Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, January 3, 2011

Majalah SOLUSI Bil. 27: Kemuliaan Satu Fitrah

Alhamdulillah, Majalah Solusi Bil. 27 telah mula berada di pasaran. Masuk saja pejabat semalam, pembantu saya mengunjukkan sampul surat daripada Telaga Biru. Rupanya Majalah Solusi untuk kolumnis macam saya. Saya masukkan di blog ini, artikel yang disiarkan. Semoga ada manfaatnya.


Setiap insan yang waras semestinya menyukai kemuliaan. Tidak ada seorang pun yang sukakan kehinaan. Itu adalah fitrah yang semuladijadi wujud dalam diri seorang manusia. Walaupun kemuliaan itu sendiri adalah berbeza-beza maknanya daripada satu individu dengan individu yang lain, tetapi apa yang pasti, semuanya cintakan kemuliaan.

Mungkin kepada seorang pelajar, menjadi pelajar terbaik, adalah satu kemuliaan baginya. Manakala bagi seorang rakyat, dianugerahkan pingat oleh seorang sultan itu merupakan kemuncak kemuliaan pula kepadanya. Seorang bapa mungkin akan merasa mulia, apabila anaknya mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kemuliaan bagi seorang guru, mungkin apabila anak-anak muridnya menghormatinya dan berjaya dalam hidup mereka.

Sekali lagi diulangi, kemuliaan itu mungkin pelbagai erti dan definisinya kepada seseorang, namun yang pasti semua orang akan menyukainya. Bahkan, merupakan satu fakta, untuk mencapai apa yang dirasakan sebagai satu kemuliaan bagi seseorang itu, manusia hampir sanggup melakukan apa sahaja. Segala daya usaha dan kesungguhan akan dikerah, keringat akan diperah hatta air mata dan darah pun sanggup ditumpah. Asalkan perkara yang dilihat sebagai satu kemuliaan itu akan dapat dicapai.

Ironinya, demi mendapatkan kemuliaan, ada yang sanggup sehingga melakukan perkara-perkara yang hina. Ada yang sanggup membunuh, menipu, merasuah, menyihir dan menzalimi; asalkan apa yang dirasakan boleh membawa kemuliaan itu diperolehi. Apa yang diinginkan oleh hati, akan menggerakkan akal bagi menyusun strategi, apakah cara untuk mendapatkannya.

Rasulullah s.a.w. amat memahami struktur fitrah kejadian manusia ini. Maka kita dapati, baginda telah menggunakan kaedah fadhail a’maal untuk membentuk dan mencerna hati para sahabat baginda agar mempunyai sistem keimanan yang sahih dan utuh. Apabila sistem keimanan ini telah dibetulkan, maka pandangan mereka kepada alam ini juga akan menjadi betul. Di sini, para sahabat telah diasuh untuk menghubungkan kemuliaan mereka dengan makna kemuliaan yang hakiki. Kemuliaan yang akan diperlukan oleh siapa sahaja tanpa mengenal jantina, umur, kekayaan mahupun pangkat. Kemuliaan yang akan kekal relevan definisinya hingga ke hari kiamat.

Hati para sahabat telah ditempa dengan satu acuan, iaitu acuan ‘Sibghatullah’ [ صبغة الله ] (Celupan Allah). Mulia atau hina sesuatu perkara itu, neracanya hanya satu, iaitu redha dan murka Allah s.w.t. Apa yang dipandang mulia oleh Allah dan Rasulullah s.a.w., itulah yang dipandang mulia oleh mereka.

Allah s.w.t. menegaskan, “Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Surah al-Baqarah 2: 138)

Dalam kitab Majma’u al-Zawaaid, dinukilkan satu riwayat yang bersumber daripada Salman al-Faarisi r.a., daripada Rasulullah s.a.w., “Sesiapa yang berwudhuk dari rumahnya, dengan memperelokkan wudhuk itu, kemudian datang ke masjid, maka sesungguhnya dia adalah tetamu Allah; dan adalah menjadi tanggungjawab tuan rumah yang dikunjungi untuk memuliakan tetamu yang mengunjungi.” (HR at-Tobrani)

Inilah salah satu jalan untuk mencapai kemuliaan yang begitu tinggi. Jalan yang begitu sederhana, tetapi nilainya begitu agung dan tinggi. Apakah ada suatu kemuliaan yang lebih tinggi melebihi dimuliakan oleh Allah Taala sendiri? Apakah mungkin seorang yang beriman dengan Allah Yang Maha Agung, merasa ada perkara lain yang lebih mulia daripada kemuliaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. sendiri?

Para sahabat telah memahami perkara ini, sehingga mereka telah berlumba-lumba untuk hadir ke masjid bagi meraih kemuliaan yang amat besar ini. Mereka tidak menunggu masa lapang untuk ke masjid, tetapi mereka melapangkan masa untuk masjid. Mereka dengan penuh keimanan memahami, bahawa sumber kemuliaan mereka berada di sana.

Jika inilah kemuliaan yang dijanjikan untuk mereka yang pergi ke masjid, apakah kemuliaan yang akan dianugerahkan kepada mereka yang bersusah payah memujuk rayu manusia lain agar datang memakmurkan masjid?
Fikir-fikirkanlah…

2 comments:

Unknown said...

Salam,kisah jemaah saya yang meninggal di Markaz masjid Nizhamuddin,telas siap.
Harap sudi-sudilah membacanya.Semoga mendapat iktibar dari kisah tersebut.Terima kasih.

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Sungguh satu kematian yg amat dicemburui... petanda mereka yg telah mencapai kemuliaan hakiki.. ya Allah, terimalah daku yg faqir ini...

Blog Widget by LinkWithin