6. Pembahagian ayat-ayat

7. Kesimpulan isi kandungan

Gunawan berkata, sebagai satu daripada himpunan enam surah, seseorang itu perlu juga memahami surah 34, 35, 37, 38 dan 39 untuk dapat menghayati surah Yaasiin. Surah berkenaan ialah surah Saba, Fatir, As-Saffaat, Sod dan Az-Zumaar yang mana kesemuanya menyentuh perkara-perkara pokok mengenai kerohanian.

“Apabila surah Yaasiin dibaca dan dihayati bersama lima surah yang lain itu, barulah kita akan nampak mesej antara keenam-enam surah itu,” kata Mohd Gunawan.

Peta Minda Huraian Surah Yaasiin perlu dilihat dari isi pertama sehingga ketujuh yang mana sambil memahami ia juga mendorong seseorang itu untuk mengkaji, katanya.

Katanya, dengan menggunakan peta minda ini ia sebenarnya lebih memudahkan seseorang itu dalam memahami isi kandungan surah Yaasiin, berbanding nota yang mungkin datang dalam beberapa halaman.

Melalui peta minda yang dibuat sebagai ringkas dan senang pada mata, sekali pandang seseorang itu sudah dapat menangkap apa yang digambarkan.

Gunawan berkata, selain untuk pemahaman individu, peta minda ini juga boleh digunakan oleh guru agama di dalam kuliah agama mereka bagi memberikan huraian mengenai surah Yassin.

“Oleh kerana ada tujuh isi yang dibincangkan, maka satu isi boleh diperjelaskan dalam kuliah seminggu sekali misalnya, dan ini bermakna keseluruhan peta minda boleh digunakan selama kira-kira dua bulan,” katanya.

Gunawan berkata, surah Yaasiin disebut sebagai hati al-Quran kerana ia membicarakan peribadi terpenting iaitu Rasulullah dan ajaran terpenting iaitu wahyu dan akhirat, selain surah Yaasiin juga ada pemiliknya (Sohib).

Beliau berkata, ilham untuk menghasilkan Peta Minda Huraian Surah Yaasiin timbul selepas melihat isterinya yang bertugas sebagai gura agama menyediakan peta minda sebagai nota mengajar.

“Dengan mengambil contoh peta minda yang ada, seseorang itu boleh membuat peta mindanya sendiri untuk perkara-perkara lain seperti untuk berjaya dalam kerjaya dan perniagaan juga pengurusan,” katanya.

Katanya, peta minda memanfaatkan bagaimana otak berfungsi secara neurologi dan ia membolehkan seseorang itu mendapat gambaran menyeluruh berkenaan sesuatu subjek dan juga membolehkan perincian kandungan subjek berkenaan disusun dan dipersembahkan dalam bentuk yang sistematik dan jelas.

Namun, untuk peta minda surah Yaasiin ini, matlamat akhir Gunawan adalah supaya masyarakat dapat menghayati surah berkenaan dan dapat mempraktikkan di dalam kehidupan mereka.

-----------------
Nota: Ini adalah salinan laporan akhbar Berita Minggu yang membuat liputan mengenai Peta Minda Surah Yasin saya.

Lama 'dah saya duk cari...

Saya pernah ternampak poster ni di satu surau dan juga melalui emel, tapi masa tu belum reti blog-blog ni... Hari 'ni sekali lagi saya dapat melalui emel rasmi saya... Kali 'ni saya abadikan dalam blog saya ni :-)



Semoga ada manfaatnya!

Wednesday, November 19, 2008

Titah Raja Nazrin

Hari 'ni, entah kenapa, semasa melayari bernama.com.my tadi, rasa tertarik pulak dengan laporan berita ini. Jadi saya memutuskan untuk abadikan dalam blog saya. Tuanku Raja Muda Perak 'ni, dalam banyak perkara saya begitu kagum dengan baginda. :-)

PETALING JAYA, 19 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah masyarakat pendatang di sesebuah negara perlu mempamerkan perasaan hormat dan penerimaan mereka terhadap tradisi, sejarah dan sistem kerajaan yang wujud di negara yang menerima mereka.

Bak kata pepatah Melayu 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung', titah baginda semasa merasmikan Forum Kepelbagaian Perkara mengenai Diaspora Dalam Komanwel kelima di Monash University di Bandar Sunway di sini.

"Oleh itu, anggapan bahawa beban tanggungjawab hanya terletak di bahu negara penerima mungkin tidak tepat," titah baginda apabila diminta memberi pendapat mengenai garis sempadan yang sepatutnya wujud antara hak seseorang individu dalam memilih cara hidupnya dan keperluan membentuk sebuah masyarakat yang utuh.

Raja Dr Nazrin bertitah bahawa di negara penerima, perbahasan awam tentang perkara berkaitan imigresen mempunyai kesan besar terhadap politik nasional dan hal ini terbukti apabila topik berkenaan menjadi isu utama dalam kempen pemilihan pemimpin di Australia dan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurut baginda, pendatang sering dituduh mengganggu masyarakat sivil, menghabiskan peruntukan awam dan menyebabkan kadar upah menurun, tetapi pada waktu yang sama, pendatang yang berkemahiran dipuji kerana menjadi pemangkin bagi peningkatan inovasi dan pertumbuhan sektor teknologi.

"Hingga ke tahap pendatang membayar cukai dan berhak menerima manfaat daripada perkhidmatan awam, mereka juga mengalihkan beban cukai bersih kepada penduduk pribumi.

Apabila mereka menjadi warga negara, pendatang secara umumnya mendapat hak untuk mengundi, mengubah politik tempatan," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, negara asal masyarakat pendatang pula menerima durian runtuh apabila pendatang mengirim pulang wang yang besar jumlahnya walaupun daripada satu segi lagi, negara itu kehilangan pekerja yang berpendidikan tinggi.

Titah baginda manfaat ekonomi yang diraih oleh negara penerima juga tidak kurang besarnya apabila masyarakat pendatang membentuk sekumpulan tenaga kerja yang sentiasa bersedia untuk bekerja dengan tekun dan menjadi kelompok pembayar cukai serta membantu mewujudkan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan yang pesat berkembang.

