Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Tuesday, May 13, 2008

Limau Bali, tapi di Ipoh…

Hari ini ialah hari kedua berada di Ipoh. Sebenarnya berada di Ipoh ‘ni kerana KMK Jawhari An-Najwa melakukan Lawatan Kerja ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perak dalam rangka mempelajari pengalaman dan petua daripada kumpulan KMK mereka. Di samping melakukan lawatan itu, kami juga mengadakan bengkel selama 3 hari bagi menyempurnakan persembahan projek yang dibangunkan.
Malam tadi, Izwin dan Nor datang ziarah saya di hotel ‘ni. Bersama mereka juga, seorang insan yang istimewa iaitu Imtiyaz, buah hati mereka yang genap berumur 5 bulan semalam. Alhamdulillah, berjumpa juga dengan mereka. Izwin dan Nor ‘ni kawan lama saya dan isteri. Sekarang masih setia bertugas di Ipoh ‘ni.
Tengahari nanti saya akan ke pulang kerana esoknya kena ke Port Dickson untuk bengkel Audit Dalaman ISO pula. KMK dan ISO walaupun memberikan penekanan dan pendekatan yang berbeza, namun begitu, adalah jelas kedua-duanya merujuk tentang satu mauduk yang sama iaitu kualiti.

ISO menekankan kualiti dari segi keselarasan di antara apa yang dirancang dan digariskan dengan pelaksanaannya; dan juga vice-versa. Manakala KMK pula memfokuskan kepada sikap sentiasa berfikir untuk penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Bagi saya pula, Izwin dan Nor adalah contoh keikhlasan dalam persahabatan. Keikhlasan ini sudah tentu merupakan kualiti terpenting dalam persahabatan.


Imtiyaz


Menyentuh dan ‘dah tersentuh mengenai kualiti ini, tiba-tiba saya teringat kepada dua firman Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (mafhumnya):

“Berjayalah orang-orang yang beriman! (Iaitu) mereka yang di dalam solat mereka merupakan orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Mukminun : 1-2)

Dan firman Allah S.W.T. (mafhumnya):

“Celakalah bagi orang-orang yang bersolat, iaitu mereka yang lalai berkenaan solat mereka!” (Surah Al-Maa'un : 4-5)

Jika kita lihat kedua-dua firman ini menyentuh subjek yang sama, iaitu solat. Bagaimanapun natijah yang disebutkan adalah berlainan. Satu dihubungkan dengan kejayaan, manakala satu lagi dihubungkan dengan kecelakaan atau kegagalan.

Kenapa?

Tidak lain dan tidak bukan, sebagaimana yang dinyatakan secara telus oleh Allah S.W.T. di sini, diikat dengan kualiti solat seseorang itu sendiri. Solat tetap solat, tetapi mempunyai kualiti yang berbeza. Kualiti yang berbeza, memberikan natijah yang berbeza. Inilah konsep kualiti yang diterapkan oleh Allah S.W.T. melalui syariat-Nya kepada setiap Muslim. Sekiranya kita benar-benar menghayati ajaran Al-Quran ini, kita umat Islam sepatutnya menjadi individu-individu yang paling berkualiti.

Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa perumpaan solat di dalam agama seperti kedudukan kepala kepada badan. Jika demikian, sebagaimana kita dituntut untuk berkualiti di dalam solat, maka demikian juga kita dituntut untuk berkualiti di dalam setiap juzuk hidup kita.

Apa ukuran bagi menentukan berkualiti atau tidak sesuatu urusan itu?

Ukuran tersebut, tidak lain dan tidak bukan ialah, menepati seluruh perintah Allah S.W.T., sebagaimana tunjuk ajar Rasulullah S.A.W.

Semoga taufik Allah S.W.T. sentiasa bersama kita!

No comments:

Blog Widget by LinkWithin