Tempoh masa empat puluh hari sebenarnya mempunyai signifikan yang tersendiri dalam proses pembangunan diri insan. Sebagaimana berdasarkan hadis Rasulullah SAW, tertib kejadian manusia pun berlaku dalam tempoh empat puluh hari.

Mungkin kerana itulah juga, ulamak tasawuf berpendapat, pengamalan sesuatu ibadah secara istiqamah selama empat puluh hari, akan memberikan kesan langsung yang khas kepada seseorang Muslim .
Contoh yang paling jelas, satu hadis yang berasal daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah kerana Allah selama empat puluh hari dengan memperoleh takbiratul-ula, dituliskan baginya dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik.” (HR At-Tirmizi)
“Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah kerana Allah selama empat puluh hari dengan memperoleh takbiratul-ula, dituliskan baginya dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik.” (HR At-Tirmizi)
Melalui hadis ini dinyatakan, kesan daripada istiqamah menjaga solat berjemaah selama empat puluh hari, seseorang Muslim akan terpelihara daripada mempunyai sifat munafik.
Malah di dalam Al-Quran, Allah menamakan tempoh empat puluh ini sebagai ‘al-Miqat al-Ilahiy’ (batas-masa keilahian) bagi Nabi Musa AS .
Allah SWT berfirman,“Dan telah Kami janjikan kepada Musa (untuk bermunajat di Bukit Tursina) selama tiga puluh malam, dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), maka sempurnalah miqat(tempoh-masa - yang telah ditentukan) Tuhannya iaitu empat puluh malam…” (Surah Al-A’raaf 7:142)
Ar-Razi di dalam karya tafsirnya ‘Mafatihul-Ghaib’ menyatakan, ‘miqat’ bermakna satu tempoh-masa yang telah ditentukan kadar amalan-amalan di dalamnya.
Mungkin kerana kepentingan dan rahsia yang ada pada ‘al-Miqat al-Ilahiy’ empat puluh hari inilah, Umar Al-Khattab RA diriwayatkan pernah menekankan supaya seseorang itu menggenapkan tempoh empat puluh hari untuk berjuang di Jalan Allah .
Abdul Razzaq telah mengeluarkan daripada Yazid bin Habib dia berkata, “Pernah seorang datang kepada Umar Al-Khattab RA lalu dia bertanya kepadanya: “Di mana engkau selama ini?” Jawabnya:”Aku berada di perbatasan.” Tanya Umar: “Berapa hari kau di sana?” Jawabnya: “Tiga puluh hari!” Kata Umar pula: “Kenapa engkau tidak cukupkannya empat puluh hari” (Kanzul Ummal 1: 288)
Semoga Allah melimpahkan taufikNya kepada kita semua agar mendapat kenikmatan dan nur dalam mentaati segala perintahNya, sebagaimana tuntunan baginda Rasulullah SAW.
2 comments:
Assalamualaikum, salam hormat dari saya. Singgah sebentar diblog sdr dan alhamdulillah, banyak yang saya pelajari. Semoga Allah merahmati sdr sekeluarga.
- Maafkan saya (saya yang selalu melakukan kesilapan), dalam hadith diatas tentang fadhilat solat berjemaah, sdr terlupa tulis "40 hari":
“Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah (40 hari) kerana Allah dengan memperoleh takbiratul-ula, dituliskan baginya dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik.” (HR At-Tirmizi)
Assalamu 'alaikum,
Sdr zarzh,
Terima kasih, atas teguran. Alhamdulillah, telah diperbetulkan.
:-)
Jzakallah, wassalam.
Post a Comment