Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, October 7, 2008

Syawwal 1429H

Alhamdulillah, masih lagi dapat meneruskan hidup di dunia yang fana ini, dan sempat bertemu dengan tarikh 8 Syawwal. Maknanya, seminggu pertama Syawwal telah pun berlalu.

1 Syawwal tentunya hari yang disambut dengan kegembiraan, keterujaan dan kesyukuran. Hari kemenangan! Kesedihan berpisah dengan Ramadhan, diubati dengan kefahaman bahawa menyambut Aidil Fitri itu sendiri adalah ibadah. Kita diberi pahala untuk bergembira. Kita diberi pahala untuk makan dan minum pada hari ini. Malah, kita diharamkan berpuasa pada tarikh 1 Syawwal.

Aku pagi-pagi lagi sudah sibuk mengejutkan anak-anak. Subuh Aidil Fitri yang penuh barakah. Malaikat bertebaran sejak daripada malamnya. Pada pagi Aidil Fitri, mereka mengalu-alukan di setiap penjuru jalan kaum Muslimin yang menuju ke tempat Solat Aidil Fitri akan diadakan. Hari di mana segala ganjaran akan disempurnakan, dosa-dosa akan diampunkan dan segala doa dimakbulkan.
Diiringi takbir yang mendayu-dayu, rutin kami sekeluarga diteruskan. Sarapan ringkas dan kemudiaannya saling bermaaf-maafan, terutamanya dengan Abah dan Ma. Sesama adik beradik. Anak dan ibu bapa. Cucu dan datuk serta neneknya. Seperti biasa, tahun ini kami bersolat Aidil Fitri di kampung asal kami, iaitu di Kampung Rupek.

Tepat 8.30pagi, solat dimulakan. Diimamkan oleh imam jemputan, iaitu Ustaz Din. Disusuli dengan khutbah. Setelah selesai khutbah, masing-masing bersalaman dengan wajah yang penuh keceriaan dan kesyukuran. Saling bertanya khabar sambil bermaaf-maafan.

Aku teringat kepada apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, apabila umat ini selesai daripada menunaikan solat Aidil Fitri mereka, maka dikatakan kepada mereka oleh para malaikat yang khas, "Fansorifuu, maghfuran lakum!" (Bersurailah kamu, dalam keadaan kamu telah diampunkan!").

Semoga kami tergolong di dalam seruan malaikat ini!

1 Syawwal kali ini, kami sekeluarga mendapat bonus. Adik lelaki saya, Ahmad Tarmimi, telah dikurniakan seorang puteri pada pagi 1 Syawwal ini. Alhamdulillah! Semoga menjadi anak yang solehah dan menjadi sumber kemuliaan ibu bapanya di dunia dan akhirat.

Seterusnya daripada pagi 1 Syawwal hinggalah beberapa hari seterusnya, diikuti dengan acara ziarah menziarahi. Ada masanya, kami kena jadi tuan rumah. Dan ada pula masanya, kami yang menjadi tetamu.

Aku sendiri, terpaksa menambah cuti kerana Itmi'nan demam dan muntah-muntah. Doktor menasihatkan agar tidak melakukan perjalanan yang panjang. Solusinya, aku buat keputusan untuk bertolak petang 6 Oktober. Bermalam di Gua Musang. Lebih kurang jam 12 tghr bertolak daripada Gua Musang, dan lebih kurang jam 6.30 petang, selamat sampai di Putrajaya.

Semasa di Gua Musang, dapat pula SMS daripada Ust Salahudin, Imam 1 Surau Presint 9 meminta supaya aku dapat mengadakan kuliah Maghrib hari ini. Alhamdulillah, oleh kerana sempat sampai sebelum maghrib, kacau secawan Radix, bergegas pula ke surau. Kuliah kali ini, meneruskan siri kuliah yang lalu, iaitu 'Sembang-sembang Solat'. Kali ini, sempat memuzakarahkan tentang rukuk: dalil dan kaifiatnya mengikut sunnah sepertimana yang disimpulkan oleh para ulamak muhaqqiqin lagi mujtahidin. Semoga ada manfaatnya!

Alhamdulillah, nampaknya ada perubahan pada tahun ini. Walaupun masih sibuk dengan 'mood' raya dan jemputan rumah terbuka, nampaknya majlis-majlis ilmu terus diadakan. Selalunya, sudahlah sebulan Ramadhan kuliah-kuliah agama terhenti, selepas itu tunggu pula habis 'mood' raya. Silap-silap bersambung dengan Aidil Adha. Barulah majlis ilmu dapat dimulakan semula. Maknanya hampir 3 bulan, surau dan masjid sunyi daripada majlis ilmu.

Semasa mukadimah kuliah tadi, ada tersebutkan, "Bulan Ramadhan, sebulan kita berpuasa. Tapi bulan Syawwal, kita berhari raya satu hari saja, iaitu 1 Syawwal. 2 Syawwal tu pun, sebenarnya, dah sunat kita mula berpuasa. Rasulullah SAW tidak pernah mengajarkan untuk berhari raya sebulan bulan Syawwal. Cuma majlis-majlis sambutan, ziarah dan sebagainya yang kita adakan, bukan hari raya, hanya SEMPENA hari raya. Sebab hari raya tu, hanya satu hari saja."

Malah tawaran serentak juga sebagai cabaran pada bulan Syawwal ialah untuk berpuasa 6 hari. Sebagaimana yang telah ditawarkan oleh Rasulullah SAW, (mafhumnya):

"Sesiapa yang menyempurnakan puasa sebulan pada bulan Ramadhan, dan ditambahkan pula selepasnya 6 hari pada bulan Syawwal, maka dia akan diberikan pahala seumpama berpuasa sepanjang tahun." (HR Muslim)

"Oh Allah, bantulah kami mencapai kemuliaan di sisi Mu melalui kesempatan Syawwal yang Engkau berikan kepada kami ini!"

No comments:

Blog Widget by LinkWithin