Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, March 28, 2011

Majalah SOLUSI Bil. 30: Kembara Atas Maksud Agama

Allah s.w.t. berfirman: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah al-Hajj 22: 46)


Rata-rata kitab-kitab tafsir menyatakan bahawa yang ditujukan gesaannya di sini ialah kepada kaum musyrikin Makkah atau sesiapa sahaja yang menentang Rasulullah s.a.w. Ini sesuai dengan kandungan ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang kisah kaum-kaum yang terdahulu. Imam asy-Syaukani contohnya di dalam tafsir Fathul-Qadir beliau memberikan komentar berkenaan ayat ini bahawa tujuan gesaan melakukan kembara atau bertebaran di muka bumi ini dibuat, supaya melalui safar(kembara) ini hati mereka akan hidup dan berfungsi, yang membolehkan mereka memahami dan mendengar kebenaran.


Marilah kita renungkan dengan sedikit mendalam, andainya untuk orang yang hatinya keras menentang Rasulullah s.a.w. pun diminta untuk melakukan kembara di atas muka bumi ini, yang mana melalui kembara ini, manfaat yang paling besar ialah dapat menghidupkan hati mereka untuk menerima kebenaran. Maka apatah lagi jika kembara itu dilakukan oleh kita umat Rasulullah s.a.w. yang sememangnya beriman, maka sudah pasti akan memberikan kesan yang lebih mendalam dan besar kepada hati kita.


Hati kita adalah satu radar yang akan mencerap apa sahaja keadaan di sekitarnya. Malah hati kita ini seumpama kolam yang sumber airnya diperolehi melalui empat saluran air. Jika elok sumber airnya ini, maka hasilnya air kolam tadi akan juga menjadi elok, jernih dan bermanfaat. Empat saluran yang akan mencorakkan hati ialah mata, telinga, lidah dan minda. Apa yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita cakap dan yang kita fikirkan; itulah yang akan membentuk hati kita. Oleh itu, cara paling mudah untuk menjadikan keempat-empat saluran tadi menjadi murni dan jernih, safar atas maksud agama adalah salah satu cara yang paling ampuh.


Al-Baihaqiyy dan An-Naqoosy telah mentakhrijkan di dalam mu’jamnya dan Ibn An-Najjaar daripada Waaqid bin Salaamah daripada Yaziid Ar-Riqoosyiyy dari Anas r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian akan kaum-kaum, yang mana mereka itu bukanlah para nabi dan buka pula syuhada, (walhal) pada hari kiamat (nanti) para nabi dan syuhada merasa ghibtoh (iri hati) terhadap mereka itu lantaran manaazil (status- status) mereka (begitu dekat) dengan Allah, di atas minbar-minbar daripada cahaya mereka dikenali.” Lalu mereka (para Sahabat r.ahum) bertanya, “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w.?” Baginda menjawab, “Mereka itu ialah orang-orang yang menjadikan para hamba Allah dicintai oleh Allah s.w.t. , dan menjadikan Allah s.w.t. dicintai oleh para hambanya, dan mereka itu berjalan kaki (bertebaran) di atas (permukaan) bumi dalam hal keadaan memberikan nasihat. Maka aku berkata, “Ini menjadikan Allah s.w.t. dicintai oleh para hambanya, maka bagaimanakah mereka menjadikan para hamba Allah s.w.t. dicintai oleh Allah s.w.t.?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w., “Mereka itu menyuruh para hamba Allah dengan apa yang Allah s.w.t. suka dan mereka itu mencegah para hamba Allah s.w.t daripada apa yang Allah s.w.t. benci, maka apabila para hamba Allah s.w.t. itu mentaati mereka lalu Allah `Azza Wa Jalla mencintai mereka itu (yakni para hamba Allah tadi).”


Oleh itu, marilah kita bertebaran di atas muka bumi Allah ini atas maksud agama. Atas maksud menjadikan hamba-hamba Allah semakin mencintai Allah. Atas maksud agar hamba-hamba Allah semakin dicintai oleh Allah!


Ada yang sudi?