Mereka juga mengambil bahagian secara aktif dalam kehidupan sosial dan tadbir urus di negara angkat mereka, hinggakan ramai daripada mereka muncul sebagai pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik yang cemerlang serta tokoh perniagaan terkemuka, titah baginda.

"Malaysia merupakan contoh ketara bagaimana diaspora Cina, India dan bangsa lain memainkan peranan penting dalam pembentukan negara yang lebih pelbagai sifatnya serta makmur.

Hari ini, kesemua mereka menjadi sebahagian penting dalam lanskap Malaysia.

Pada waktu yang sama, rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat boleh ditemui di serata dunia dan kebanyakan mereka menjadi orang terkemuka dalam pelbagai bidang," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah diaspora hanya boleh serasi dengan masyarakat majmuk, yang bukan saja sanggup bertolak ansur, tetapi juga menghargai dan menggalakkan penyertaan aktif rakyat pelbagai kaum, budaya dan gaya hidup.

Dua asas paling penting dalam usaha melahirkan masyarakat majmuk, menurut baginda, ialah persamaan dan kesaksamaan.

Baginda bertitah prinsip persamaan dan kesaksamaan lebih memerlukan dasar integrasi, bukan dasar berkaitan asimilasi.

"Integrasi menerima dan mendapatkan; ia tidak memaksa. Ia menghormati dan menghargai perbezaan sebagai sesuatu yang patut diterima.

Integrasi menuntut wujudnya penyatuan manusia serta budaya, yang terikat oleh nilai bersama dan bekerjasama secara sukarela ke arah mencapai kebaikan bersama.

"Sebaliknya, asimilasi pula berusaha untuk mengubah bahasa, adat resam, agama dan malah, pandangan hidup.

Suatu ketika dulu, usaha pembinaan negara disangka tidak akan berjaya selagi perbezaan yang wujud, tidak ditenggelamkan dalam norma yang dominan. Selalunya, perkara ini dicapai melalui cara paksaan, yang tidak pernah mengenal belas kasihan."

"Atas nama perpaduan, masyarakat pendatang telah dipaksa supaya mengubah nama mereka, dihalang daripada menggunakan bahasa ibunda dan disekat daripada menyandang jawatan tertentu," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah kaedah yang menggunakan integrasi dalam pembinaan negara sukar untuk dilaksanakan, dan dalam banyak hal, lebih sukar daripada cubaan untuk memaksa wujudnya asimilasi.

Dalam sejarah manusia, titah baginda, peperangan sering digunakan bagi memaksa masyarakat yang memiliki perbezaan supaya menyesuaikan diri dengan acuan yang sama, atau menerima akibat akan dipinggirkan.

Malang sekali, hari ini pun, masih terdapat golongan yang memilih untuk menangani perbezaan dengan memaksa golongan yang berbeza dengan mereka supaya mengalah.

"Mereka sering menangani perbezaan dengan mendesak agar diwujudkan persamaan sosio budaya, bukan melalui penyesuaian diri," titah baginda.

Baginda bagaimanapun bertitah bahawa puak yang mengamalkan pendekatan integrasi juga mengalami masalah sendiri, manakala sesetengah negara yang mengamalkan kepelbagaian budaya pula, akhirnya mempunyai banyak kelompok masyarakat yang terpinggir dan terasing.

"Setiap masyarakat hidup secara terkepung dalam kotak kecil masing-masing, tanpa mempunyai hubungan dengan masyarakat lain.

Masyarakat ini terlerai daripada ikatan atau kepentingan bersama yang mendasari masyarakat arus utama.

Mereka bersikap utilitarian terhadap negara angkat mereka iaitu semata-mata sebagai tempat untuk mencari rezeki, bukan sebagai tanah air yang perlu disayangi," titah baginda.

Sambil menyifatkan integrasi sebagai suatu proses yang berjalan secara beransur-ansur dan merangkumi pelbagai tindakan oleh beberapa generasi, Raja Dr Nazrin bertitah bahawa secara umumnya, masyarakat pendatang berkongsi keperluan dan kemahuan yang sama iaitu untuk mencari makan, wang untuk berbelanja, pendidikan untuk anak mereka dan untuk menikmati kehidupan bermakna.

"Mereka mengimpikan kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, penjagaan kesihatan yang baik serta perlindungan apabila sudah berusia lanjut.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka, terutama generasi berikutnya, tetap mengharapkan agar mereka memiliki semangat kekitaan serta jati diri yang tinggi. Untuk diterima oleh masyarakat terbanyak dan tidak dilayan sebagai orang asing," titah baginda.

Sehubungan itu, titah Raja Dr Nazrin, tindakan sesetengah kerajaan Komanwel memperkenalkan dasar berkaitan kepelbagaian dalam perkhidmatan awam masing-masing, merupakan langkah tepat dan bersifat responsif kerana ia boleh membawa pelbagai kesan seterusnya.

"Kepelbagaian perlu digalakkan di segenap peringkat, termasuk di peringkat kerajaan tempatan dan masyarakat. Idea di sebalik kepelbagaian budaya ialah negara yang mempunyai rakyat yang terdiri daripada latar belakang budaya yang berbeza, perlu membenarkan mereka menjalani kehidupan secara bebas, tanpa dipaksa melakukan perkara yang tidak mereka sukai," titah baginda.

Baginda bertitah bahawa masyarakat pelbagai budaya kini semakin menjadi perkara biasa.

Bagaimanapun, titah baginda, bercanggah dengan segala macam retorik yang wujud sekarang, amalan kepelbagaian budaya bukan merupakan sumber kekuatan kerana masyarakat manusia gagal dalam mewujudkan semangat kemasyarakatan apabila bangsa, budaya dan agama kini menjadi perkara yang begitu dominan.

"Apabila kita beranggapan bahawa fragmentasi sosial adalah sesuatu yang baik, bukan sesuatu yang buruk, maka ada sesuatu yang amat tidak kena.

Giroskop moral kita sudah terlalu jauh menyeleweng. Sekiranya kita terus mengikuti laluan sekarang, bahaya besar akan menanti kita.

"Kita mesti mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kancah perkauman baru yang boleh membawa kerosakan, yang wujud pada zaman moden ini. Tidak ada perkara yang tidak boleh dielakkan.

Budaya boleh mewujudkan kerjasama dan boleh juga mengakibatkan berlakunya pertembungan."

