Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, November 27, 2012

Haji 1433...


Alhamdulillah, Allah dengan Rahman dan Rahim-Nya, telah menjemput saya untuk sekali lagi dapat menunaikan fardhu haji, walaupun sambil-sambil menjalankan tugas. Sebenarnya, saya telah dilantik menjadi Penyelidik Bersekutu untuk Program Penyelidikan Haji Universiti Sains Malaysia. Walau apapun sebabnya, saya lihat ini semua asbab yang Allah gunakan untuk jemput saya sekali lagi ke Tanah Suci.

Berpeluang menunaikan haji kali kedua, memberi saya peluang yang lebih luas untuk menghadami ibadah yang mulia ini. Sudah tentu, tidak ada yang lebih mulia, daripada berada di Dua Tanah Suci Makkah dan Madinah. Betapa bahagianya dapat bersujud di dalam Masjidil-Haram, di hadapan Baitullahil-haram. Betapa bahagianya dapat melantunkan selawat, di sisi maqam kekasih hati kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Roh kepada haji, umrah dan ziarah ialah kehadiran hati kita dengan hari Akhirat. Sejauhmana kita menyedari hampirnya kita dengan akhirat, maka semakin berertilah ibadah haji kita. Semakin hati kita bertaut-erat dengan Allah, sejauh itulah kemanisan dan kekhusyukan melaksanakan manasik haji dan umrah akan dikecapi. Betapa kita merasai bahawa seolah-olah kita sedang menziarahi baginda Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda, maka sebanyak itulah kenikmatan berada di Kota Madinah akan mengcahayai hati kita.

Kita dapat lihat, bagaimana semasa menunaikan haji ini, para jemaah kelihatan begitu bersungguh-sungguh menunaikan segala ibadah dengan begitu nikmat. Suasana indahnya beribadah begitu terserlah.Kesungguhan bersolat, bersedekah, berzikir dan berdoa begitu nyata. Saling memberi salam, bertegur-sapa dan berbalas senyuman. Melihat para jemaah berdoa dengan titisan airmata yang tulus, begitu menyentuh jiwa. Namun begitu, terlintas di fikiran saya, adakah agama ini hanya manis diamalkan di bumi Makkah dan Madinah? Adakah untuk seseorang itu dapat mengecapi keasyikan dan kemanisan mengabdikan diri kepada Allah, hanya hak eksklusif di Dua Tanah Suci ini? Bagaimana pula dengan pengamalan agama di tempat lain di atas muka bumi ini?

Bukankah risalah Islam ini di bawa oleh Rasulullah s.a.w. yang diutuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam? Dihantar buat manusia dan jin keseluruhannya sehingga ke hari alam ini dikiamatkan?

Tuesday, September 18, 2012


Apabila musim haji menjelang. Hati ini bagai diruntun-runtun untuk ke sana. Ketenangan dan sakinah di Masjid Nabawi. Keasyikan menziarahi dan mengucapkan salam ke hadrat Nabi s.a.w. Kesyukuran sujud di permaidani hijau Raudhah. Adalah detik-detik yang sentiasa terpahat di lubuk hati yang paling dalam. Ya Allah.. bilakah lagi aku dapat mengucapkan salam di hadapan buah hati kami dan kekasih-Mu, "Assalamu 'alaika ya Rasulullah... Assalamu 'alaika ya Habiballah...." 

Friday, August 31, 2012

Tinta ku kembali menulis...

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim... lama sungguh saya tidak mengemaskini blog saya 'ni. Di samping kesibukan harian, perhatian saya terhadap blog telah disimpangkan oleh keasyikan Facebook. Keasyikan mengemaskini status dan juga komen. Saya juga menjadi admin beberapa Group di Facebook.

Tiba-tiba hari ini, hati teringat kepada blog saya yang  semakin suram ini. Saya berazam untuk mengaktifkan balik blog ini. Di samping melalui artikel-artikel yang saya tulis, saya juga berhasrat untuk mengemaskini dengan penulisan spontan saya.

