Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, August 6, 2009

Meraikan permintaan...

Semata-mata meraikan permintaan seorang kawan pengunjung, saya sertakan di sini artikel sulung yang diterbitkan di dalam Majalah SOLUSI bil. 9. Semoga ada manfaatnya. Dan jika ada kesudian daripada tuan/puan yang mulia, selit-selitkanlah doa buat saya yang faqir ini. Jazakumullahu khairan jazaa-an!

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. sedang keliling-keliling Madinah. Suasana nyaman sekali. Angin yang bertiup mengusik-usik daun-daun tamar yang menghijau. Menari-nari bebas. Tiba-tiba, Rasulullah s.a.w. terpandang satu susuk tubuh tidak berapa jauh di depan. Nampaknya, asyik sekali sahabat Baginda itu sedang menanam sesuatu. Baginda amat mengenali susuk tubuh itu. Beliau ialah Abu Hurairah r.a.


“Apa yang kau tanam ‘tu wahai Abu Hurairah?”, sapa Rasulullah s.a.w. setelah memberi salam.

“Labbaik ya Rasulullah! Saya sedang tanam satu pokok ‘ni!”, sahut Abu Hurairah.
Lanjut Rasulullah s.a.w., “Mahu ‘tak aku tunjukkan kepada mu satu tanaman yang lebih baik daripada pokok ini?”

“Tentulah wahai Rasulullah!”, pantas Abu Hurairah meningkah.

Ujar Rasulullah s.a.w., “Kau ucapkanlah:

سبحان الله و الحمد لله و لا إله إلا الله و الله أكبر

akan ditanamkan bagi mu bagi setiap kali ucapan satu pokok di dalam syurga!”

(Diilustrasikan daripada hadis riwayat Ibnu Majah, Bab Kelebihan Tasbih)

Ini hanyalah secebis kisah daripada kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w. dengan para Sahabat Baginda. Kehidupan yang begitu diberkati. Kehidupan yang telah menyebabkan Allah S.W.T. tidak sabar-sabar untuk isytiharkan keredaan-Nya kepada mereka. Ketikamana hamba-hamba Allah yang lain perlu menunggu pengisyitiharan reda Allah hanya setelah memasuki syurga, namun bagi para Sahabat mereka telah diisytiharkan keredaan Allah Taala kepada mereka semasa mereka masih hidup di atas muka bumi ini lagi.

Daripada peristiwa ringkas ini, jelas terbayang kepada kita, beberapa perkara:

1. Rasulullah s.a.w. mempunyai satu pendekatan yang istimewa dalam mentarbiah para Sahabat Baginda. Tarbiah yang amat sederhana, tetapi mempunyai kesan yang amat mendalam dalam pembentukan hati dan fikir para Sahabat r.anhum.

2. Lihatlah, Rasulullah s.a.w. dalam satu kesempatan yang tiba-tiba, melalui perbualan yang singkat, telah mengalihkan perhatian Abu Hurairah daripada keterujaan kepada pokok yang sedang ditanamnya, kepada keterujaan kepada akhirat; daripada tawajuh kepada nilai benda kepada nilai amal; daripada tarikan apa yang diusahakan kepada keyakinan jitu terhadap janji-janji Allah!

3. Pentarbiahan ini berlaku secara alami. Ini menunjukkan betapa perbualan-perbualan sebegini adalah satu lumrah dan kelaziman dalam kehidupan Rasulullah s.aw. dan para Sahabat r.anhum. Tarbiah ini bukan sahaja di dalam masjid, bahkan telah menjadi amalan yang menjalar segar di dalam darah dan urat nadi mereka. Ini dibuktikan oleh ratusan riwayat yang boleh dirujuk oleh himpunan kitab-kitab hadis yang ada.

Inilah yang dikatakan sebagai ‘fadhail a’maal’ ( فضائل الأعمال ) iaitu satu manhaj rabbani lagi nabawi yang membawa hati dan minda seseorang Muslim Mu’min itu kepada nilai sesuatu perkara di sisi Allah Taala. Satu pendekatan yang mendidik seseorang itu agar hatinya hidup untuk peka dengan Allah dan apa yang Allah suka. Fadhail A’maal ini konsep asasnya ialah pengislahan melalui kaedah Tabsyir ( تبشير ) dan Inzar ( إنذار ).

Imam An-Nasafi menyatakan Tabsyir ialah memberitahu berita gembira dengan adanya balasan nikmat di dunia dan di akhirat sebagai ganjaran kepada semua perbuatan baik yang dikerjakan di dunia ini. Manakala Inzar pula ialah bermaksud menakutkan seseorang dengan memberitahunya balasan azab yang akan menimpanya di dunia dan akhirat kerana melakukan dosa.

Inilah caranya Allah Taala mengislahkan hamba-hamba-Nya yang menjadi sunnah para rasul-Nya. Allah S.W.T. berfirman:

“Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.” (Al-An’am 6:48)

Dengan penuh keyakinan dengan kaedah yang telah dipilih sendiri oleh Allah, Zat Yang Maha Tahu tentang penciptaan dan kaedah yang terbaik untuk manusia, marilah kita kembali suburkan pendekatan Fadhail A’maal ini dalam kehidupan kita!

---
Majalah SOLUSI pada hemat saya satu majalah yang amat baik sebagai nota peringatan untuk kita. Dalam SOLUSI juga ada ruangan Soal Jawab Fiqh (masail) yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Syed Mohd Fadzli Al-Yamani.

2 comments:

Anonymous said...

jazakallah khairon kathiro ya ustazi atas kesudian menampal artikel sulung di solusi.
mudahan dpt dimanfaatkan oleh semua amin

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Ano,

Jika beli majalah tu lagi banyak manfaat yang dapat... :-)

Blog Widget by LinkWithin