Raja Dr Nazrin bertitah: "Kita perlu selamatkan agama daripada mereka yang ingin menyelewengkan kebenarannya dan menolak sikap radikal serta pelampau dalam pelbagai bentuk."

Persidangan dua hari itu dianjurkan Yayasan Kepelbagaian Budaya Australia dengan kerjasama Institut Kajian Gerakan Global Monash, Yayasan Komanwel, The Statesman of India dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

Ia akan membincangkan pelbagai topik, termasuk peranan diaspora dalam membantu mencapai wawasan serta mandat Komanwel serta peranan yang boleh dimainkan oleh diaspora dalam membentuk dan melaksanakan program Komanwel.

-- BERNAMA

Tuesday, November 18, 2008

Ada Apa Pada Cinta?

Saya panjangkan dari emel yang saya terima, dan tulisan ini asal sumbernya dari http://keretamayat.blogspot.com. Semoga ada manfaatnya:

( khas untuk orang bujang...)

Tak lama lagi cuti sekolah, lalu member-member sekepala dan awek-awek lama akan mengambil peluang ini untuk buat ‘masjid’ di sini sana…, selamat berumahtangga!!!

Maka aku selaku seorang yang selalu perasan sibuk, mengambil kesempatan di majilis perkahwinan korang dengan memberi nasihat percuma di sini sana, dapat bunga telurpun jadilah..he he he.

Namun nasihat ini bukan untuk mengajar korang bakal suami isteri akan teknik menginzalkan pasangan, atau teknik bermesra antara pusat dan lutut, juga bukan teknik mengambil hati mertua,...

Pendek kata, bukan untuk orang yang nak kahwin sebenarnya, tapi aku nak tujukan nasihat-nasihat ini kepada mereka yang masih bujang, atau bujang lapok, bujang andartu, janda, dan duda dudi sekalian…

Aku yang bukan ustaz ini nak nasihat tentang bagaimana supaya mereka mereka semua ini akan dapat berkahwin dengan segera pada musim cuti sekolah yang terrdekat ini…insyaAllah.

Korang sanggup terima cabaran ini?

Ayoh!!!!

Sebelum itu, mari aku bangkitkan keghairahan perasaan di lamun cinta dengan mengimbas sebuah cerita cinta biasa rakyat Malaysia yang berugama islam.

Cerita tentang aku dan dia dan mak aku dan bapak dia dan jiran aku serta jiran dia dan seluruh orang kampung aku dan orang kampung dia serta tak lupa juga terima kasih kepada balai bomba dan balai polis - dah start merepak!!!.

(Maaf, agak boring kerana bercerita tentang pengalaman aku sendiri..oh)

Pada awal 20-an, di suatu malam yang sepi, aku terjaga dari tidur.. aku di landa boring yang amat sangat, kesepian mulai mengcekam seperti di himpit kubur, kedinginan mulai meresap di seluruh tubuhku, aku terasa sunyi seperti saf belakang masjid yang kosong, aku memandang rakan rakan sekepala yang sedang tidur tanpa adab, ada aurat yang terbukak, ada bulu yang bergerak, aku gelak!
Lalu dengan galaknya tanganku menutup kemaluannya dengan bantal…
Aku capai gitar dan mulai menyanyi lagu tentang kesepian..

"dulu aku sendiri, kini masih sendiri
...hadapi hidup ini ...
susah-senang diriku tak bertempat mengadu
...seperti burung kepatahan sayap...
di hati kecil,
ku menaruh harapan....

Arghh, kenapa pulak aku menyanyi lagu Zaiton Sameon ..?cis!!!

Untuk menghilangkan rindu pada seks kerana aku masih bujang, Aku menukar kepada lagu yang lain daripada tema cinta..

(abaikan colour oren ini jika korang tak tahu bermain gitar, tapi jika korang nak nyanyi juga, sila ikut rentak lagu: "suci dalam debu"-iklim.)

intro
Dm Gm A Dm
Dm Gm A Dm

Dm Dm
Di satu malam yang sepi
Dm Gm
Pat mat pergi menjual topi
C F Dm
Topi pak mat koyak, pak mat jual tempoyak
A# A
Temboyak pak mat basi


Dm Dm
Tempoyak pak mat sudah basi
Dm Gm
Pak mat pergi menjual nasi..
C F Dm
Nasi pak mat enak, pak mat jual anak
A# A Dm
Anak pak mat hilang, pak mat jual gelang...

Dm

Gm C
Gelang Pak mat patah
F Dm
Pak mat jual getah
Gm C
Getah pak mat putus
A
Pat mat terus mampus!!!!

A
Dm
Mampus hidup balik
Gm
Pak mat jual apam balik
C
Apam balik pak mat laku
F
Pak mat jual kuku


Dm
Kuku pak mat tajam
Gm
Pak mat jual jam
C
Jam pak mat rosak
F
Pak mat rosak akhlak


Dm Gm C F
Bukan khayalan yang aku berikan
A# A Dm
Tapi keyakinan yang nyata


Dm Gm C F
Kerana Pak mat, sudah rosak akhlak
A# A Dm
Pasti akan masuk Neraka…


-----------

Tiba, tiba si anak pak taib, sound dan marah aku kerana memekak pagi-pagi buta!!!!
Aku terus buat-buat tidur-tidur ayam-ayam…

Suasana kembali sepi…, tiba tiba aku rasa 'stim', kehairahan mulai menjalar ke seluruh tubuh, perlahan lahan ada sesuatu yang berlaku..., jangtung bedegup kengcang....oh!

"Takkan mungkin kita bertahan
Hidup dalam bersendirian
Panas terik hujan badai"

Lagu siti nurhaliza pulak tergiang-ngian di telinga…

Malam itu .., jeng jeng jeng, aku tak dapat tidur kerana hati jadi sentimental dan keinginan untuk bersetubuh yang dahsyat, lalu aku keluar dari rumah dan naik motor keliling kampung…

Huh, nasib baik tak jumpa bohsia…, Allah masih sayangkan aku..isk..isk..

Beberapa hari kemudian..

Satu petang yang damai.., aku sedang tidur (tabiat yang tak bagus untuk orang islam kerana boleh mewarisi penyakit ..arghh, rujuk ustaz lagi baik!!)…

knock, knock!

