Alhamdulillah, puja dan puji milik Allah semata-mata. Maha Agung Allah lagi sempurna Jalal dan Jamal-Nya. Hanya Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Wujud lagi hanya layak disembah. Dialah Al-Khaliq (Sang Pencipta). Tiada pencipta lain lagi selain Dia. Selain daripada-Nya, semuanya diciptakan. Dan Dia Maha Memiliki lagi Maha Menguasai segala ciptaan-Nya. Maka antara ciptaan-Nya di atas muka bumi ini, ialah diciptakannya gunung-ganang dan bukit-bukau. Dihiasi dengan segala kesesuaian flora dan faunanya. Rujuk akhirnya hanya menyatakan Keesaan-Nya. Dia-lah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia!

Lebih kurang jam 12.00 tghr, kami mula keluar daripada batasan kampung saya dan bergerak menuju ke Gua Musang. Kali ini, saya tidak akan terus balik ke Putrajaya, kerana perlu ke Cameron Highland terlebih dahulu. Tujuan ke sana ialah untuk memenuhi jemputan Kem. Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk program Kursus Penyegaran Emosi AKRAM mereka. AKRAM ialah akronim untuk Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia. Saya diminta berkongsi dengan para AKRAM tentang "Tafakkur Zihni". Setelah berhenti makan tengahari yang lewat di Gua Musang, kami meneruskan perjalanan melalui jalan Gua Musang - Lojing - Cameron Highland.
Akhirnya, sekitar pukul 7 mlm, kami tiba di Brinchang, Cameron Highland. Keesokannya pada sebelah pagi, ialah slot "Tafakkur Zihni". Saya benar-benar berharap, apa yang telah dikongsikan, akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para peserta.

Seterusnya, kami bersetuju untuk minum teh di Tea Shop, Bharrat Plantation Tea, Ringlet. Bagaimanapun, agak hampa kerana teh tarik yang didamkan telah kehabisan.
"Macamana teh boleh habis kat ladang teh ni?", hati saya menyoal.
Bagaimanapun, saya telan sahajalah gumaman hati saya 'tu. Kami order minuman lain dan memesan kek keju strawberi. Sambil menikmati minum petang, kami menikmati sama pemandangan 'lautan' pokok teh yang menghijau dan 'beralun serta berombak'. Anak-anak nampaknya begitu 'terpikat' dengan pemandangan hijau yang hebat ini.
"Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau ciptakan ini semua dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka jauhkanlah kami daripada api neraka.", terlintas maksud satu firman Allah. Semoga apa yang disaksikan ini, mendorong kami sekeluarga menjadi Ulul-Albab.


"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada."
( Al-Hajj 22:46)
No comments:
Post a Comment