Semoga silaturahim kita melalui blog ini berterusan. Mohon doakan agar Allah memudahkan urusan untuk saya dapat ganti laptop saya yang telah dicuri dua hari sebelum hari raya tempohari.



Tuesday, May 1, 2012

Melainkan untuk beribadah....

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah az-Zaariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu.”

Imam Muhammad al-Mutawalli asy-Sya’rawi rah.a. di dalam kitab ‘Khawatir’ beliau menyatakan bahawa kaedah dan gaya bahasa yang digunakan di dalam ayat ini ialah gaya menghadkan. Ini bermaksud, menghadkan penciptaan manusia dan jin hanya atas maksud untuk beribadah kepada Allah. Inilah satu-satunya sebab diciptakan mereka daripada tiada kepada ada. Tidak diciptakan mereka untuk maksud yang lain melainkan bagi beribadah kepada Allah SWT.

Seterusnya, Imam asy-Sya’rawi telah menekankan makna beribadah itu ialah bagaimana seluruh gerak kehidupan seseorang itu benar-benar dapat menepati perintah-perintah Allah SWT.

Apabila kita menelusuri sejarah wujudnya manusia seawal kejadian Adam dan Hawa ‘alaihimas-salam, adalah jelas bahawa kewujudan mereka adalah untuk berurusan dengan titah-perintah Allah. Cuba kita renungi, setelah diciptakan, Nabi Adam a.s. telah ditempatkan di dalam syurga. Lalu diikuti dengan penciptaan Hawa a.s. Kita semua maklum, syurga sebenarnya adalah satu tempat untuk menikmati sepuas-puasnya kehendak hati, nafsu dan syahwat insan tanpa had dan batasnya.

Allah menyebutkan sifat syurga tersebut, “dan kamu akan beroleh di dalamnya apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.” (Surah Fussilat 40: 31) Bagaimanapun, ketika Adam dan Hawa menghuni syurga, Allah menetapkan bahawa mereka bebas menikmati apa sahaja di syurga itu kecuali mendekati sepohon kayu. Ini adalah satu simbolik dan petanda betapa wujudnya manusia ini adalah untuk berurusan dengan titah-perintah Allah SWT. Bagi memperingatkan dan memberitahu manusia mengenai perintah beribadah ini, nabi demi nabi, rasul demi rasul telah diutuskan oleh Allah SWT, sehinggalah terhenti salasilahnya dengan kedatangan dan kerasulan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w., sebagaimana para rasul sebelum baginda, telah bangun atas satu usaha, iaitu usaha untuk mengajak dan memujuk rayu manusia untuk mengenali Allah dan beriman kepada-Nya. Inilah asas kepada ibadah. Tanpa iman, seluruh kebaktian manusia tidak akan ada nilainya di sisi Allah.

Ayat di atas sebenarnya merupakan satu seruan agar kita semua sebagai pengikut Nabi Muhammad s.a.w. juga turut sedia untuk bangun atas usaha yang mana telah dijalankan oleh baginda dan para Sahabat. Ayat di atas menyebutkan “Aku tidak menciptakan jin dan manusia”, dinyatakan di sini ‘manusia’ secara umum. Bukan hanya untuk mereka yang beriman sahaja. Maknanya, seluruh manusia daripada timur hingga ke barat, daripada zaman Rasulullah s.a.w. hingga ke hari terakhir sebelum kiamat, perlu dibawa kepada untuk beribadah mengabdikan diri mereka kepada Allah. Maka usaha untuk membawa mereka kepada mengabdikan diri kepada Allah inilah yang dinamakan usaha dakwah.

Munib al-Azdi r.a. menceritakan, “Aku telah lihat Rasulullah s.a.w. semasa zaman jahiliyyah (yakni semasa dia belum memeluk Islam), di mana baginda menyerukan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قُولُوْا لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ تُفْلِحُوا

“Wahai manusia! Ucapkanlah ‘Laa ilaaha illalLah (tiada tuhan melainkan Allah)’ kamu akan berjaya!”

