Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, May 20, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 19: Minta Pertolongan Allah Melalui Solat

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Fatihah, “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in” (Hanya kepada Mu kami beribadah memperhambakan diri; dan hanya kepada Mu kami memohon pertolongan).

Ayat ini merupakan wahyu Allah kepada hambaNya. Bagaimanapun, cara ungkapannya seolah-olah ucapan yang berasal daripada seorang hamba kepada Tuhannya.

Sepatutnya, Allah wahyukan sebegini, “Wahai manusia, hanya kepada Aku engkau memperhambakan diri; dan hanya kepada Aku kamu sekalian patut memohon pertolongan.”



Bukankah maksudnya masih sama? Namun begitu, jika kita tanya hati kita, ungkapan manakah yang lebih menusuk ke lubuk sanubari kita? Apakah jawapannya?

Ungkapan ini merupakan satu perintah daripada Allah Taala agar kita hanya memohon pertolongan daripada kesempurnaan Kudrat dan Iradat-Nya. Hanya Dia, Zat Yang Maha Kuasa yang selayaknya menjadi tumpuan setiap hati hamba-hambaNya yang beriman. Tidak gugur sehelai daun di tengah rimba, melainkan hanya dengan izinNya. Tidak bergerak sebiji pasir di dasar lautan melainkan hanya dengan kudratNya.

Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan ikrar al-Fatihah ini melalui sabdaan baginda kepada sepupu baginda, Hadrat Ibnu Abbas r.a., “Wahai budak! Jagalah Allah, Allah akan menjaga mu. Jagalah Allah, engkau akan dapati Allah sentiasa di hadapan mu. Apabila kamu meminta, mintalah daripada Allah. Apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan hanya daripada Allah…” (HR at-Tirmizi)

Bagaimanapun, ini baru sahaja satu perintah Allah agar kita mengikrarkan bahawa tidak ada mana-mana Zat lain yang menjadi tumpuan hati kita, melainkan hanya kepada Nya! Jika ini adalah satu ikrar, apakah pula cara untuk kita meminta pertolongan tersebut?

Allah s.w.t. menjelaskan di tempat yang lain, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah 2:153)


Di sini, Allah Taala menyatakan bahawa antara fadilat solat yang paling hebat ialah menjadi penghubung dan jalan untuk seseorang hamba meminta pertolongan kepada Nya. Selesaikan segala hajat dan masalah kita melalui solat.

Huzaifah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila ditimpa dengan sesuatu perkara, baginda akan bersegera menunaikan solat. (HR Abu Daud)

Abdullah ibnu Mas’ud r.a. pula menceritakan, pernah satu hari seorang Sahabat Rasulullah s.a.w. datang menemui baginda lalu berkata, “Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya ingin keluar ke Bahrain untuk tujuan perniagaan.”

Lalu jawab Rasulullah s.a.w., “Solatlah (dulu) dua rakaat!”
(HR at-Tobrani di dalam kitab al-Kabir)

Ma’mar meriwayatkan daripada seorang sahabat dari kalangan Quraisy, bahawa Rasulullah s.a.w. apabila mendapati kesempitan rezeki dalam kalangan sesetengah keluarga baginda, baginda memerintahkan keluarga baginda agar mendirikan solat, kemudiannya baginda membacakan ayat Al-Quran Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. [ToHa 20:132]. (Daripada kitab Ithafus-Saadah al-Muttaqin)

Lihatlah bagaimana imbauan kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w., keluarga baginda dan para Sahabat r.a., sentiasa dihiasi dengan kesungguhan mereka untuk menjadikan solat sebagai sumber untuk mereka memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah. Mereka benar-benar faham apakah nilai sebenar amalan solat. Betapa solat merupakan solusi praktikal yang dibekalkan oleh Allah kepada hambaNya.

Hati yang sentiasa disuburkan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah melalui fadilat solat sebegini, maka kehidupan mereka menjadi begitu akrab dengan amalan solat. Apabila Allah yang memerintahkan agar kita meminta pertolongan kepada Nya melalui solat, maka sudah pasti Allah sesekali tidak akan menyalahi janjiNya dan sesekali tidak akan lemah daripada mengotakannya….

“Allahu akbar!”

3 comments:

amirhailmi said...

jazakallah ustaz atas artikel ni. semoga Allah bagi taufiq pd kt semua untuk sentiasa bersegera menunaikan solat dalam menghadapi apa2 masalah.

Unknown said...

masyaLLah,ustaz ,benar kata2 ustaz,sy pernah dengar maulana Saad kata dlm bayannya,tuan2 kene selesaikan masalah tuan2 dgn amal,kalolah masalah dunia yg kecil2 nie pun x dapat nk diselesaikan dgn amal,macm na kita nk harap amalan kita yg lain mampu menyelesaikan maslah yg besar2 seperti kedasyatan hari kubor,titian sirat dll..
sekurang2nya,cuba la selesai msalah keperluan dunia ini dgn amal,contohnya,barang hilang,solat hajat 2 rakkat,kalo 2 rakaat blum lagi jumpa,solat 2 rokaat,tapi blum jumpa juga ,solat lagi dgn perbetulkan ape2 masalah seperti masail solat ke,sudah perbetul,x dpt lagi nusroh,solat lagi sampai brg tu Allah kasi jumpa,walaupun kita terpakse solat hajat 2 rokaat sebanayak 100 rokaat..katanya lagi,bayangkan dgn amalan solat ini,Allah kasi jumpa balek brg hilang tu,bayangkan,meningkatnya kita iman kita pada Allah...
harap Allah beri sy taoufiq untuk amalkan..

Usataz la pada kami,satu jemaah dari poli kulim untuk keluar jemaaah IPB 18 JUN 2010...

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Amirhilmi: Allahumma aamin!

Anak Pendang: Maulana Ilyas Sahb pernah kata, bagi org mukmin, utk masalah kecil2, dgn wudhuk saja masalah boleh selesai.

Wassalam.

Blog Widget by LinkWithin