Pintu rumah (sewa) di ketuk orang dan sayup..sayup terdengar bunyi orang bagi salam..

(bayangkan rumah sewa bujang yang berselerak, VCD, Halmet, majalah, komik, rokok dan lain-lain)

Aku bangun dengan malas menuju ke jendela…(macam lirik lagu ella pulak)

“terjagaku dari ridur yang lena, melangkah malas menuju jendela..”

Aku lihat ada lebih kurang 3 orang berserban dan berjubah, terus teringat akan aku yang belum solat asar lagi,

Nota: pemakaian kita adalah satu bentuk dakwah.

Pintu ku buka dan mereka dengan lemah lembut berceramah padaku…

Stop!

Aku suruh mereka berhenti….mereka agak sebaya dengan aku..

“Sebelum engkau bercerita tentang amalan ugama yang tinggi-tinggi kepadaku, cuba ceritakan amalan ugama yang paling rendah sekali darjatnya, kerana aku ni jahil, banyak dosa, aku nak belajar amal amalan ugama yang paling rendah…"

(masa tu aku bertanya dengan ikhlas, aku memang jahil masa tu, sekarang pun!!!)

Kata mereka lebih kurang: amalan ugama yang paling rendah adalah mengalihkan kayu di tengah jalan…

…..

Suatu petang yang lain, aku sedang menunggang motor RXZku dengan agak laju..(120 km/jam) , di jalanan aku terlanggar dahan kayu dan hampir jatuh..

Terus teringat akan aku tentang nasihat brother semalam…
“amalan ugama yang paling rendah adalah mengalihkan kayu di tengah jalan…”

(terbayang juga serban hitam dan janggutnya yang panjang..’)

Akupun angkat kayu tu dan cuba baling ke tepi jalan, tapi terlepas lalu jatuh atas ‘mangkuk depan' motorku dan pecah….oh!

“Oh, tuhan.., inikah hukuman untuk aku yang baru nak buat baik…?”

Aku duduk termenung tengok 'mangkuk' motor aku pecah..rasa nak menangispun ada..isk..isk..

Jeng..jeng..jeng..
Tidak aku sedari, seorang awek dari dalam kereta sedang memerhatikan 'aku dan peristiwa' itu…., dan dia telah ‘berkenan’ dengan aku, he he he..

Allah nak tunjuk jalan yang baru dalam hidupku…

Seorang wanita yang telah mengubah hidupku (sebenarnya, semuanya dengan izin Allah), dia telah jatuh ‘cinta’ dengan ‘akhlakku..,

Dia telah jatuh cinta apabila melihat seorang yang macam mat remp-it.
(rambut panjang, seluar jeans, berbaju t-shirt hitam, berhalmet yang penuh dengan sticker, dan menunggang motor RXZ warna merah)
turun dari motor dengan bergayanya lalu alihkan kayu di tengah jalan, tapi kayu itu telah tersalah baling menyebabkan berlaku kerosakkan kecil sebahagian perhiasan motornya….

Wanita itu adalah seorang ustazah, dan telah mengajar aku menjadi seorang ‘balaks’

Sebagai seorang balaks, aku telah mendapat apa yang balaks dapat seperti:
“surat cinta yang ada bedak”

“kad yang berwarna pink dan berbau harum”

“bunga ros hidup yang berwarna merah”

“panggilan yang di jawab dengan “sayang, darling, intan payung..”

“hadiah hari jadi seperti, jam, dompet, anak patung, kaset, VCD bla bla “

“stim dan perasaan nak bersetubuh yang tinggi”

dan entah kenapa, aku rasa naaaaaaaaaak kahwin sangat!!!!!,
dan si ustazah ini juga mengajar aku menjadi 'balaks' yang beriman...si ustazah ni mengsyaratkan aku supaya belajar ugama tinggi-tinggi, baru boleh masuk meminang..

dan aku mulai berkawan dengan ustaz A, B, C, D,...Z.

Namun aku tak lupa member-member sekepala iaiu anak pak taib, mamat, si jo, dan abang K, brother S , datok K, datin S, T, U, V, W, X, Y, Z!!!!

------------

Nampak macam aku nak nasihat korang supaya cari couple dan gunakan semangat cinta untuk belajar ugama bukan?, sebenarnya teknik ini adalah salah, dan aku juga salah kerana bercerita tentang dosa, aku stop sampai sini…, cinta kami putus setengah jalan apabila kefahaman kami tentang ugama berbeza, bila belajar ugama, aku mulai jadi orang lain, aku mulai mengelak untuk dating atau telefon, aku juga mulai berkopiah dan berjanggut, dia mulai boring dengan aku yang selalu berceramah…ha ha ha!

Yang pasti sebab utama kami berpisah adalah kerana
“MUSUH KAMI ADALAH BERBEZA”…

Nota: aku akan terangkan tentang ‘MUSUH’ ini dalam entry yang akan datang, -insyaAllah.

Aku pendekkan cerita.., oleh kerana musuh seorang ustazah yang tak sama dengan musuh seorang bukan ustaz, maka aku membuat perubahan baru dalam mencari pasangan hidup..., aku buat garis panduan untuk bakal isteri seperti di bawah:

1. baik dengan mak(macam kawan karib)

2. Ada satu atau lebih best frend.(kalau takde memang kera sumbanglah)

3. ada kebolehan mendengar.(suami memang cari sorang isteri yag ada ciri pendengar yg baik)

4. Org selalu puji dia(terutama adik beradik)

5. bila bercakap dengan org tua, org tua tu rasa selesa dengan dia.(terutama dengan bakal mertua)
6. bila ada sesuatau yg lawak, dia ketawa(kalu tak memang lembab+slow)

7. lagi bagus mak bapak dia memang jenis tegas dan garang (macam anak tiri-jiwa kental)

8. setuju kahwin cepat(inilah maksud berugama-kalau menolak..mmmmm)

9. simpati yg tiggi(tengok cerita hindustan@bersamamu dll -nangis)

10.ada sikit jual mahal(harga diri tu)

11. Cantik-penting, sebab hari hari bangun tidur kena tengok muka dia.

12. bla bla etc etc

Di pendekkan cerita lagi, aku dah jumpa akan gadis tersebut..
lalu aku melamar aweks baru (isteri aku la ni)

Dia Tanya aku:
“kenapa awak nak kahwin ngan saya?”

aku kata: Sebab aku kesepian.. Nabi Adam dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya pun merasa sunyi lalu mintak dengan Allah agar hilangkan kesepian, maka Allah telah mencipta ‘penghilang kesepian’ iaitu Siti Hawa…maka apatah lagi aku kat kemaman, yg hanya mengalir air longkang di sekeliling rumah sewa, lalu berdoa pada Allah agar di hilangkan kesepian yg mencekam ini, lalu Allah bukak hati aku untuk jatuh cinta ngan enkau….bla bla bla lepas tu dia setuju.

