JALAN MENUJU KASIH TUHAN
Oleh: Gunawan Aziz
Adalah menjadi sifat asasi agama yang hak, untuk menjadikan Kasih Tuhan itu adalah hadaful-asma (tujuan tertinggi) hidup seorang manusia. Pengenalan kepada wujudnya Tuhan Sang Maha Pecipta dan keesaanNya adalah asas untuk menuju Kasih dan KeredhaanNya. Mengimani kewujudan Zat Yang Sebenar-benar Tuhan Yang Maha Esa dan mengetahui keesaanNya adalah mendorong kepada penyerahan dan ibadah kepadaNya manakala Kasih dan Redha Tuhan itu adalah matlamat terakhir seorang hamba terhadap Tuhannya. [ Q18:110; Q20:14; Q98:7-8 ] Dan Zat Yang Sebenar-benar Tuhan Yang Maha Esa ini melalui kalamNya sendiri telah memanggil diriNya sebagai Allah [ Q3:18; Q20:14 ]. Malahan betapa banyak ajaran-ajaran dan agama-agama sesat yang mengarisbawahi nama Cinta dan Kasih Tuhan sebagai slogan dan semboyan mereka.
Menjadi seorang kekasih, ia memerlukan bukti. Sekadar kata-kata, pengakuan yang diberikan akan menjadi kabur. Ia memerlukan satu piawai yang baku sebagai ukuran kebenarannya. Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya telah membawakan catatan sejarah, bahawa sebagai menjawab kepada beberapa kelompok manusia yang mendakwa bahawa mereka mencintai Allah, maka Allah telah mewahyukan firmanNya: (mafhumnya) [ Katakanlah (wahai Muhammad)!: "Sekiranya kamu benar-benar mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta Dia mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah (itu) Maha Pengampun lagi Maha Pengasih". Katakanlah (lagi wahai Muhammad)!: "Taatlah kamu kepada Allah dan juga Rasul!"; sekiranya mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir.] Q3:31-32
Ayat ini secara jelas menerangkan bahawa jalan menuju Tuhan ialah melalui utusanNya: Nabi Muhammad (s.a.w.). Ini adalah satu pengisytiharan yang mutlak. Ittiba' Rasul (Mengikuti Rasul) adalah satu syarat mutlak untuk mencapai kasih Tuhan. Suruhan Ittiba' Rasul ini adalah begitu berautoriti, sehingga Allah menegaskan di dalam ayat berikutnya dengan perintah untuk mentaati Rasulullah (s.a.w.) Malah lebih jauh lagi, bagi mereka yang berpaling daripada kehendak Allah agar mengikuti dan mentaati Rasul ini, Allah mensifatkan perbuatan mereka itu sebagai amalan kekafiran. Semasa memberikan komentarnya tentang ayat ini, Ibnu Kathir mengatakan: "Ayat ini menghakimi atas orang yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan yang ditunjukkan oleh Muhammad (s.a.w.) Sesungguhnya mereka ini adalah pendusta di dalam seruannya, sehinggalah mereka mengikut syariat Muhammad dan agama Nabi di dalam semua perkataan dan perbuatannya."
Sesungguhnya jalan Tuhan itu hanya satu, dan ianya adalah Jalan yang amat Lurus [ Q11:56; Q6:153 ] Jalan yang Lurus ini adalah jalan yang menyampaikan hamba kepada Tuhannya, makhluk kepada Khaliqnya, kekasih kepada Yang Dikasihinya. Jalan ini adalah jalannya orang-orang pilihan Allah [ Q1:7 ]. Jalannya para Anbiya', para Siddiqin, para Syuhada' dan juga Solehin [ Q4:69 ]. Setiap orang Islam dari kalangan umat Muhammad (s.a.w.) diperintahkan untuk sentiasa bermohon kepada Allah agar sentiasa ditunjuki Jalan yang Lurus ini. [ Q1:6 ]. Dan Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah ikutan kita yang mutlak dalam menuju dan menjalani Jalan yang Lurus ini. Jalan yang membawa kita terus menuju Kasih Tuhan. Kerana sebagai Utusan Allah, adalah satu jaminan Allah bahawa Muhammad (s.a.w.) adalah sentiasa berada di atas Jalan yang Lurus [ Q36:3-4 ]. Bukan setakat itu sahaja, bahkan Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah pembimbing dan petunjuk ke arah Jalan yang Lurus [ Q 42:52-53 ]. Bukan hanya dirinya dijamin Tuhan berada di atas Jalan yang Lurus, bahkan beliau sendiri adalah petunjuk ke arah Jalan yang Lurus.
Allah dengan redha dan jaminan ilahiyyahNya telah menetapkan bahawa satu-satunya jalan untuk sampai kepada Kasih Allah ialah Ittiba' Muhammad (s.a.w.) Dalam kita mengharungi jalan Agama Allah yang Lurus ini, satu-satunya contoh ikutan kita ialah Muhammad (s.a.w.) Kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti dan mentaati setiap penerangan, penjelasan, ajaran, perintah, arahan, tegahan dan contoh tauladan Nabi Muhammad (s.a.w.) dalam kembara kita menuju kepada Kasih Tuhan [ Q3:31-32; Q4:59; Q4:64-65; Q4:80; Q33:36 ]. Bukankah Muhammad (s.a.w.) adalah Utusan Allah yang merupakan sebaik-baik tauladan kepada kita? [ Q33:21 ] Bukankah Allah menyatakan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w.) ini adalah lebih utama daripada diri kita dan keluarga kita sendiri? [ Q33:6 ] Nubuwwahnya adalah untuk seluruh manusia hingga ke hari Kiamat [Q7:158; Q34:28 ] dan beliau juga adalah rahmat bagi seluruh alam [ Q21:107 ]. Dan beliau berada di dalam jaminan Allah, akan sentiasa berada di atas Jalan yang Lurus [ Q36:3-4 ]. Jauh daripada terseleweng apatah lagi menyeleweng.