Maka ada sebahagian orang yang meludah wajah baginda, manakala sebahagiannya melemparkan tanah kepada baginda serta ada pula yang memaki baginda. Demikianlah berterusan sehinggalah berlalu separuh hari.

Kemudian datang seorang gadis kecil membawa kendi lalu membasuh wajah dan tangan baginda. Baginda berkata, “Wahai puteri ku! Janganlah risaukan bapa mu ini akan dibunuh atau dihina.”

Lalu aku bertanya, “Siapakah gadis itu?”

Orang ramai menjawab bahawa itulah Zainab binti Rasulullah s.a.w. Dan dia seorang gadis kecil yang cantik. (Hadis riwayat at-Tobarani)

Inilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. demi mendakwahkan, mengajak dan memujuk manusia agar beriman dan mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT.

Fadilat usaha dakwah terlalu besar. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang mengajak kepada hidayah, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun ganjaran pelakunya. Barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, tanpa mengurangkan sedikitpun dosa pelakunya.” (Hadis riwayat Muslim bersumber daripada Abu Hurairah r.a.)

Bersediakan kita untuk belajar melaksanakan usaha dakwah kepada Islam dan dakwah kepada kesempurnaan iman ini?

Tuesday, April 3, 2012

Allah SWT telah menciptakan segala makhluk tanpa pertolongan sesiapa pun. Semuanya hanya bersumber daripada kemutlakan kudrat dan iradat Allah. Semua makhluk adalah diciptakan, sedangkan penciptanya hanya satu, iaitu Allah Yang Maha Esa. Rasulullah s.a.w. menyatakan, “Allah telah menuliskan takdir bagi seluruh makhlukNya 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” (HR Muslim) Demikianlah gambaran betapa sempurnanya perancangan dan pelaksanaan Allah terhadap ciptaanNya.
Setelah beberapa lama alam ini tercipta, akhirnya tiba masa makhluk bernama manusia dicipta. Bermula dengan Adam dan Hawa, lalu populasi manusia telah berkembang biak daripada zaman ke zaman. Sejak penciptaan manusia pertama itu, Allah telah membuat satu ketetapan bahawa kejayaan hakiki manusia ialah sejauhmana mereka dapat mentaati perintah Allah dalam kehidupan dunia mereka. Kejayaan mentaati perintah Allah sebagaimana cara yang disampaikan oleh para utusanNya, akan membawa seseorang itu kepada kejayaan hakiki yang kekal lagi maha sempurna, iaitu dapat memasuki syurga Allah SWT.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Aali ‘Imran 3: 185)
Sangat penting untuk kita fahami dan selalu ingatkan diri kita, apa pun yang kita lakukan, yang kita huru harakan sehari-hari sepanjang hidup kita ini; semuanya akan terhenti dengan kematian. Seterusnya, bermula dengan kematian ini, maka bermulalah kehidupan kita yang sebenar, iaitu kehidupan akhirat yang tiada kematian lagi. Pada hari kiamat, segala natijah kehidupan kita di dunia akan disempurnakan balasannya, sama ada balasan baik mahupun balasan buruk. Oleh itu, sangat penting sekali setiap detik kehidupan kita di dunia ini sentiasa kita ukur dengan neraca yang betul, bagi memastikan kita sentiasa di atas jalan keredhaan Allah SWT.
Neraca yang menjadi standard penentu sama ada kita berjaya atau tidak ialah agama. Agama ialah apa sahaja perintah Allah, cara sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Baik urusan yang hendak diukur itu pada peringkat individu, keluarga, masyarakat mahupun pada skala sebuah negara ataupun sebuah empayar. Setiap gerak dan pemikiran orang yang beriman mestilah meletakkan neraca ini mengatasi sebarang agenda.