Sebenarnya ada sebab kenapa wanita sanggup kahwin dengan seorang lelaki.

1. Hensem gila babi.

2. Kaya raya.

3.Glamer

4.Ayat power.

5. Kesian.

6.terpaksa-kena paksa.

7.kesepian.

8. takde pilihan.

9. dah terlangjur.

10. etc, etc

Teka, aku katogori nombor berapa? tidak..jangan hina aku!!!


MASALAH PIHAK LELAKI

Sebelum tu, akrian, mak aku pulak adalah seorang yang pemilih orangnya.
bila aku bagitahu mak aku yang aku ni dah ada buah hati, maka mak aku naaaaak tengok sangat tuan empunya badan.
Akupun mintak gambar aweks baru aku tu yang paling tak cantik, yang ada iras2 ‘mayat’ dan tunjuk kat mak aku

Bayangkan gambar seorang aweks yang duduk mengcakung atas batu tengah panas sambil tangan bersilang, kerana penataaan cahaya yg tidak betul maka jadilah warna kulit aweks tu gelap dan bibir nampak tebal…serta muka cam mayat@zombie...
Maka mak aku tersangat tidak setuju bila tengok gambar ‘mayat’ wanita atas batu tu..…

Lalu aku dengan bersungguh sungguh bagitahu kat mak aku yang aku ni tak memilih, asal orangnya baik, rupa belakang kira, aku gunakan kata2 hikmah Lokman nurhakim dan ayat power mulut manis shahrukh untuk pujuk mak aku, akhirnya diorang pun setujulah tapi dengan satu syarat, mesti bertengtang empat mata….

Kemudian di pendekkan cerita, selepas di buat temujanji antara bakal menantu dan bakal mertua, maka terkejut manusia lah akan mak aku bila melihat wajah sebenar aweks aku, takde lah jelita macam bidadari, tapi berbeza banyak ngan dalam gambar.…,

Dan Bertambah takjub akan mak aku bila melihat bakal biniku berakhlak mulia, pandai hormat pada org tua yakni bila nak melintas akan minta izin dan merendahkan badan dan berjalan ala-itik gembo2.

Bertambah kagum lagi akan mak aku bila menantu idaman menunjukkan kecekapan nya di dapur dengan memasak nasi lemak cinta daun pisang dan teknik menghidang makanan ala wanita melayu terakhir.

Bila sesi soal jawab dan bergambar selesai(dah kenyang makan)…maka mak aku sangat berpuas hati malah sudah tidak sebar untuk berjumpa besan nya bagi menetapkan tarikh perkahwinan…


MASALAH PIHAK PEREMPUAN

Bila lelaki pergi jumpa keluarga gadis idaman, itu bermakna lelaki itu serius dan bila lelaki itu bawak familinya jumpa famili gadis idaman, memang lelaki itu betul-betul serius…!!!(insyAllah)

Aku jumpa direct bakal mertua aku, tanpa pengetahuan awek aku, masa tu bakal mertua sedang bekerja jual beli di kedai. Aku jumpa dan cakap : saya berkawan dengan anak pakcik bla bla bla bla.

Terkejut jugak pak mertua aku, dan awek aku lagi terkejut, aku rasa, aku sedang belajar jadi ‘gentleman’…dan tak di nafikan bahwa pak mertua macam agak keberatan pada mulanya kerana anak dia masih muda (20 tahun)…, apa aku buat? Aku bawak pulak mak bapak aku untuk menunjukkan kesungguhhan..

MASALAH MERISIK

Kepada yg nak merisik atau dirisik, sila Pilih gambar yg indah rupa dari khabar, jangan bagi gambar yg indah khabar dari rupa, kalau korang bagi gambar yang kelabu, atau ada matahari terbit kat belakang, atau dalam Kabus memang korang nampak jelita, tapi bila berjumpa 4 mata, tak haru biru..muka sebenar macam mayat dalam gambar macam malaikat!biar Jujur dalam perhubungan, lagi bagus kalau korang buat cam aku, bagi gambar yg nampak macam mayat. Biar bakal pasangan korang redha dengan wajah mayat korang…dan bila berjumpa alangkah bahagianya…sebab pasangan korang dan imagine korang macam mayat tapi bila jumpa, nampak hensem dan jelita macam mayat baru mandi-ok apa!Hehehe…

MASALAH BERTUNANG…

Bila nak bertunang, timbul sedikit masalah apabila pak mertua nak lewatkan perkahwinan kerana nak anak dia stabil bekerja dulu, maka aku jumpa dan slow talk-pujuk rayu-iqram muslimim, sedekah (rasuah) serta bagi hadith dan fatwa amaran bahaya lambat kahwin… ( kerana aku dah tak tahan, oh…..!!!!) beberapa bulan kemudian –KAHWIN-semua dari Allah, aku takde kuasapun, kita usha sajer…
CTH hadith: 3 perkara tak boleh di lengah-lengahkan:
1. solat
2.kahwin.
3. tanam mayat.

Kepada mereka yang ada anak, janganlah sengaja tangguhkan perkahwinan anak korang, kena ingat, dosa dan noda yang si anak korang buat seperti pra zina atau zina, maka korangpun sebagai ibu bapa kena (azab) sekali…

Dan kepada anak-anak pulak yang dah nak kahwin, tapi mak bapak tak bagi, mungkin mak bapak kou tak yakin ngan kau, tengok diri engkau tak terurus dan ilmu ugama yang cetek, jadi kau kena yakinkan kat mak bapak korang…, belajar uruskan diri dan belajar ugama…insyaAllah, kena ingat, lepas kahwin semua dosa sang isteri kelak dah tak kena mengena dengan mak bapak dia lagi, tapi engkaulah wahai lelaki kena tanggung!!!!

