Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, September 29, 2008

30 Ramadhan 1429H


Alhamdulillah, Allah Tabaaraka wa Taala masih lagi mengizinkan aku untuk masih lagi dapat bersama Ramadhan. Pagi ini, fajar 30 Ramadhan menyapa dan menyimbah keberkatan cahaya suria hari terakhir Ramadhan.


"Allahumma, aku berpagi pada pagi ini, benar-benar mempersaksikan Mu, bahkan semua malaikat Penanggung 'Arasy-Mu, para malaikat-Mu, dan seluruh ciptaan-Mu, mempersaksikan; bahawa Engkau-lah Allah, tiada Tuhan selain Engkau, yang Esa Engkau tanpa sebarang sekutu bagi-Mu; dan bahwasanya Muhammad itu hamba-Mu lagi Rasul-Mu."


Bertalu-talu sms diterima, mengucapkan salam Aidil Fitri. Dapat ku rasakan getar rasa syukur, gembira dan ikhlas dalam setiap ucapan yang diterima. Semuanya menyanyikan rentak lagu yang sama. Aku tersentuh, tersenyum dan kadang-kadang tersentak membacanya. Ada yang lucu, dan ada yang mengharukan.


Pagi-pagi lagi, Ma 'dah mengajak ku untuk menjadi pemandu pergi membeli daging, limpa, paru dan jantung. Hendak dibuat rendang katanya. 'Perut muda' pun ada. Mungkin sebagai hidangan Iftar penutup Ramadhan tahun ini.


"Maghrib 'ni, Ramadhan akan berakhir. Ramadhan akan meninggalkan umat ini!", tiba-tiba hati aku berbisik.


Tiba-tiba juga, hati ini menjadi sayu. Jika panjang umur ku, aku akan bertemu dengan fajar Syawwal tahun ini. Namun, mengingatkan betapa panjangnya perjalanan masa, untuk bertemu sekali lagi dengan Ramadhan pada tahun depan, hati ini benar-benar menjadi sayu. Entahkan berjumpa, entahkan tidak. Masih wujudkah peluang ini ataupun tidak.


"Bagaimana Ramadhan engkau kali ini?", getus suara hati ku. Entah bermuhasabah, entah mencabar.


Oh Allah, Kau berlemah-lembutlah dengan hamba-Mu yang lemah ini! Demi Rahman dan Rahim-Mu yang meliputi segala sesuatu, ampunilah segala kekurangan dan dosaku. Oh Allah, terimalah aku di kalangan hamba-Mu yang berjaya. Janganlah jadikan aku dari kalangan mereka yang 'syaqiyy', iaitu mereka yang melalui Ramadhan tetapi diharamkan daripada memperoleh rahmat-Mu. Oh Allah, ku adukan segalanya kepada Mu. Oh Allah, janganlah hampakan hamba-mu ini!


"Abah.. Abah! Ubaid dah bangun...", suara Ubaid sambil berlari kepada ku.






No comments:

Blog Widget by LinkWithin