Apabila Perlembagaan negara kita memperuntukkan dengan sejelas-jelasnya di dalam Perkara 3 (1) bahawa “Islam is the religion of the Federation” atau terjemahan Melayunya “Islam adalah agama bagi Persekutuan.” Manakala terjemahan Arabnya, “الإسلام دين الدولة”. Ini bermaksud, Islam ialah agama bagi negara Malaysia. Bila dikatakan sebagai agama negara, itu adalah berlainan sekali dengan ungkapan “Islam adalah agama rasmi negara Malaysia.” Logik mudahnya, jika kita kata rasmi, maka ada yang tidak rasminya nanti. Jika kita kata sebagai agama rasmi, seolah-olah Islam itu adalah satu perkara yang bukan milik kita tetapi hanya satu tempelan sementara. Seperti seorang Menteri Besar, jika dikatakan rumah rasmi Menteri Besar, maknanya rumah itu adalah rumah yang bukan miliknya tetapi diperuntukkan semasa menjadi Menteri Besar. Apabila dia tidak lagi menjadi seorang Menteri Besar, maka rumah itu tidak lagi boleh digunakannya. Oleh itu, kita wajib membetulkan salah faham kita selama ini, bahawa Islam ialah agama rasmi negara., sebaliknya kita kena bertegas dengan bahawa Islam ialah agama negara.
Jika seseorang itu sudah beragama Islam, maka dia tidak boleh dalam masa yang sama juga mengaku beragama Kristian, Buddha ataupun Hindu. Ini berlainan sekali jika Islam hanya agama rasmi seseorang, maka boleh jadi pula Kristian, Buddha atau Hindu menjadi agama yang tidak rasmi. Begitulah juga negara, apabila dimaktubkan bahawa Islam ialah agama negara ini, maka seolah-olahnya boleh dikatakan akidah negara ini ialah Islam. Tidak boleh yang lain sama sekali.
Maka berdasarkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan ini, Malaysia sebenarnya telah mendefinisikan dirinya sebagai sebuah negara Islam. Sekiranya seseorang individu muslim itu diwajibkan mempertahankan agama Islamnya, maka kita secara kolektif juga wajib mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama negara ini.
Kita boleh melakukan apa sahaja, tetapi tidak ada agenda yang lebih tinggi daripada memastikan peruntukan ini tidak terganggu gugat walau bagaimana cara sekalipun. Agenda mempertahankan Islam ini adalah penentu sama ada kita akan mulia atau hina di sisi Allah SWT. Islam adalah mengatasi segala agenda baik agenda komuniti, parti, puak mahupun bangsa. Malah, sesuai dengan takrif Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan, maka setiap orang Melayu itu mestilah sentiasa mempertahankan agama Islam di negara ini.
Justeru, dalam senarai teratas perkara yang perlu dilakukan bagi mempertahankan agenda ini ialah memastikan tidak ada sebarang pindaan Perlembagaan terhadap perkara ini dilakukan di Parlimen. Setiap ruang yang mampu memberikan ancaman ini hendaklah awal-awal lagi ditangani oleh setiap muslim tanpa mengira parti dan fahaman politik. Untuk itu, semua politikus Melayu-Muslim dan juga setiap individu muslim di negara ini, amat perlu untuk memastikan kerusi ahli-ahli Parlimen yang beragama Islam mestilah tidak kurang daripada 2/3 bilangan kerusi di Dewan Rakyat. Sekiranya, bilangan Ahli Parlimen muslim di bawah 2/3, maka ini bermakna kedudukan Perkara 3 (1) hanya terpulang kepada ihsan yang bukan Islam.
Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Insafi dan renung-renungkanlah!

Friday, February 24, 2012

Zikir Pagi dan Petang

Imam Muslim telah merekodkan satu hadis qudsi yang bersumber daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam mana meriwayatkan daripada Allah Taala:
ابْنَ آدَمَ ، اذْكُرْنِي بَعْدَ الْفَجْرِ وَبَعْدَ الْعَصْرِ سَاعَةً أَكْفِكَ مَا بَيْنَهُمَا
“Anak Adam! Berzikirlah kepada Ku setelah (solat) Fajar (yakni Subuh) dan setelah (solat) Asar seketika, Aku akan mencukupimu antara keduanya.”