MASALAH EKONOMI

Sesungguhnya, rezeki itu adalah urusan Allah, aku berkahwin dalam keadaan miskin, harta aku masa tu hanyalah sebuah kereya charede lama, aku beli RM 2000, sebuah RXZ., dan sebuah komputer.., tapi itulah orang cakap rezeki anak. Dah 4 tahun kahwin dan Allah bagi harta tak ternilai iaitu anak seramai 3 orang, 2 buah kereta baru, sebuah rumah bla bla bla ….(rujuk LHDN)

Jadi, janganlah takut bila Allah dan ‘janji’ jaga rezeki kita, sampai masa bila rezeki dah habis, jadi mayatlah kita walaupun ada duit dalam bank, ada makanan penuh dalam peti ais, berjiran dengan wakil insurans, depan rumah ada kedai mesin hayat bla bla bla..

Nota: Teringat aku masa naik kereta charede yang takde aircond bersama isteri dalam hujan, kena pakai selipar sebab lantai kereta bocor, isteri aku pulak jadi ‘wiper’ manual, oh..sungguh terharu.., itu semua dulu…semua kerja Allah!

Yakinlah dengan JANJI ALLAH!!!!!
Jika korang takut berbuat dosa, kenapa tak berkahwin sahaja dalam keadaan miskin????

MASALAH ANAK

Anak aku kecik lagi, jadi tak ada masalah, Cuma pesan orang alim, sayang anak kena tangan-tangankan…
“anak tidak dapat tidak perlu di rotani sepertimana ladang perlu di airi”

MASALAH ISTERI.

Untuk melembutkan hati sang isteri kena buat beberapa perkara, antaranya:

Pertama:
Kena selalu tinggalakan dia kerana Agama-pergi belajar ugama,beribadat atau berdakwah. Maka Allah akan campakan kasih sayang yang sejati.
Isteri kena belajar hidup tanpa suami dalam beberapa tempoh, dan isteri kena anggap suami macam dan ‘mati’, sekiranya suami pulang itu adalah hadiah dari Allah unutk isteri di dunia.

(hey, tengok isteri kamu sedang senyum di pintu sambil memegang teh’ tarik)

Dan sekiranya suami tak pulang(syahid) itu juga hadiah dari Allah untuk isteri di akhirat.
Ingat, orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa ingat mati,

Kedua:
Baca hadith Nabi setiap malam kepada isteri dan anak-anak, boleh gilir-gilir baca. Jika isteri tanya nak buat sampai bila bacaan hadith Nabi ni bang? cakaplah, kita akan buat setengah jam setiap hari macam ni sampai mati!!!! Sampai jadi mayat!!!!

Nota: Al-Quran dan Perkataan (hadith) Nabi SAW ada ‘Nur’ yang boleh melembutkan hati, hati yang keras macam saidina Umar r.a ,Hindun, Abu supian dan beratus lagi orang kapir boleh lembut dan menjadi hamba Allah yang taat, apatah lagi anak dan isteri kita…

Apakah lagi nikmat dalam hidup selain dari mendapat isteri dan anak anak yang taat?
Berapa ramai orang jadi gila kerana isteri tak taat dan anak jadi durhaka?

Nabi SAW bersabda bahawa (lebih kurang maksud)
Ada 4 nikmat yang besar dalam hidup di dunia, iaitu:

1. isteri yang solehah
2. anak-anak yang Taat
3. Jiran yang baik
4. Rezeki di kampung sendiri.

Ulasan dari aku yang bukan ustaz:
Bila korang dah kahwin dengan pasangan yang beriman dan soleh, maka insyaAllah mereka akan didik anak jadi soleh dan solehah, seterusnya anak anak tak buat ragam maka jiran tentangga pun suka…, insyaAllah. Bila dah bahagia di kampung, dah tak perlu lagi pada harta yang banyak, maka cukup cari rezeki di kampung sendiri, isteri tak mintak yang bukan-bukan, anak anak jadi baik, jiran pula cukup selesa, semuanya ahli surau..oh, alangkah indahnya hidup!!!!

MASALAH DOA TAK MAKBUL

Akhir kata, korang yang belum kahwin lagi, aku bagi tips untuk berdoa…

Buat solat hajat 12 raka’at.
Saidina Ali bila susah solat hajat lebih dari 2 rakkat, sedangkan mereka adalah sahabat Nabi SAW, orang yang dekat dengan Allah, tapi kita bila susah just buat 2 sahaja? Cukupkah.?
Cukup sebenarnya bila Allah berkehendak, dan tak salahpun, tapi tak kanlah kita nak tunggu umur 37 tahun baru nak solat hajat 12 rakakat, makan masa setangah jam sahaja, insyAllah. Bersungguh dalam berdoa adalah jalan orang yang soleh…

Ha! Yang ni kena baca betul-betul!!!!

Dan jangan solat hajat kerana korang ada hajat, itu tak ikhlas namanya, tak makbul doa nanti kerana tak ikhlas, solat hajat di buat kerana perintah Allah. Amalan yang ikhlas adalah amalan yang di buat hanya kerana Allah, atau kerana perintah Allah, maka korang buatlah solat hajat kerana perintah Allah yang menyuruh orang susah bersolat hajat, jadi korang buat solat hajat bukan kerana korang ada masalah, tapi korang buat solat hajat kerana perintah Allah yang suruh orang ada masalah buat solat hajat-, jadi buatlah solat hajat kerana itu adalah perintah Allah kepada orang yang ada hajat, bukan solat hajat kerana ada hajat, yang penting hanya kerana Allah!!!

Pening kepala? Rujuk ustaz lagi baik, aku tak pandai nak terangkan kot..

Bagaimana nak buat? –alahai, buat macam solat tarawikh, 12 rakkat, enam salam.

Nak baca surah apa?- bacalah surah apa-apapun selepas al fatihah, tak bacapun takpe.

Kena menangis ke?- memang sangat amat kena menangis.

Kalau tak boleh menangis?-berlakon menangis, guna bawang atau minyak angin cap kapak?

Kalau doa tak makbul gak?

