Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, May 1, 2008

Hari Pekerja!

"i wish a 'happy labour day' to everybody at home....have a nice rest with the family!", kata adik saya dari Algiers, Algeria.

'Dah menjangkau 10 tahun adik saya 'tu tinggal di rantau orang. Tapi 'tak 'lah kira merantau sangat, sebab dia tinggal di sana bersama suaminya yang memang pun orang Algeria. Mereka bertemu jodoh semasa bersama-sama belajar di UK.

Ya! Kita semua sedang bercuti hari ini. Tapi bercuti, bukannya bermakna tidak sibuk. Sudah petang begini, barulah ada ruang untuk menulis sesuatu di blog ini. Itu pun, baru 'nak mula menaip, adik saya yang tinggal di Shah Alam sampai. Sebenarnya singgah untuk ambil pesanan Kopi Radixnya.

Ingat 'tak iklan, "Mai secawan..." 'tu?

Saya terfikir, 1 Mei ialah Hari Pekerja. Hari untuk orang-orang yang bekerja; tetapi kita menyambutnya dengan bercuti!!! Ironi bukan?

Bekerja merupakan satu perkara yang mulia. Kita selalu dengar ungkapan - yang mungkin sudah menjadi satu slogan - bahawa 'Kerja Itu Ibadah'. Ibadah umum, katanya. Dek sering kita selalu dengar ungkapan itu, menyebabkan kita akhirnya menjadi lali dan kehilangan makna.

Ibadah hakikatnya ialah kehambaan. Bagaimanapun, kehambaan itu disertai dengan kecintaan. Dengan makna yang sedemikian, seorang hamba dalam kontak 'Ibadah' sebenarnya ialah seorang kekasih. Seorang kekasih, fokus jiwa dan raganya ialah kegembiraan pihak yang dikasihi. Syair Arab ada menyatakan,

"Seorang kekasih, terhadap seorang yang dikasihi, amat taat sekali!".

Jika demikian, sejauhmana sebenarnya segala kerja yang kita buat, kerja yang kita bertungkus-lumus melakukannya, benar-benar membawa kita kepada sifat kehambaan ini? Demi kita menggapai kasih dan cinta Allah kepada kita?

Apakah lagi yang lebih menggembirakan seorang kekasih, lebih daripada balasan kasih dan cinta daripada orang yang dikasihinya?

Sebagai berita gembira kepada kita semua yang bergelar pekerja ini, Rasulullah S.A.W. menyatakan:

“Sesungguhnya Allah kasih apabila seseorang dari kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia ber’itqan’ dengan pekerjaan itu.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).
Jelas, Itqan ialah satu konsep yang telah digariskan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. Al-Quran sendiri menggunakan perkataan ini semasa menggambarkan tentang Allah S.W.T.,

“Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan
Allah yang telah membuat segala sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya
(Itqan); Sesungguhnya Dia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu
lakukan."(Surah An-Naml 27: 88)

Perkataan Arab ‘Itqan’ merupakan perkataan yang sering digunakan bagi menunjukkan tahap sesuatu kerja yang berkualiti.

Penjelasan terbaik yang mungkin boleh diberikan untuk makna Itqan ialah “untuk menyusun dan menyisihkan sesuatu benda atau perkara secara saintifik dan berseni bagi tujuan mencapai natijah yang paling sempurna.”

Di samping itu, perkataan Arab yang sinonim dengan Itqan ialah Ihkam, yang bermaksud melakukan sesuatu dengan ‘hikmah’. Perkataan ‘hikmah’ ini dan juga kata terbitan daripadanya telah disebutkan tidak kurang daripada 300 tempat di dalam Al-Quran. Ini adalah indikasi paling ringkas dan jelas bagi menunjukkan betapa Islam memberikan perhatian yang besar terhadap melaksanakan pekerjaan yang berkualiti.

"Emmm.. Panjang pulak tazkirah on-the-spot saya ni!"

Apapun, berita gembira ini menyatakan, pekerjaan kita ini merupakan medan kita yang terbaik untuk kita mendapatkan kasih Allah kepada kita!


Selamat Hari Pekerja!




No comments:

Blog Widget by LinkWithin