Majalah SOLUSI Bil. 29: Langkah Ke Syurga

Ad-Da’iyyah Asy-Syaikh Muhammad Ilyas al-Kandahlawi rah.a. telah memilih beberapa bab dan dihimpunkan menjadi satu kitab yang diberi nama al-Abwaab al-Muntakhabah min Misykatil-Masaabih. Kitab ini telah dimulakan tahqiq dan syarahnya oleh Al-‘Arif Billah Ad-Da’iyyah Asy-Syaikh Muhammad In’amul-Hasan rah.a. dan telah disempurnakan akhirnya oleh Fadhilatusy-Syaikh Muhammad Ilyas al-Baarahbankawiy. Di bawah Kitab al-‘Ilmi, hadis yang ke-204 kitab ini, telah dinukilkan:


Daripada Abu Hurairah r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa yang telah melepaskan daripada seseorang muslim sesuatu kesulitan daripada kesulitan dunia, Allah akan melepaskannya kesulitan daripada kesulitan-kesulitan hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesusahan, Allah akan memudahkan baginya baik di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah pasti senantiasa membantu hamba-Nya, selagimana hamba-Nya membantu saudaranya. Sesiapa yang berjalan di satu jalan kerana menuntut ilmu, Allah akan mudahkan dengannya jalan ke syurga. Tidaklah berhimpun mana-mana kelompok manusia di mana-mana rumah daripada rumah-rumah Allah (yakni masjid), lalu mereka membaca kitab Allah (yakni al-Quran) dan saling mempelajarinya di antara mereka, melainkan turunlah ke atas mereka rahmat, rahmat menaungi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut-nyebutkan mereka di depan para malaikat di sisi-Nya. Sesiapa yang lambat amalan kebaikannya, sesekali keturunannya tidak akan dapat mempercepatkannya.” (Hadis riwayat Muslim)


Imam an-Nawawi rah.a. menyatakan bahawa hadis ini merupakan hadis yang amat hebat, kerana terkandung di dalamnya himpunan pelbagai jenis ilmu, kaedah dan adab. Hadis ini memberikan kepada kita gambaran betapa mulianya seseorang itu di sisi Allah apabila dia menjaga kemuliaan dan kebajikan saudaranya.


Hadis ini juga menjelaskan kepada kita betapa mulianya ilmu apabila dituntut dengan ikhlas. Apa lagi gambaran yang lebih mulia, apabila Rasulullah s.a.w. mengibaratkan bahawa berjalan menuju ke majlis ilmu pun sudah mampu membawa seseorang itu kepada syurga? Jika berjalan kepada ilmu sahaja pun sudah begitu tinggi kelebihannya, apatah lagi bagi mereka yang menekuninya, mempelajarinya, menghayatinya dan beramal dengannya. Jika itu pun sudah begitu mulia, maka apa lagi kedudukan mereka yang mengajarkan dan menyampaikannya? Inilah kemuliaan dan fadilat ilmu. Imam an-Nawawi menyimpulkan, yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah ‘al-‘ilm asy-syar’ie’, iaitu ilmu-ilmu agama.


Ilmu agama ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu ilmu masail dan juga ilmu fadhail. Perkataan ‘masail’ bermakna ‘masalah-masalah’. Masail ini merujuk kepada masalah hukum-hakam sama ada berkaitan dengan akidah, fikah mahupun tasawuf. Ia boleh juga berkaitan dengan bidang tafsir, hadis, sirah, qiraat dan sebagainya.


Contohnya, jika kita hendak solat, maka kita perlu jelas dari segi akidahnya bahawa kita menyembah Allah, bukannya Kaabah. Allah itu Tuhan yang menyalahi makhlukNya, jadi kita tidak boleh membayangkanNya walau dalam apa bentuk dan cara. Ini adalah berkaitan dengan masalah hukum dan perbahasan akidah. Kemudian kita kena pastikan kaifiat dan cara solat kita adalah sah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka ini menyentuh masalah hukum fikah. Seterusnya bila menyentuh apakah sifat yang sepatutnya seseorang itu ada semasa bersolat? Maka ini termasuk di bawah perbahasan masalah-masalah tasawuf. Ini semua adalah ilmu masail yang perlu diambil dan dipelajari daripada mereka yang arif di dalam bidang tersebut.


Manakala fadhail, ialah ilmu yang membicarakan tentang kelebihan, nilai dan keutamaan sesuatu perkara itu di sisi Allah. Kesimpulannya, tujuan atau maksud sebenar kita mempelajari baik ilmu masail mahupun fadhail ialah untuk mengetahui dengan tepat, apa sebenarnya yang Allah s.w.t. mahu daripada kita pada setiap masa dan keadaan. Akidah, menjelaskan bagaimana Allah mahu kita beriman dengan-Nya dan rukun-rukun iman yang lainnya. Fikah, menjelaskan bagaimana Allah mahu kita tunaikan amal ibadat dan semua hukum-hakam yang lainnya. Tasawuf, menjelaskan bagaimana kita patut bersikap dan berakhlak.


Maknanya, fokus dan titik rujuk akhir ilmu itu ialah untuk memahami dan menunaikan apa yang Allah s.w.t. mahu daripada kita! Untuk tujuan ini, Allah s.w.t. telah menyediakan ganjaran dan kemuliaan yang amat tinggi!


Tidak terujakah kita?
Blog Widget by LinkWithin