Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Sunday, January 4, 2009

Gaza dan kita hari ini...


Pesawat pejuang, kereta kebal bedil Hamas

BANDAR RAYA GAZA: Selepas melancarkan serangan udara selama lapan hari, tentera Yahudi awal pagi semalam mara memasuki Gaza dalam fasa kedua pencerobohannya tanpa menghiraukan bantahan antarabangsa dengan angka kematian warga Palestin kini mencecah 485 orang.

Serangan darat tentera Yahudi itu bagaimanapun dibalas pejuang Hamas dengan bertekad menjadikan Gaza kubur askar Israel.

Dalam pertempuran awal pagi itu, sembilan askar Yahudi terbunuh dan Hamas mendakwa berjaya menawan dua askar Israel.

"Kamu memasuki Gaza seperti tikus. Gaza akan menjadi kubur anda, Insya Allah," kata jurucakap Hamas, Ismail Radwan, merujuk kemaraan tentera Yahudi yang disiarkan oleh stesen televisyen Hamas, Al Aqsa yang kemudian dibom jet Israel.

Hamas yang dipercayai mempunyai 20,000 anggota bersenjata, turut melancarkan 25 lagi roket ke wilayah Israel.

Ambulans tentera dilihat membawa askar Yahudi yang cedera ke hospital di bandar selatan Israel, Beersheba. Tentera Israel melaporkan setakat ini 30 askarnya cedera, dua parah, manakala 23 warga Gaza maut.

Pegawai tentera dan saksi Palestin pula dilaporkan berkata, satu unit kereta kebal menyerang selatan Gaza hingga ke kawasan penempatan Netzarim, yang ditinggalkan Israel ketika regim Yahudi itu keluar dari Gaza pada 2005.

Serangan itu menyebabkan laluan ke bandar raya Gaza, kawasan paling ramai penduduk, terputus daripada semua kawasan lain di Gaza hingga ke selatannya. Serangan tertumpu di tempat kebanyakan bedilan roket dilancarkan ke arah Israel.

Pada masa sama, pesawat Israel terus membedil sekurang-kurangnya empat sasaran, termasuk terowong, kemudahan simpanan senjata, kawasan yang digunakan untuk melancarkan bedilan meriam dan kawasan pendudukan pejuang Hamas.

Bot tentera laut Israel turut memberi sokongan dengan membedil ibu pejabat perisikan Hamas di bandar raya Gaza, kawasan pelancaran roket dan tempat anggota marin Hamas berkubu.

Askar Israel bagaimanapun tidak memasuki kawasan bandar utama di Gaza, tetapi bertempur di kawasan luar bandar dan kawasan terbuka yang menjadi tempat militan melancarkan roket dan bedilan meriam.

Penduduk daerah utara Gaza, al-Attatra, berkata askar Israel memeriksa setiap rumah dengan memecahkan dinding, tetapi kebanyakan rumah tidak lagi berpenghuni kerana penduduknya sudah melarikan diri.

Israel mula menyerang Gaza pada 27 Disember lalu menyebabkan 2,500 rakyat Palestin cedera dengan sekurang-kurangnya 80 kanak-kanak dan orang awam terkorban. Hamas pula bertindak balas dengan melancarkan lebih 500 roket dan mortar ke Israel menyebabkan empat rakyat negara Yahudi itu maut. - AP
-----------------
1. Berita ini saya petik daripada Berita Harian Online yang sumbernya pula daripada AP. Sejauhmana ketepatan AP melaporkan berita? Adakah mereka benar-benar bersih daripada agenda Barat untuk menonjolkan agama Islam sebagai sumber keganasan? Sejauhmana kebenaran laporan yang Hamas SEDANG memberi saingan sengit kepada pencerobohan dan serangan ganas Israel?
2. Melihat keadaan kita (umat Islam) hari ini, apakah akar punca paling hakiki kepada keadaan kita ini? Saya memetik kata-kata pengarang "Kemunduran Umat dan Penyelesaiannya":
"Hakikat sebenarnya ialah sehingga ke hari ini penyakit kita belum dikenal pasti (diagnos) secara sempurna. Beberapa perkara yang telah dinyatakan sebagai penyakit yang kononnya menyebabkan kejatuhan kita, bukanlah penyakit yang sebenar, tetapi hanyalah gejala sampingan. Oleh itu, selagi tumpuan tidak diberikan kepada penyakit yang sebenar serta rawatan unsur-unsurnya tidak dijalankan maka pemulihan ke atas gejala-gejala sampingan bukan sahaja tidak mungkin terlaksana malahan menjadi mustahil. Oleh itu, selagi kita tidak betul-betul mengenalpasti penyakit dan tidak mahu mengetahui cara rawatannya yang sebenar maka sebarang perbincangan untuk mengislahkan umat adalah satu kesilapan yang besar."
3. Tiba-tiba dalam rintihan hati ini, saya teringat satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Apabila umatku mementingkan dunia, dicabut daripada mereka kehebatan Islam. Apabila mereka meninggalkan al-amr bil-ma'ruf wan-nahyi 'anil-munkar, akan diluputkan daripada keberkatan Wahyu. Apabila umatku saling caci-mencaci, gugur mereka daripada pandangan Allah."
(Bersumber daripada Abu Hurairah r.a. dinukilkan daripada Kitab Durril-Manthur hadis riwayat Al-Hakim At-Tirmizi; As-Sayuti juga menukilkannya di dalam Al-Jami'us-Soghir)
Jika diperhatikan kepada sabdaan ini, yang mana satukah antara TIGA MUSIBAH ini belum terjadi kepada kita? Apabila kehebatan Islam dicabut, keberkatan wahyu diharamkan dan terputus kita daripada pandangan Allah, apa lagi yang tinggal untuk kita?
Oh Allah! Sesungguhnya kuadukan kedukacitaanku dan kebimbanganku ini hanya kepada Mu...

No comments:

Blog Widget by LinkWithin