Hadis ini juga telah direkodkan oleh Abu Nu’aim di dalam kitab Hilyah. Manakala Imam Ahmad pula merekodkan hadis ini dengan lafaznya:

“Berzikirlah engkau kepada Ku selepas (solat) Asar dan juga selepas (solat) Fajar seketika, Aku akan mencukupimu untuk apa yang antara keduanya.”

Kehidupan kita sebagai manusia biasa sentiasa dipenuhi dengan urusan dan kesibukan. Buka sahaja mata kita tatkala terjaga daripada tidur sehinggalah kita kembali melelapkan mata kita, antara ‘terbuka’ mata dan ‘tertutup’nya mata ini, otak kita akan diserabutkan dengan macam-macam hal. Bermula hal peribadi, keluarga membawa kepada urusan kerja. Hal rumahtangga hinggalah isu-isu negara malah dunia, urusan kita sentiasa berselirat memenuhi setiap pemikiran, tuturkata dan gerak laku kita. Kesibukan ini pula biasanya sentiasa diiringi dengan pelbagai hajat, keperluan dan harapan.

Melalui hadis ini, Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan satu jaminan yang amat besar ertinya kepada mereka yang benar-benar beriman. Dalam menghadapi ‘huru-hara’ kehidupan harian ini, tiba-tiba kita ditawarkan dengan satu jaminan yang begitu hebat, iaitu apabila Allah Taala sendiri mengambil tanggungjawab untuk mencukupi apa sahaja urusan kita. Adakah lagi satu jaminan yang lebih menenangkan hati dan jiwa seorang mukmin daripada jaminan ini?

Seorang yang beriman benar-benar menyedari bahawa segala sesuatu yang wujud di dunia ini tidak ada satu pun yang terjadi melainkan hanya dengan izin Allah. Satu helai daun pun tidak akan gugur melainkan dalam pemerhatian dan dengan keizinanNya jua. Keimanan mereka benar-benar menyaksikan bahawa segala sesuatu hanya bergantung kepada Allah SWT. Segalanya bergantung kepada ‘Somadiah’ Allah Taala:
Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.” (Surah al-Ikhlas: 1-2)

Allah itu Esa. Esa itu bermaksud, satu-satunya. Maka tempat bergantung segala makhluk juga hanya Satu, iaitulah Allah Taala. Daripada sebesar-besar makhluk seperti ‘Arasy; hinggalah yang paling kecil seperti molekul, zarah dan atom sekalipun, semuanya memerlukan Allah. Semuanya bergantung dan berhajat hanya kepada Allah.

Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa ketikamana turunnya ayat ini, lalu para Sahabat bertanya, “Apakah makna (الصمد )?” Lalu jawab baginda s.a.w.:
هو السيد الذي يصمد إليه في الحوائج
“Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat”.

Imam At-Tobari pula menukilkan, “Ali telah meriwayatkan kepada kami, katanya telah meriwayatkan Abu Salah kepada kami, katanya: telah menceritakan Mu’awiyah kepadaku, daripada Ali, daripada Ibnu Abbas, berkenaan maksud firman-Nya (الصمد ), katanya: “(Zat)Yang Mulia yang mana paling sempurna ketinggian martabatNya, Yang Maha Mulia yang paling sempurna kemuliaanNya, Yang Maha Agung yang paling agung keagunganNya, Yang Maha Lemah lembut yang paling sempurna kelemahlembutanNya, Yang Maha Kaya yang paling sempurna kekayaanNya, Yang Maha Perkasa yang paling sempurna JabarutNya, Yang Maha Bijaksana yang paling sempurna kebijaksanaanNya; Dialah yang telah paling sempurna segala bentuk Kemuliaan dan Ketinggian, Dialah Allah Maha Suci Dia, ini semua adalah sifatNya, yang tidak layak sifat-sifat ini melainkan untuk-Nya.”

