Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, July 12, 2009

Petikan kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi

Sedikit petikan dan sedutan daripada kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi.

(1)

”Para ulama adalah qudwah. Ikutan. Memadai Allah jadikan mereka waris nabi-nabi. Ulama adalah ikutan. Dari segi ilmu, mereka berbeza-beza mengikut syariat, tetapi dari segi maksud, mereka adalah sama. Ulama pewaris nabi-nabi. Mereka mewarisi apa saja daripada nabi-nabi. Seperti harta pusaka, sedikit atau banyak semuanya kena diwarisi oleh pewarisnya. Maka ulama mewarisi untuk membawa dan menjadi ikutan dalam agama yang sempurna. Bukan hanya untuk diikuti dalam empat rakaat solat. Inilah maksud ulama pewaris nabi-nabi.”

(2)

”Nabi Muhammad s.a.w. diutus sebagai seorang da’i juga sebagai seorang mu’allim. Oleh itu, alim ulama jangan sangka mereka hanya mewarisi ilmu, tetapi juga mewarisi usaha dakwah daripada baginda Rasulullah s.a.w.

Allah berfirman menjelaskan maksud Rasulullah s.a.w. diutus: (Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai da’i (penyeru) (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.) (Al-Ahzab 33: 45-46)”

(3)

”Kita benar-benar kena rasa dengan hati dan dada yang lapang, bahawa selagi usaha yang paling mirip dengan sunnah belum dibuat di seluruh alam, selagi itu akidah, ibadah, muamalah, muasyarah dan akhlak tidak akan wujud dalam bentuk yang paling mirip dengan cara Rasulullah s.a.w.”

(4)


”Kita ada satu silap faham dengan dakwah. Kita rasa dakwah hanya untuk orang yang bukan/belum Islam. Sebenarnya dakwah juga untuk orang yang sudah pun beriman.

Allah berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya... ) (An-Nisaa’ 4: 136) Mufassirin menyatakan makna ayat ini seolah-olah menyatakan, ”Wahai orang-orang yang beriman, hiduplah kamu dengan kehidupan yang beriman. Iman yang sempurna dan amalan yang sempurna.” Iman yang ada di dalam hati, mazharnya ada dalam kehidupan dan amalan kita.”

”Satu lagi salah faham kita terhadap kerja dakwah ialah bahawa dakwah itu adalah untuk memperbaiki orang lain. Bukan begitu. Manfaat dakwah yang utama ialah untuk islah diri kita.

Allah berfirman: (Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman.) (Ya Sin 36:10) Perkataan ’mereka’ di dalam ayat ini, merujuk kepada ’golongan yang didakwah’. Kesan dakwah kepada mereka sama sahaja, tetapi kepada ’orang yang melakukan dakwah’ ada manfaatnya untuk diri mereka sendiri. Allah berfirman: (Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.) (Al-Ankabut 29: 6)”

(5)


”Hari ini, rata-rata fikir untuk kuatkan iman telah terkeluar daripada fikir dan zihin umat. Sedangkan fikir ini adalah asas agama. Dalam banyak riwayat-riwayat menceritakan bahawa para Sahabat saling mengajak sesama mereka untuk bercakap tentang iman dan duduk dalam majlis iman.

Iman para Sahabat adalah contoh kepada manusia seluruhnya. Allah Taala berfirman: (Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman...) (Al-Baqarah 2: 13) Perkataan ’orang-orang itu’ di sini maknanya ialah para Sahabat. Namun begitu, para Sahabat ini masih lagi diminta untuk memperbaharui (tajdid) dan memperkuatkan iman mereka. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. kepada mereka, ”Perbaharuilah sentiasa iman kamu!” Lalu ditanyakan, macamanakah cara untuk memperbaharui iman itu? Jawab Rasulullah s.a.w., ”Perbanyakkanlah berkenaan qaul (percakapan atau perkataan) Laa ilaaha illalLah!”

Makna ’qaul’ di sini boleh jadi zikir atau muzakarah. Zikir secara fardiyy dan muzakarah secara ijtima’i. Kebesaran Allah perlu diulang-ulang dan dicakap-cakapkan. Secara umumnya, muzakarah tentang ini telah terkeluar daripada umat sedangkan ia adalah satu perkara yang penting. Muzakarah tentang benda lain seperti pangkat, harta, darjat dsb wujud, tetapi muzakarah tentang hakikat kalimah ini telah hilang.

Pernah satu masa, Saiyidina Umar masuk dalam satu majlis, dan ada Saiyidina Uthman di situ. Lalu Saiyidina Umar berkata, dalam majlis ini ada seorang yang jika imannya dibahagikan-bahagikan kepada sepasukan tentera sekalipun, akan memadai untuk mereka. Abdullah bin Rawahah, Muaz bin Jabal dan Abu Darda’ sering ajak-ajak Sahabat yang lain duduk-duduk dalam masjid untuk muzakarah tentang iman. Inilah majlis iman. Apa yang selalu dibincangkan, itulah yang akan masuk ke dalam hati. Para Sahabat selalu bincang tentang iman.”

(6)


”Dalam amalan perlu ada sifat ihsan. Ihsan ialah satu sifat hadir hati, sedar dan sentiasa ada hubungan dengan Allah. Jika amalan ada, tetapi sifat ihsan tidak ada, sebenarnya kita sedang musnahkan amalan tersebut. Lawan bagi ihsan ialah ghaflah (lalai). Walaupun lidah berzikir, kita baca fatihah dalam solat dsb tetapi hati lalai, sebenarnya kita sedang musnahkan amalan kita.

Sebut, cakap dan ulang-ulang kebesaran Allah, barulah hati kita akan sentiasa seiring dengan amalan kita.

Satu hari, Huzaifah berada di satu masjid di Syam. Dia tengok seorang sedang solat dengan cepat. Huzaifah tanya, berapa lama kau bersolat seperti ini? Jawab orang itu, sudah 40 tahun. Kata Huzaifah, jika kamu mati dalam keadaan kamu bersolat macama ini, kamu tidak akan dibangkitkan dalam agama yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Sebenarnya, bila solat dengan hati yang tidak berhubung dengan Allah, kita akan jadi solat dengan cepat-cepat.”

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Hadrat Syaikh Saad. Semoga dapat kita jadikan renungan untuk diri kita. Berapa tahun kita telah jalani hidup ini, sedangkan hati kita amat sedikit berhubung dengan Allah... Oh Allah.. Kasihanilah kami!

(Petikan ini hanya berdasarkan catatan peribadi semasa pertemuan Hadrat Syaikh dengan para ulamak semasa Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia 2009, 11 Julai 2009, Medan Ijtimak Kuaters KLIA Sepang-Nilai. Ucapan beliau diterjemah oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Hamid Chin, Imam Besar Masjid Bandar Baru Seri Petaling. Sekiranya terdapat salah catatan, mohon teguran.)

No comments:

Blog Widget by LinkWithin