Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Thursday, July 3, 2008

Sekali lagi bersama Rejab


Allah SWT telah berfirman (mafhumnya):

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah At-Taubah 9:36)

Rasulullah SAW telah menjelaskan melalui sabda Baginda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan, yang mana empat di antaranya ialah bulan Haram (suci dan dihormati); tiga daripadanya ialah berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram, dan seterusnya Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Sya’ban.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)


Kemunculan bulan Rejab ini mengingatkan saya kepada dua perkara:

(1) Peristiwa Isra’ dan Mi’raj; dan
(2) Persiapan Ramadhan secara rasminya bermula

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan perkara yang sabit secara nas Al-Quran. Peristiwa Isra’, ramai yang tahu dimanakah letak dalil Quraninya, iaitu ayat 1 Surah Al-Isra’. Surah yang ke-17 di dalam Al-Quran. Bagaimanapula dengan peristiwa Mi’raj? Jumhur ulama tafsir menyatakan bahawa peristiwa Mi’raj ini disinggung oleh Al-Quran melalui ayat 1 – 18 Surah An-Najm, iaitu surah yang ke-53.

Walaupun kedua-dua peristiwa besar ini merupakan satu yang sabit di dalam Al-Quran dan mempunyai kerelevanannya yang berterusan dari segi fizik dan spiritual ummah; Isra’ dan Mi’raj ini tidak dapat ditentukan dengan muktamad bilakah tarikh terjadinya.

Tarikh yang masyhur ialah pada 27 Rejab tahun ke-12 Kerasulan Rasulullah SAW. Bagaimanapun Al-Zurqani, seorang tokoh ulama Sirah, telah menukilkan bahawa ada lima pendapat yang berbeza tentang bilakah terjadinya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, iaitu: Rabiulawal, Rabiulakhir, Rejab, Ramadhan dan Syawal. Kemudiannya, setelah membincangkan beberapa riwayat lain tentang perkara ini, beliau telah menambah pendapat yang keenam, iaitu bulan Zulhijjah. Malah Allamah Abdulhaq Muhaddith Dehlawi membuat kesimpulan bahawa pendapat terkuat malam Mi’raj yang bersejarah itu terjadi ialah sama ada pada bulan Ramadhan ataupun Rabiulawal, dan bukannya bulan Rejab! Demikianlah pemerhatian Hadrat Mufti Taqi Usmani di dalam artikelnya 'The Month of Rajab'.

Bagi saya, apa yang lebih penting di sini ialah, bukan bilakah peristiwa ini terjadi, tetapi kita perlu bertanyakan diri kita, “Apakah sebenarnya yang Allah MAHU kita pelajari daripada dua peristiwa besar ini?”.

Bila saya merenungkan hal ini daripada sudut pertanyaan tersebut, antara yang dapat saya tanggap ialah, peristiwa Isra’-Mi’raj ini pada hakikatnya adalah natijah daripada perjuangan dan usaha dakwah Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan peristiwa kemuncak yang dimulai oleh pengorbanan demi pengorbanan. 12 tahun yang penuh fikir, risau dan bimbang; penuh kecintaan kepada insan; penuh jazbah untuk melihat setiap insan dapat diselamatkan daripada tangkapan neraka Allah, dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Isra’ dan Mi’raj ini merupakan kobaran dan bakaran semangat buat Rasulullah SAW dan para Sahabat RA untuk meneruskan usaha dakwah mereka sebagai rahmatan lil-’alamin dan khaira ummah dengan penuh iman dan ihtisab!

Oleh itu, walaupun peristiwa ini sudah lebih seribu empat ratus tahun berlalu, tetapi ia masih relevan kepada umat Islam hari ini. Ini disebabkan, amanat dan tugas yang sama yang dipikul oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat RA, tugas yang samalah yang masih terpikul di atas bahu kita. Tugas yang perlu kita jalankan secara ummah! Apabila tugas dan usaha yang sama dilakukan, maka sumber keimanan dan motivasi yang sama dapat kita ceduk daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, sebagaimana yang pernah diperolehi oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat RA dahulu!

Jika tidak, peristiwa ini akan tinggal hanya sebagai cerita, dan cerita ini pula lama-kelamaan akan hanya menjadi penglipurlara...

”Oh Allah, fahamkanlah kami hakikat ini...”



Insya Allah, akan disambung lagi...

No comments:

Blog Widget by LinkWithin