Manakala Imam Al-Alusi menukilkan, “adapun daripada Abu Hurairah r.a., maknanya Dia yang mana tidak memerlukan kepada sesiapa dan apapun, (sebaliknya) Dialah tempat berhajat kepada-Nya segala sesuatu; dan daripadab Ibnu Jubair, maknanya ialah Dia yang Maha Sempurna dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.”

Jika demikian, apa lagi yang mampu menyebabkan keresahan dan kegusaran hati seorang yang beriman apabila Allah sendiri dengan segala sifat ‘Somadiah’Nya, memberikan jaminan ini?

Sedangkan untuk meraih janji yang mulia ini, hanya memerlukan satu usaha yang amat kecil. Tidak bersediakah kita untuk melapangkan sedikit masa kita untuk berzikir kepada Allah setiap selepas solat Subuh dan Asar?

Monday, February 13, 2012

Ghairullah dan hati ini...

Al-Quran dengan jelas telah menyatakan bahawa setiap kaum telah dihantar nabi atau rasul kepada mereka. Berdasarkan sesetengah riwayat, jumlah para nabi ini mencecah seramai 124,000 orang. Inilah kasih sayang Allah kepada hambaNya. Setelah diberikan akal yang sempurna, ayat-ayat kejadian alam ini yang jelas serta panca indera yang sempurna; Allah SWT menyempurnakan nikmatnya ini dengan pengutusan para nabi dan rasul. Allah SWT menegaskan:

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu, maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).” (Surah al-Baqarah 2: 213)

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah an-Nahl 16: 36)
“Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.” (Surah Faatir 35: 24)

“Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.” (Surah Yunus 10: 47)

Ayat-ayat al-Quran ini bagaikan sinar menteri pada siang hari, dengan jelas menegaskan hakikat ini. Nabi demi nabi, rasul demi rasul telah diutuskan kepada setiap kelompok manusia untuk memperkenalkan mereka kepada Allah, Rab yang telah menciptakan segala makhluk. Hanya Allah-lah Rab yang telah mencipta (al-Khaliq) segala makhluk. Selain daripada al-Khaliq, semuanya makhluk. Dan hanya kepada Tuhan Yang Wajib Wujud lagi Maha Esa ini, terletaknya kudrat dan iradat yang mutlak. Tidak ada satu apa pun boleh terjadi melainkan hanya dengan izin Allah. Manakala Allah boleh menjadikan segala sesuatu tanpa memerlukan izin sesiapa pun. Maka di hadapan kebesaran dan keagungan Allah ini, setiap manusia perlu kenal,sujud, patuh dan memperhambakan diri mereka.

Allah SWT berfirman:
“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, oleh itu beribadatlah kamu kepadaKu.” (Surah al-Anbiya^ 21: 25)

Seluruh para nabi dan rasul ini telah melakukan dan menjalankan satu usaha sahaja iaitu usaha untuk mengajak kaum masing-masing untuk beriman kepada Allah. Kandungan risalah yang dibawa oleh mereka adalah jelas dan padat:
يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ

“Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.”

Ungkapan ini telah diulang-ulang oleh al-Quran dengan dinisbahkan kepada ramai para rasul. Al-Quran telah mengungkapkan seruan ini sebanyak sembilan kali, antaranya:

“Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka (dengan berfirman melalui Rasul itu): Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertakwa kepadaNya?” (Surah al-Mu^minun 23: 32)

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)” (Surah al-A’raf 7: 59)

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepadaNya?” (Surah al-A’raf 7: 65)

“Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.” (Surah al-A’raf 7: 73)

“Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Dia berkata: Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu.” (Surah al-A’raf 7: 85)

Seruan ini nyata amat ringkas, tetapi tuntutan yang dibawa olehnya adalah amat besar. Sebesar seruan ringkas Rasulullah s.a.w. semasa menyampaikan dakwah baginda di pasar-pasar bangsa Arab.

