Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, May 10, 2010

Coretan tinta, mewakili hati si Faqir (1)


Umrah membawa makna ziarah. Maksud yang penting kepada umrah ini ialah untuk menwujudkan hubungan hati yang jitu dengan syiar-syiar Allah.

Allah berfirman: Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui. (Al-baqarah 2: 158)

Firman Allah SWT lagi: Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin. (Ibrahim 22: 32)

Madinah adalah bumi yang disucikan dan dimuliakan. Inilah maknanya ‘Al-Haram’. Kemuliaan ini pula kerana hubungannya dengan agama. Hanya agama yang menjadi ukuran mulia hina sesuatu perkara di sisi Allah.

Madinah mulia bukan kerana rerimbun kebun-kebun kurmanya, kerana Makkah tetap mulia, walaupun hanya terdiri daripada lembah –lembah batu dan pasir.

Madinah adalah bumi yang setia menjadi tapak, tegak dan tersebarnya Islam ke seluruh muka alam. Madinah adalah Bandar yang menjadi saksi suka duka, tangis dan tawa Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat, dalam membawa risalah suci Islam ini. Setiap inci tanah dan bukitnya, merakamkan kehidupan suci murni Rasulullah saw dan para Sahabat baginda.

Inilah bumi bertuah, yang akan terus berkhidmat memeluk mesra jasad suci Rasulullah saw di makam baginda. Imam Mula ‘Ali Qari rah.a. menyatakan, tanah yang sedang menampung jasad suci Nabi s.a.w. darjatnya lebih mulia daripada Kaabah.

Memijak bumi suci ini, merasai lembut santun angin Madinah, melihat lambai daun-daun tamar, seolah-olah membawa kita hadir kembali ke Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w. Bukankah Rasulullah saw pernah menyatakan, sesiapa yang menziarahi makam ku setelah kewafatan ku, seolah-olah dia menziarahi aku semasa hidupku?

Di sinilah, marilah kita heningkan jiwa kita, biar ruh kita bercahaya, kita hubungan hati nubari kita yang paling tulus dengan keberkatan dan cahaya kerohanian Kota Bercahaya – Madinah al-Munawwarah – ini…. Marilah.. marilah.. biarkan roh kita berselawat pasrah penuh rindu kepada Rasulullah saw… Allahumma solli ‘ala saiyidina Muhammad.. wa ‘alaa aaali saiyidina Muhammad…. (diam.. dan berselawatlah dari hati.. hati yang dihubungkan dengan baginda Rasulullah saw.)

Sesungguhnya, mengingati Rasulullah saw bukanlah sekadar untuk mengambil berkat atau bernostalgia; namun perkara yang jauh lebih besar ialah, untuk kita bina hubungan kerohanian yang amat erat, antara kita dengan baginda saw.

Semoga di hujung-hujung akhir zaman ini... masih ada derap-derap langkah yang akan meneruskan jejak-jejak kasih dan cinta, fikir dan risau baginda Rasulullah s.a.w...


Allahumaj-'alnaa minhum..!

No comments:

Blog Widget by LinkWithin