Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, March 15, 2011

Kemuliaan...

Allah SWT adalah Satu-satunya Pencipta sekalian makhluk. Segala-galanya datang daripada 'khazanah' Allah SWT. Khazanah yang tidak pernah berkurang dan luasnya seperti luasnya Kudrat dan Iradat Allah SWT. Segala yang wujud di dalam Ilmu Allah, akan terzahir melalui Iradat dan Kudrat Allah.

Segala-galanya dicipta oleh Allah. Makhluk sebesar Arasy pun diciptakan oleh Allah. Sekecil-kecil makhluk baik pada peringkat atom, proton, neutron dan DNA sekalipun, diciptakan oleh Allah. Semua ini datang daripada khazanah Allah. Begitu juga, perasaan sedih, gembira, risau, senang hati dan sebagainya; juga adalah makhluk Allah SWT. Malah kehinaan dan kemuliaan juga adalah makhluk yang dicipta oleh Allah dan terkandung dalam khazanah Allah.

Hari ini jika kita tidak 'yakin' dengan perkara ini sebagaimana keyakinan para Sahabat, maka kita telah merendahkan martabat kita sebagai umat yang terbaik. Keyakinan yang tersasar daripada keyakinan para salafusoleh, akan melahirkan natijah yang berlainan daripada natijah yang telah dicapai oleh mereka. Kita masih membaca ayat yang menyatakan 'Kamu adalah umat yang terbaik', ayat tersebut juga tetap termaktub di dalam al-Quran; tetapi natijah yang kita perolehi begitu berlainan dengan penobatan kita sebagai 'umat yang terbaik'.

Kemuliaan juga hanya datang daripada Allah. Tamsilannya, jika kita ada akaun bank dengan Bank Islam, maka kita hanya boleh keluarkan wang kita daripada akaun Bank Islam. Walaupun kita gunakan saluran MEPS di ATM Maybank, wang kita tetap hanya boleh dikeluarkan daripada akaun Bank Islam kita. Itupun dengan syarat dalam akaun kita ada wang. Jika kita buka akaun Bank Islam tapi ingin keluarkan duit daripada akaun Bank Rakyat, sudah pasti kita akan kecewa. Begitulah juga keadaannya, apabila kita mencari kemuliaan daripada perkara selain yang ditetapkan oleh Allah, maka kita juga akan kecewa. Kemuliaan juga datang daripada khazanah Allah. Maka untuk 'withdraw' kemuliaan daripada khazanah Allah, juga perlu ikut peraturan yang telah ditetapkan.

Allah SWT menyatakan:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَكْرُ أُولَئِكَ هُوَ يَبُورُ

"Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: Orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa." (Faatir 35: 10)

Imam Ibnu Kathir menyimpulkan, sesiapa yang ingin menjadi mulia baik di dunia mahupun akhirat, maka hendaklah dia melazimi taat kepada Allah Taala, maka sesungguhnya dia akan mencapai hasratnya itu, kerana Allah Taala ialah Penguasa Dunia dan Akhirat, dan milik-Nya segala kemuliaan. Jika kita mencari kemuliaan selain daripada Allah, maka pasti dan pasti kita akan kecewa....


1 comment:

Unknown said...

as-slm,mashaAllah...memang benar kemulian kita dan seluruh manusia adlah di dlm taat kpd perintah agama...

Blog Widget by LinkWithin