He he he-ada 3 perkara yang korang akan dapat bila berdoa:

1. Allah bagi apa yang korang mintak.

2. Allah jauhkan bala yang patut datang.

3. Allah tak bagi kerana DIA Maha Mengetahui yang terbaik untukmu, namun akhirat kelak, Allah akan tukar setiap doa yang tak makbul kepada ganjaran, sehingga bila korang lihat ganjaran itu, maka korang suka sekali jika tiada satu doapun yang korang mintak dulu itu makbul…oh!

Atau korang boleh jugak berusaha mencari jodoh sambil berpuasa, selain dari boleh mengelak dari berbuat maksiat, doa orang yang puasa juga sangat makbul…

Sebenarnya jodoh ni memang dah di tetapkan oleh Allah,
JODOH AKAN DATANG PADA ANDA, SEPERTIMANA MAUT AKAN DATANG PADA ANDA, ANDA TAK DAPAT MENGELAK DARI JODOH SEPERTI MANA ANDA TAK DAPAT MENGELAK DARI MAUT!!!

Habis tu yang tak kahwin sampai mati tu camne….?Satu org Alim cakap , ada jodoh kita yg dah mati awal, contoh, eksiden, kena bunuh dll, so mungkin akan ada jodoh dalam next life nanti…so org cam gini macamana usha pun jodoh tetap takde, korang dapat pahala usaha, dan korang kena rĂ©dha bahawa ini kehendak Allah s.b.w, apa-apapun rahsia sebenar adalah di tangan Allah. Dan jangan korang cakap “kalau camtu tak payah usahalah” sebab ada unsur shirik kat situ…nauzubillah. bersangka baiklah dengan Allah.

jadi aku pesan:bagi perempuan, 'cari'lah suami soleh di awal waktu solat.dan bagi lelaki, 'cari'lah wanita solehah di saf pertama kat masjid(aku tahu pembaca aku tak slow he he he) dan kalau nak cari suami atau isteri yg tak soleh dan solehah, aku tak payah cerita lah kat mana nak cari he he he

satu lagi lupa nak kabor,tak rugi org yang beristiqarah, dan tak menyesal org yang bermusyuarat...

Yang sebenarnya, kalau kita pikir-pikir balik,, bila lelaki dah jatuh cintan ngan pempuan dan pempuan tu jugak dah jatuh cinta ngan balak tersebut, maka walau camne halanganpun takde hal punya, hantaran mahal ke, mak bapak tak berkenan ke, hidup miskin ke, rupa paras borok macam mayat.diorang tak peduli dan tetap usaha sehingga kalau kahwin laripun diorang sanggup!!(macam cerita hindustan)

Pernah ada kes mak perempuan kunci awek ni dalam bilik dan upah genter pukul si balak yang nak kat anak dia, hmm, si balak itu tewaskan semua genster dan larikan awek dia dari bilik lalu terjun jambatan sama-sama, oh!Ini hanya berlaku bila suka sama suka.The moral of the story is: Allah Sangat sayangkan kita 70x lebih dari mak kita sayang kat kita, tapi kita tak nak pulak dekat dengan tuhan, kita cari alasan, masjid jauh, org alim tu tak betul, sibuk dll, walhal Allah berfirman jika kamu datang pada aku dengan berjalan Aku akan datang pada kamu dengan berlari!!!

Mengakhiri post ini, aku copy paste satu surat sedih dari pembaca keretamayat, korang yang sudi, bolehlah bagi nasihat sepatah dua kata dekat kakak S ni..

Anonymous said...

Sdr Hamka,Akak ni dah berkulat dah mulut mintak kat Tuhan supaya dapat jodoh. Sejak umur akak 17 tahun sampailah sekarang (umur akak dah 37 tahun) hari2 akak berdoa secara khusus & intensif supaya dapat jodoh yang baik... tapi HAMPEH.... mcm2 jenis mandi bunga dah akak cuba, mcm2 teknik mengorat yang halal dah akak buat... tapi HAMPEH..... takkanlah akak jadi second class citizen kot pada kacamata Tuhan...bukan saja2 tak nak kawin tapi memang dah TAKDIR!!! Siksa tau membujang ni... mcm2 dihina orang walaupun berpelajaran tinggi, nilai diri KAPUT -- zero value man!!! Dahlah hidup kesunyian, kena tindas masyarakat lagi... kalau-kalau diikut hati nak aje jadi lesbian.

Akak rasa mungkin kalau akak jadi lesbian, Tuhan kesian kat akak & bagi jodoh kat akak. Amacam... akak dah desperate sgt ni!!! Nak berteman!!!Kalau sapa2 nak reply komen akak ni, address aje akak dengan Akak-S yang bermaksud akak sewel (akak yang dah nak sewel dek membujang terlalu lama).


SEKIAN…

Ps: Berusahalah sebelum korang menjadi mayat, atau sebelum pasangan korang menjadi mayat!!!!
-------tamat petikan---------
Semoga taufik Allah sentiasa bersama kita!

Saturday, November 15, 2008

Petikan daripada Kitab Hikam Ibni 'Atoillah




JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.

Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.

Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah Ibrahim )

Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. ( Ayat 116 : Surah al-Baqarah )

Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. ( Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )

Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya.

Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.


Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. ( Ayat 14 : Surah al-Mulk )

Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )

Allah s.w.t Maha Halus (Maha Terperinci/Detail), Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Allah s.w.t yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya yang apa sahaja yang Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau yang sama baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan sesiapa pun dan Dia Maha Berkuasa. Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat.” (Ayat 12 : Surah al-An’aam )

Orang yang beriman selalu mendoakan: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. ( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )

Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.

Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. { Ayat 68 : Surah al-Qasas }
----intaha----

Wednesday, November 5, 2008

Haji...

“Saf (barisan) di Masjid Nabawi mulai hampir dipenuhi jemaah setiap kali solat fardhu lima waktu, bas berduyun-duyun memasuki kota suci ini, dan hotel serta rumah penginapan di sekitarnya penuh - ini tandanya musim haji 1429 Hijrah sudah bermula.” Demikian mukadimah laporan berita agensi Bernama bertarikh 4 November 2008.

