Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Tuesday, May 19, 2009

"(Ya Allah!) Adakah Kau bergurau..."

Telah menceritakan kepada kami Hannad ibn As-Sariy, telah menceritakan kepada kami oleh Abu Mu'awiyah daripada Al-A'masy daripada Ibrahim daripada 'Ubaidah As-Salmani daripada Abdullah bin Mas'ud RA berkata:

Rasulullah SAW bersabda, "Daku tahu orang yang terakhir keluar dari Jahannam. Seorang lelaki yang keluar daripadanya dalam keadaan merangkak. Maka dikatakan kepadanya, "Pergilah kamu dan masuklah ke dalam syurga!"

Lalu dia pun pergi untuk memasuki syurga, namun didapatinya semua penghuni syurga telah pun mengambil tempat mereka masing-masing.

Lalu dia pun kembali semula dan mengadu, "Wahai Tuhan, sesungguhnya semua orang 'dah pun mengambil tempat mereka masing-masing."

Maka dikatakan kepadanya, "Adakah kamu ingat saat-saat kamu berada (di dunia) dulu?"

Jawabnya, "Ya!"

Maka dikatakan kepadanya, "Bercita-citalah kamu! " (Yakni, cita-citakanlah apa sahaja yang kamu inginkan tentang syurga kamu itu!)

Lalu orang itu pun mula bercita-cita.

Maka dikatakan kepadanya, " Bagimu apa sahaja yang kamu cita-citakan itu, dan (ditambahkan lagi untukmu) dengan keluasan sepuluh kali ganda dunia!"

Lalu orang itu berkata, "(Ya Allah!) Adakah Kau bergurau dengan aku, sedangkan Engkau adalah Raja Segala Raja?"

Kata (Abdullah ibnu Mas'ud RA), "Sesungguhnya aku lihat Rasulullah SAW (semasa menceritakan peristiwa ini) baginda telah tertawa hingga nampak nyata geraham-geraham Baginda (yang mubarak)"

(HR At-Tirmizi di dalam Sunannya Bab Sifat-Sifat Jahannam, Al-Bukhari di dalam Sahihnya Bab Sifat Jannah dan bab Tauhid, Muslim di dalam Sahihnya Bab Iman dan Ibnu Majah di dalam Sunannya Bab Zuhud; sebagaimana di dalam Khasail Nabawi Syarh Syamail Tirmizi)

Ulasan hadis:

Ketawa Rasulullah SAW adalah kerana kemurahan Allah SWT dan anugerahNya atas orang yang terakhir keluar dari Jahannam. Orang tersebut adalah jelas seorang Muslim yang paling berdosa namun dia amsih lagi dilimpahi dengan ganjaran yang begitu besar. Betapa pula ganjaran bagi kaum Muslimin yang lain serta para Solihin? Lebih besar ganjaran yang diterima oleh ummah maka lebih gembira Rasulullah SAW. Mungkin juga Rasulullah SAW ketawa kerana orang tersebut keluar juga drai Jahannam setelah mengalami pelbagai azab, namun dia berani menyatakan keinginannya dan berkata Allah SWT bergurau dengannya. (Intaha daripada Khasail Nabawi, hadis ketujuh Bab Ketawa Rasulullah SAW)

Bagi yang saya yang faqir ini, bila saya baca hadis ini, sering saya juga turut tersenyum, kerana digambarkan di sini, bagaimana Rasulullah SAW sampai tertawa tatkala menceritakan kisah ini.

Sebagaimana petikan huraian hadis di atas, Rasulullah SAW tergelak di sini mungkin kerana rasa bahagia Baginda kerana salah seorang umatnya yang paling lemah sekalipun akhirnya dapat memasuki syurga. Atau mungkin Rasulullah SAW geli hati dengan gelagat hamba Allah tersebut yang begitu tidak percaya betapa luasnya syurga yang dikurniakan kepadanya, sedangkan dia adalah ahli neraka yang terakhir di keluarkan daripada Jahannam, dan selepas itu neraka akan dipatrikan untuk selama-lamanya. dek 'tak percayanya hamba Allah tersebut, hingga terpancul daripada mulutnya pertanyaan, "Ya Allah, tak 'kanlah Engkau yang merupakan Raja Segala Raja, tergamak bergurau macam 'ni dengan aku yang hina ini?"

Daripada hadis ini, banyak perkara yang kita boleh pelajari:

Imam At-Tirmizi memasukkan hadis ini di dalam kitab Sunannya di bawah bab sifat-sifat neraka, di dalam Syamailnya di bawah bab ketawanya Rasulullah SAW. Manakala Imam Al-Bukhari pula memasukkannya di bawah bab sifat-sifat syurga dan tauhid. Imam Muslim melihat hadis ini daripada sudut nilai Iman.

Hadis ini jelas menyatakan, hamba Allah ini ialah seorang lelaki. Ahli neraka yang terakhir sekali dikeluarkan daripada neraka. Jika dia adalah yang terakhir keluar daripada neraka, sudah tentu kita dapat faham bahawa orang ini adalah seorang Muslim yang paling lemah dan paling banyak dosanya. Malah, di dalam riwayat yang lain dinyatakan bahawa orang ini hanya mempunyai iman sebesar zarah sahaja! Itulah sahaja modal kebaikan yang dia ada. Entah sudah berapa ratus ribu juta tahun di azab di dalam neraka, sebelum diampunkan dan dimasukkan ke dalam syurga?

Pun begitu, dengan hanya iman yang sebesar zarah sahaja, fadhilatnya cukup untuk melayakkan hamba Allah itu mendapat syurga yang sepuluh kali ganda luasnya dunia! Allahu Akbar!

Adakah kita benar-benar faham nilai Iman yang kita ada ini? Sudahkah kita benar-benar mensyukurinya?

Oh Allah... Fahamkanlah kami!

1 comment:

mutakalim said...

salam,
tuan di putrajaya ke? kenal tak kakun hj. azmi? dia QS gerbang selatan.

Blog Widget by LinkWithin