Bismillahir-Rahmanir-Rahiim.
Ya Allah, Engkaulah Tuhan. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahmat-Mu meliputi segala sesuatu. Ya Hayyu Ya Qayyum. Engkaulah yang mengeluarkan benda yang hidup daripada benda yang mati, benda yang mati dari benda yang hidup. Segalanya datang dan wujud hanya dari Kudrat-Mu. Ya Allah, Ilmu-Mu meliputi segala sesuatu. Tidak tersembunyi walau satu zarah daripada Penglihatan-Mu. Tidak tersembunyi walau sebiji pasir daripada Pengetahuan-Mu. Segalanya bergantung kepada-Mu, sesungguhnya Engkaulah As-Somad, tempat tumpuan segala makhluk. Tidak ada satu makhluk pun yang terlepas daripada pentadbiran-Mu.

Wahai Allah, bantulah aku mencapai Cinta-Mu, mencapai Redha-Mu. Kosongkanlah hati ini, selain daripada-Mu. Penuhkanlah hati ini dengan Kebesaran dan keagungan-Mu. Penuhkanlah hati ini dengan kecintaan kepada Rasul-Mu, Muhammad s.a.w. Ya Allah, pandanganlah aku dan umat hari ini dengan pandangan belas-Mu. Ya Allah, muliakanlah kami dengan kemuliaan hakiki; sebagaimana kemuliaan yang telah Kau berikan kepada para Sahabat dan salafus-soleh yang dulu. Ya Allah, satukanlah hati-hati umat ini. Jadikanlah hati-hati kami menjadi satu, saling menyayangi dan memuliakan antara satu sama lain. hancur dan cabutlah daripada hati kami faham kepuakan, kekabilahan, kepartian, kenegaraan; jadikanlah hati kami bersatu di bawah faham keumatan. Ya Allah, bantulah umat ini, umat kekasih-Mu. Umat yang telah ditebus dengan darah dan pengorbanan oleh kekasih-Mu dan para Sahabat baginda. Ya Allah, muliakanlah kami kembali dengan agama-Mu ini. Ya Allah, dengarlah jeritan hati ini, Ya Allah segerakanlah bantuan-Mu.
Wahai Allah, jika Engkau tidak lagi mahu mengendahkan kami; maka Tuhan mana lagi yang dapat kami seru? Ya Allah, bantulah kami, mencukupi bagi kami Allah sebagai Wakil, Dia-lah sebaik-baik Maula, lagi sebaik-baik Penolong.
Amin.
No comments:
Post a Comment