Ibadah haji merupakan antara ibadah yang mempunyai kaitan paling tua dengan kewujudan manusia dan kemunculan mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Sejarah Baitullah itu sendiri menjadi bukti kepada fakta ini. Al-Quran dengan tegas menyatakan bahawa Kaabah adalah binaan pertama yang dibina untuk manusia beribadah. Allah berfirman, “Sesungguhnya Rumah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia.” (Surah Aali ‘Imran 3: 96)

Imam Ibnu Kathir semasa memberikan komentarnya kepada ayat ini ada menyatakan maksud ’rumah yang mula-mula dibina’ ialah rumah atau tempat yang mula-mula dibina untuk manusia beribadah di dalamnya. Baitullah atau Kaabah telah terlebih dahulu dibina berbanding Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. Al-Baihaqi ada menukilkan satu riwayat di dalam kitab Dalaail An-Nubuwwah yang bersumber daripada Abdullah ibn ’Amr ibn Al-’Ash r.a. bahawa, ”Allah Taala telah mengutuskan Jibril a.s. kepada Adam dan Hawa dan memerintahkan kedua-duanya membina Kaabah, lalu Adam pun membinanya. Kemudian diperintahkan untuk bertawaf lalu dikatakan kepadanya, ”Engkau adalah manusia yang pertama dan ini adalah rumah yang pertama dibina untuk manusia (beribadah di dalamnya).”

Islam telah meletakkan ibadah Haji itu sebagai rukun kemuncak kepada Rukun Islam yang lima. Fardhu Haji merupakan satu ibadah yang melibatkan gabungan total fakulti kerohanian, fizikal, minda, emosi dan harta seseorang hamba. Ibadah ini melambangkan kehendak sebenar Allah ke atas hamba-hambaNya. Apabila Allah meletakkan kemampuan dan keseimbangan tuntutan kepada kesemua elemen tadi bagi seseorang yang menunaikan ibadah haji, ia juga secara langsung menggambarkan bahawa Allah mengingini agar setiap Muslim itu perlu menjadi seorang insan yang sempurna.

Insan yang sempurna dan mantap dari segi kerohaniannya, stabil emosinya, elok kekuatan jasad dan mindanya serta berkemampuan dari segi hartanya. Dengan kata lainnya, ibadah haji mendorong seseorang itu untuk berusaha pada tahap yang terbaik, untuk menjadi seorang yang bersifat ’whole-person’. Seorang Muslim itu seharusnya adalah seorang insan yang sentiasa berusaha untuk menjadi seorang ’insan kamil’.

Ibadah haji juga merupakan satu manifestasi kepada 'perasaan ummah' yang perlu ada dalam hati setiap mukmin. Tiada ikatan lain lagi selain ikatan iman. Mereka semua adalah satu umat. Umat yang mempunyai matlamat yang satu. Disatukan dengan maksud yang satu. Satu hati, satu fikir dan satu usaha. Hati mereka bergelora dengan satu kerisauan, iaitu: "Macamana saya dan seluruh umat manusia dapat keredhaan Allah, dapat selamat daripada tangkapan neraka dan dimasukkan dalam syurga!"


Oh Allah! Kau lebih mengerti rintihan hati ini....

Friday, October 24, 2008

Ketenangan Hati Kunci Kecemerlangan


Ketenangan hati ialah satu perkara yang sangat penting. Tidak mungkin ada seorang manusia walau apa pun latar belakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia.

Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha kritikal bagi setiap insan.

Keutuhan atau kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan kemantapan minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya adalah berasal daripada suatu ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapi kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah ciptaan Tuhan yang paling baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan di dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun di langit.

Dan Tuhan bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara langit dan bumi ini serta apa yang ada di atas langit yang tujuh ini; semuanya adalah milik mutlak Tuhan Yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan ketetapan ilmu-Nya dan izin-Nya.

Dan seorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku; sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaan-Nya; menyelami hakikat rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Agung.

Seseorang yang menyedari bahawa sentiasa ada di sana satu Kudrat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Yang Sentiasa Berkata, Wahai hamba-Ku, mintalah kepada-Ku, akan Ku penuhi segala permintaan kamu! tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini hanyalah antara aku dan kemampuanku!

Seorang anak kecil akan merasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membeli belah di pasaraya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi `ketenteraman' dan `ketenangan hatinyalah' yang tercedera.

Dan kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantaran jatuh; berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata, ``Dah, jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!''

Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa `sakit' pada jiwa dan emosinya telah pun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa tenteram, kerana anak itu yakin, ibunya memahami `penderitaannya' dan ibunya `mampu' mengubati luka di lututnya dengan ubat yang akan disapu nanti. Ini menunjukkan, ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah satu kuasa maha ajaib yang sangat diperlukan dalam hidup seorang manusia.

Dan adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan merasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasa bahawa di sana adanya satu `kuasa' yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.

Seorang yang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru dan dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ.

Tetapi seseorang yang mantap EQ-nya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf dan bekerja di sawah bendang, tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimilikinya, ia dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan ketertiban. Malahan, seringkali terlontar daripada patah bicaranya, perkataan-perkataan yang bersifat `teraputik' yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.

Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap manapun IQ-nya berada. Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah menyatakan sebagai satu prinsip, Bukankah dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang? (Ar-Ra'd: 28).

Berzikir di sini membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan mengingat Allah, merasakan kehadiran-Nya dan merasa keagungan-Nya di dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin seseorang yang melihat Tuhan itu - dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya - berada begitu hampir dengan dirinya, masih boleh merasa tidak tenteram dan aman? Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan `nur' kerohanian yang jernih, pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta keharmonian emosi.

Tuhan berfirman, Dialah yang menurunkan `sakinah' ke dalam hati orang-orang yang beriman! (Al-Fath: 4). Erti `sakinah' ialah ketenangan yang tetap. Jika demikian, sudah tentu di dalam apa yang diperintah-Nya itu, ada alat-alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati ini, seperti amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi.


Semoga hati kita tidak `buta' daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan seru sekalian alam ini. Sesungguhnya Dia-lah Allah, Zat Tunggal Maha Pencipta!

------------
Artikel saya ini pernah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia sekitar tahun 2005.

Thursday, October 16, 2008

Ingatan buat semua rakyat Malaysia



KUALA TERENGGANU 16 Okt. — Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.
“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Dipertikai

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.
Blog Widget by LinkWithin