Imam Ahmad telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Rabi’ah bin Abbad, dia berkata: Pernah dahulu aku melihat Rasulullah s.a.w. pada zaman jahiliyyah telah keluar di pasar Dzil Majaz seraya menyeru orang ramai:
أيها الناس قولوا لا إله إلا الله تفلحوا
“Wahai manusia! Ucapkanlah : “Laa ilaaha illalLah” (Tiada tuhan melainkan Allah), kelak kamu akan berjaya.”

Seruan ini adalah seruan untuk mengosongkan hati secara total daripada apa sahaja selain Allah. “Apa sahaja selain Allah” ini disebut juga dengan istilah “ghairullah” ataupun “al-aghyar”. Hati kita dituntut untuk meletakkan hanya kebesaran Allah di dalam hati kita. Keyakinan kita hanya kepada Allah, kekuasaan Allah serta janji-janji Allah. Hanya dalam mentaati perintah Allah, ada kejayaan. Inilah seruan yang telah dibawa oleh semua para nabi dan rasul.

Inilah yang perlu terpasak teguh di dalam zihin setiap mukmin!

Perbaharuilah sentiasa iman kamu...

Mukmin ertinya seorang yang beriman dengan Allah SWT. Keimanan kepada Allah ini dimulai dengan keyakinan bahawa Allah itu Zat Maha Pencipta Yang Wajib Wujud lagi Maha Esa. Dialah Allah yang telah menciptakan seluruh makhluk ini tanpa bantuan dan tanpa memerlukan pertolongan mana-mana makhluk sekalipun. Selain daripada Allah semuanya adalah makhluk yang diciptakan. Baik makhluk itu sebesar-besar makhluk seperti 'Arasy Allah mahupun yang paling kecil seperti kuman, segalanya diciptakan oleh Allah dan semuanya hanya bergantung kepada Allah. Oleh kerana Allah satu-satunya Pencipta, maka hanya Allah sahajalah Yang Memiliki dan Menguasai segala ciptaanNya. Pemilikan ini adalah mutlak dan sempurna. Tidak ada satu makhluk pun yang tidak berhajat kepada Allah.

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya? KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur. Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya). Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa." (Yunus: 3-6)

"Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)? Allah jualah Yang membelah cahaya Subuh (yang menyingsingkan fajar) dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui. Dan Dialah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi) dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam). Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." (Al-An'am: 95-99)

"Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu." (Al-Hijr: 21)

"Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-'Ankabut: 60)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal." (At-Taubah: 51)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia pula yang memberi makan dan bukan Dia yang diberi makan? Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu." (Al-'An'aam: 14)

Seorang mukmin akan melihat seluruh juzuk kehidupan ini dengan pandangan ini. Inilah yang disimpulkan oleh kalimah pertama dalam dua kalimah syahadah. "Laa ilaha illalLah". Tidak ada satu perkara pun yang akan terjadi melainkan hanya dengan izin Allah. Mustahil sama sekali ada perkara yang boleh terjadi tanpa izin Allah Taala. Inilah perkara yang perlu terpasak kukuh di dalam zihin setiap seorang yang benar-benar mukmin.

Lihatlah apa yang Rasulullah s.a.w. telah cakapkan kepada Hadrat Ibnu Abbas r.a., yang semasa itu masih seorang yang di awal remaja, "Wahai budak! Aku ajarkan kamu beberapa perkataan. Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu. Jagalah Allah, kamu akan dapati Allah sentiasa di hadapan mu. Apabila kamu ingin meminta sesuatu, mintalah dengan Allah. Apabila ingin meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh umat berhimpun untuk memberikan engkau satu manfaat dengan sesuatu, sesekali mereka tidak akan dapat memberikan manfaat, melainkan dengan apa yang telah dituliskan oleh Allah untuk mu; sekiranya mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu dengan sesuatu, sesekali mereka tidak akan dapat memberikan mudarat, melainkan dengan apa yang Allah telah tetapkan ke atas engkau. Telah diangkat pena, dan telah kering lembaran (ketetapan qadha dan qadar) " (HR at-Tirmizi)

