Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, March 28, 2011

Majalah SOLUSI Bil. 30: Kembara Atas Maksud Agama

Allah s.w.t. berfirman: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah al-Hajj 22: 46)


Rata-rata kitab-kitab tafsir menyatakan bahawa yang ditujukan gesaannya di sini ialah kepada kaum musyrikin Makkah atau sesiapa sahaja yang menentang Rasulullah s.a.w. Ini sesuai dengan kandungan ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang kisah kaum-kaum yang terdahulu. Imam asy-Syaukani contohnya di dalam tafsir Fathul-Qadir beliau memberikan komentar berkenaan ayat ini bahawa tujuan gesaan melakukan kembara atau bertebaran di muka bumi ini dibuat, supaya melalui safar(kembara) ini hati mereka akan hidup dan berfungsi, yang membolehkan mereka memahami dan mendengar kebenaran.


Marilah kita renungkan dengan sedikit mendalam, andainya untuk orang yang hatinya keras menentang Rasulullah s.a.w. pun diminta untuk melakukan kembara di atas muka bumi ini, yang mana melalui kembara ini, manfaat yang paling besar ialah dapat menghidupkan hati mereka untuk menerima kebenaran. Maka apatah lagi jika kembara itu dilakukan oleh kita umat Rasulullah s.a.w. yang sememangnya beriman, maka sudah pasti akan memberikan kesan yang lebih mendalam dan besar kepada hati kita.


Hati kita adalah satu radar yang akan mencerap apa sahaja keadaan di sekitarnya. Malah hati kita ini seumpama kolam yang sumber airnya diperolehi melalui empat saluran air. Jika elok sumber airnya ini, maka hasilnya air kolam tadi akan juga menjadi elok, jernih dan bermanfaat. Empat saluran yang akan mencorakkan hati ialah mata, telinga, lidah dan minda. Apa yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita cakap dan yang kita fikirkan; itulah yang akan membentuk hati kita. Oleh itu, cara paling mudah untuk menjadikan keempat-empat saluran tadi menjadi murni dan jernih, safar atas maksud agama adalah salah satu cara yang paling ampuh.


Al-Baihaqiyy dan An-Naqoosy telah mentakhrijkan di dalam mu’jamnya dan Ibn An-Najjaar daripada Waaqid bin Salaamah daripada Yaziid Ar-Riqoosyiyy dari Anas r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian akan kaum-kaum, yang mana mereka itu bukanlah para nabi dan buka pula syuhada, (walhal) pada hari kiamat (nanti) para nabi dan syuhada merasa ghibtoh (iri hati) terhadap mereka itu lantaran manaazil (status- status) mereka (begitu dekat) dengan Allah, di atas minbar-minbar daripada cahaya mereka dikenali.” Lalu mereka (para Sahabat r.ahum) bertanya, “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w.?” Baginda menjawab, “Mereka itu ialah orang-orang yang menjadikan para hamba Allah dicintai oleh Allah s.w.t. , dan menjadikan Allah s.w.t. dicintai oleh para hambanya, dan mereka itu berjalan kaki (bertebaran) di atas (permukaan) bumi dalam hal keadaan memberikan nasihat. Maka aku berkata, “Ini menjadikan Allah s.w.t. dicintai oleh para hambanya, maka bagaimanakah mereka menjadikan para hamba Allah s.w.t. dicintai oleh Allah s.w.t.?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w., “Mereka itu menyuruh para hamba Allah dengan apa yang Allah s.w.t. suka dan mereka itu mencegah para hamba Allah s.w.t daripada apa yang Allah s.w.t. benci, maka apabila para hamba Allah s.w.t. itu mentaati mereka lalu Allah `Azza Wa Jalla mencintai mereka itu (yakni para hamba Allah tadi).”


Oleh itu, marilah kita bertebaran di atas muka bumi Allah ini atas maksud agama. Atas maksud menjadikan hamba-hamba Allah semakin mencintai Allah. Atas maksud agar hamba-hamba Allah semakin dicintai oleh Allah!


Ada yang sudi?

3 comments:

Unknown said...

mashaAllah,artikel yg bermanfaat ustaz,sy selalu mengikuti tulisan ustaz di majalah solusi,

sy nak tanya ustaz berkaitan hadis ini.Abu Umamah r.a melaporkan seorang bertanya : Wahai Rasululullah! Benarkanlah saya untuk melancong. Baginda menjawab : “ Melancong bagi umatku ialah dengan melakukan jihad di jalan Allah(Abu Daud)???

amirhailmi said...

SUBHANALLAH...

sya said...

gambar hiasan tu macam brother azhar and brother jero wstan!

Blog Widget by LinkWithin