Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, August 17, 2010

MAJALAH DAKWAH BIL. 2: KOLUM ZIHIN MUKMIN

Artikel yang saya sertakan ini merupakan penulisan siri 1 untuk kolum saya di dalam Majalah Dakwah. Majalah Dakwah merupakan majalah dwi-bulanan yang dihidupkan kembali penerbitannya oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Maklumat lanjut mengenai majalah ini boleh diikuti di lamanweb http://www.dakwah.com.my . Semoga penulisan kecil dan penuh kelemahan ini ada sesuatu yang dapat dimanfaatkan oleh kita semua.

Siri: 1

Gambaran dan hakikat adalah dua perkara yang amat jauh berbeza. Walaupun nama dan sebutannya mungkin sama, tetapi keadaan, sifat dan kesannya adalah amat berlainan. Ambil saja satu contoh iaitu antara api dan gambar api. Bagi gambar api, walaupun gambar api itu diletakkan di papan iklan sebesar bangunan sekalipun, ia tetap tidak akan memberi apa-apa kesan kepada persekitarannya berbanding api sebenar hasil daripada gesekan sebatang mancis.

Walaupun gambar api sebesar bukit, tetapi kerana tidak mempunyai hakikat api, maka satu benda pun tidak akan terbakar apabila tersentuh atau disentuh oleh gambar api itu. Berlainan sekali dengan api bakaran sebatang mancis, yang mana bukan sahaja terasa panasnya bahkan boleh menyebabkan sebuah bandar terbakar. Ini sebabkan, walaupun kecil, api mancis tadi mempunyai hakikat api yang sebenarnya.

Begitu juga jika kita ambil replika buah-buahan dengan buah itu sendiri. Walaupun replika itu sendiri rupanya betul-betul kelihatan seperti buah, tetapi tetap tidak akan mempunyai bau, rasa dan manfaat seperti buah yang sebenar. Kenapa? Replika itu hanya mempunyai gambaran seperti buah, tetapi tidak mempunyai hakikat buah.

Maka begitu jugalah dengan iman. Gambaran keimanan dengan hakikat iman adalah dua perkara yang amat berbeza. Oleh itu, kita dapati di dalam Al-Quran berulang-ulang kali Allah s.w.t. menyatakan tentang pentingnya iman dan hakikat iman. Hakikat iman ini dapat dilihat melalui ayat-ayat yang memperincikan tentang sifat-sifat iman. Jika kita meninjau pula khazanah hadis-hadis Rasulullah s.a.w., maka kita akan mendapati lebih banyak dan lebih terperinci lagi sifat-sifat keimanan ini dijelaskan.

Allah menjanjikan banyak kemuliaan dan kejayaan jika kita beriman. Contohnya melalui ayat ke-47 surah Ar-Rum, Allah s.w.t. menegaskan: “dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.”

Begitu juga di dalam ayat 139 surah Aali-‘Imraan, Allah s.w.t. berfirman: “dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

Dua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa bantuan Allah dan juga kemuliaan itu bersama orang-orang yang beriman. Namun begitu, persoalannya ialah iman yang bagaimana? Ini mengingatkan pada tempat yang lain, Allah s.w.t. pernah membuat teguran:
“Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam '. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Surah Al-Hujurat 49: 14)

Jelas sekali, melalui ayat ini, Allah telah membezakan dakwaan telah benar-benar beriman dengan orang yang sudah meresap kukuh sifat dan hakikat keimanan di dalam hati mereka. Itulah sebabnya, kita digesa untuk sentiasa meneliti dan berusaha agar hakikat dan sifat-sifat iman ini benar-benar wujud di dalam hati kita.

Ambil sahaja satu firman Allah s.w.t. tentang hakikat keimanan ini, mafhumnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah Al-Anfaal 8:2)

Ayat ini menyatakan dengan jelas dan tegas beberapa sifat keimanan yang mesti dimiliki untuk seseorang itu digelar sebagai benar-benar beriman. Yakni seseorang yang benar-benar ada hakikat iman atau sifat-sifat iman. Tataplah ayat ini berulang kali dan renungilah kandungannya. Apa sebenarnya yang Allah mahu daripada kita melalui firman-Nya ini?

Sekurang-kurangnya terdapat tiga sifat iman yang Allah s.w.t. gariskan melalui ayat ini. Seyogia, kita benar-benar menyorot satu per satu mesej yang Allah s.w.t. sampaikan dan cuba dipadankan dengan keadaan iman kita sendiri.

Seseorang yang mempunyai hakikat iman akan terserlah sifat iman yang pertama iaitu apabila nama Allah disebutkan, hati-hati mereka akan merasa gementar. Gementar yang bagaimana?

Imam At-Tobari menukilkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Darda’ r.a. , berkenaan firman Allah:
إنَّـمَا الـمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ
Beliau mengatakan, “Gementar di dalam hati itu seperti pembakaran pelepah tamar; bukankah kamu mendapati padanya gegaran-gigilan (meletup-letup)?” Katanya: “Bahkan (begitulah yang dikatakan gementar di hati itu)!”
Inilah keadaan hati seseorang yang benar-benar beriman. Hati mereka menjadi amat sensitif dengan Allah s.w.t. kerana hati mereka mempunyai hubungan yang kukuh dengan Allah.

Apabila kita lihat ayat ini, Allah s.w.t. menyatakan sifat yang pertama ini menggunakan ayat pasif, iaitu apabila nama Allah disebutkan. Allah tidak menyatakan apabila mereka menyebut nama Allah, lalu bergetar hati mereka. Jika mendengarkan nama Allah disebutkan pun sudah memadai untuk membuatkan timbulnya rasa gementar mereka kepada Allah, apatah lagi jika mereka sendiri yang menyebutnya.

Ayat ini juga mengisyaratkan, bahawa antara sifat seseorang yang benar-benar beriman ialah mereka sangat suka mendengar perbicaraan tentang Allah dan segala kebesaran-Nya. Di manakah tempatnya nama Allah, sifat-sifat dan kebesaranNya dapat selalu didengar dan diperdengarkan? Sudah tentu di dalam majlis zikrullah, halaqah muzakarah iman dan juga majlis tazkirah dan tausiyah keimanan.

Semoga Allah menjadikan kita juga mempunyai kecenderungan dan kecintaan untuk turut menyukai, mencari dan mengambil bahagian di dalam majlis-majlis sebegini. Demi tuntutan menyuburkan sifat dan hakikat keimanan di dalam hati kita!

1 comment:

nur said...

Assalamualaikum wbt,
ustaz, boleh jelaskan ttg permasalahan zakat tak?
dari segi akad (perlu akad ke?), amil nya, asnafnya, dan kalau zakat online tu macam mana nak berakad?

Mohon jika dapat dihuraikan dalam 1 entri?

Blog Widget by LinkWithin