Sebagai seorang Utusan Tuhan, adalah penting untuk Nabi Muhammad (s.a.w.) bebas daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan, mengamalkan dan menghayati risalah agama Allah ini. Serta adalah penting untuk beliau menerima petunjuk yang berterusan dan berkekalan daripada Tuhan. Tentang 'petunjuk' itu ia digambarkan dengan penuh bererti oleh Tuhan sendiri di dalam firmanNya dalam ayat Q36:3-4; ayat ini memaklumkan bahawa Rasulullah (s.a.w.) tidaklah mengambil satu langkah melainkan langkahnya itu pasti berada di atas Siratul-Mustaqim (Jalan yang Lurus). Adalah mustahil bagi beliau untuk menyeleweng daripada jalan ini barang seincipun ke arah yang bengkok dan curang. Tuhan telah menjelaskan erti jalan yang lurus itu di tempat yang lain di dalam Al-Quran; yang kesimpulannya menyatakan bahawa Jalan yang Lurus itu adalah : "Jalan yang Tuhan sendiri berada di atasnya" [ Q11:56 ]. Ia adalah jalan untuk menuju kepada Tuhan, jalan Kebenaran dan penuh petunjuk; dan Rasulullah (s.a.w.) telah dijamin oleh Tuhan bahawasanya beliau tanpa boleh dipersoalkan dan tanpa tergendala pasti berada di atas Jalan yang Lurus.
Melalui ayat-ayat daripada firman-firman Tuhan ini, adalah jelas bahawa Rasulullah (s.a.w.) adalah sentiasa berada di atas bimbingan dan petunjuk yang kekal dan mutlak daripada Tuhan. Dan petunjuk/pimpinan ini adalah tidak terbatas tentunya hanya untuk menerima dan memindahkan Al-Quran sahaja. Tuhan telah menjaminkan perkara ini tanpa had dan batas. Oleh itu apa sahaja yang dibawakan daripada Rasulullah (s.a.w.) kepada kita, hendaklah kita ambil; dan apa saja yang ditegah beliau hendaklah kita hindari [ Q59:7 ]. Itulah ajaran Al-Quran. Itulah kehendak Allah. Untuk Ittiba' Muhammad (s.a.w.), tidak dapat tidak ia bererti merujuk kepada panduan, tuntunan, ajaran, penghayatan, penjelasan, arahan, tegahan dan tauladan Nabi Muhammad (s.a.w.) samada yang berbentuk lisani, amali mahupun pengiktirafan beliau kepada sesuatu kelakuan dan perbuatan. Dan inilah dia Jalan yang akan membawa kita kepada Kasih Tuhan.
Dengan itu, jelaslah betapa tersesatnya golongan yang berpendapat Sunnah Rasulullah (s.a.w.) bukanlah hujah dalam kita mengamalkan agama Allah Ta'ala. Bila kita sebagai seorang muslim mengamalkan agama Islam ini sebagai menjunjung titah-perintah Allah dan untuk mendapatkan Kasih dan redhaNya, maka Allah dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa satu-satunya jalan beragama untuk sampai kepada matlamat tersebut ialah dengan mengikuti dan mentaati setiap Sunnah (panduan, tuntunan, ajaran, penghayatan, penjelasan, arahan, tegahan dan tauladan) Nabi Muhammad (s.a.w.) samada yang berbentuk lisani, amali mahupun pengiktirafan beliau kepada sesuatu kelakuan dan perbuatan. Itulah yang dinyatakan oleh Al-Quran.
Firman Tuhan dalam Surah 3: Ayat 31 dan 32 ini adalah jelas dan tegas menolak doktrin penolakan Sunnah dan Hadith Nabi Muhammad (s.a.w.) sebagai hujah dalam Syariat Islam. Ia dengan jelas menolak kesesatan golongan Anti-Hadith /Engkar-Sunnah /Golongan Quran yang percaya bahawa untuk memahami dan beramal dengan agama ini adalah memadai dengan hanya merujuk kepada Al-Quran. Adalah benar bahawa sumber Syariat kita adalah Al-Quran, tetapi Al-Quran pula mengajarkan kita bahawa untuk memahami dan mempraktikkan agama ini, kita hendaklah mengikuti dan mentaati Sunnah Rasulullah (s.a.w.) . Bahkan Allah sendiri mengancam dan mengecam sesiapa yang menentang Rasulullah (s.a.w.) dan ajaran(yakni sunnah) yang dibawa olehnya.
Allah berfirman (mafhumnya):[ Dan barangsiapa yang menentang Rasul setelah jelas kepadanya petunjuk itu, dan mengikuti selain daripada jalan orang-orang yang beriman; Kami akan biarkan (atas) apa yang dipilihnya itu, dan (akhirnya) Kami akan membakarinya di dalam Neraka Jahannam; dan (itulah) sejahat-jahat tempat kembali! ] Q4:115
Wa maa taufiiqii illa billah, 'alaihi tawakkaltu wa ilaihi uniib. Walhamdulillahi rabbil-'aalamiin.
NOTA: Artikel ini adalah tulisan saya daripada laman web Hujjiyyatussunnah.Wakaf.Net dan pernah disiarkan oleh akhbar Berita Harian.
No comments:
Post a Comment