Inilah contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. membentuk zihin seorang kanak-kanak tentang keyakinan yang sepatutnya bagi seorang yang beriman. Bayangkan dengan seorang kanak-kanak pun Rasulullah s.a.w. berbicara dengan percakapan keimanan ini. Percakapan yang merupakan intipati kepada maksud kalimah 'Laa ilaaha illalLah'. Percakapan atau perbicaraan tentang kalimah ini akan memberi kesan kepada hati kita. Hati adalah tempat keimanan.

Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada para Sahabat, "Perbaharuilah sentiasa iman kamu!" Lalu ditanya oleh salah seorang Sahabat, "Bagaimanakah kami dapat perbaharui iman kami?" Jawab baginda, "Perbanyakkanlah dengan percakapan kalimah 'Laa ilaaha illalLah'!" (HR Ahmad dan a-Tabrani)

Sekarang, kita berhenti seketika di sini. Cuba kita ulangi membaca perenggan-perenggan di atas. Cuba kita hayati. Seterusnya kita beazam, untuk sekurang-kurangnya kita belajar cakapkan percakapan tentang kalimah Laa ilaaha illalLah ini dengan dua puluh lima orang ahli keluarga dan kawan-kawan kita setiap hari.

Saturday, January 21, 2012

Jaminan dua pelepasan....

Imam at-Tirmizi telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فيِ جمَاَعَةٍ يُدْرِكُ التَكبْيِرَةَ الأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَائَتَانِ بَرَائَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَائَةٌ مِنَ النِّفَاقِ

“Sesiapa yang bersolat kerana Allah selama empat puluh hari secara berjemaah dan sempat bertakbiratul-ihram (bersama imam), dituliskan baginya dua (jaminan) pelepasan. Pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada kemunafikan.”

(Dinukilkan di dalam Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solah, Bab Apa Yang Datang Berkenaan Takbiratul-Uulaa)

Imam at-Tirmizi mengomentar periwayatan hadis ini dengan mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui seorang pun daripada kalangan para perawi yang memarfu’kan hadis ini melainkan perawi yang bernama Muslim bin Qutaibah dari Tu’mah bin ‘Amru. Muslim dan Tu’mah serta para perawi yang lain daripada sanad ini diklasifikasikan sebagai perawi thiqah, demikian yang tercatat dalam kitab at-Targhib wat-Tarhib. Hadis ini dikategorikan sebagai bertaraf ‘hasan li-ghairih’ ( حسن لغيره ), oleh itu boleh diterima sebagai hujah.

Hadis ini turut disokong oleh satu riwayat bertaraf ‘hasan’ yang direkodkan oleh Imam Ibnu Majah dalam Sunan Ibn Mājah, Kitab as-Solah, Bab Solat Isyak dan Fajar Secara Berjemaah. Bersumber daripada Saiyidina ‘Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya):

“Sesiapa yang bersolat di masjid secara berjemaah selama empat puluh malam, tanpa terluput rakaat pertama daripada solat Isyak, Allah tuliskan baginya keselamatan daripada neraka.”

Kedua-dua riwayat di atas menjelaskan kepada kita gabungan fadilat menunaikan solat berjemaah dengan fadilat empat puluh hari. Hasil daripada gabungan ini dengan disertakan pula fadilat dapat bertakbiratul-ihram bersama dengan imam (yakni dapat menyertai solat berjemaah daripada permulaannya lagi); Allah akan mengurniakan kita dua perkara yang amat besar, iaitu jaminan diselamatkan daripada bakaran neraka dan juga jaminan diselamatkan daripada sifat munafik.

Kedua-dua perkara ini merupakan ganjaran yang sangat besar. Tidak ada seorang pun yang benar-benar beriman yang tidak menginginkan untuk bersih daripada sifat-sifat munafik di dunia ini, seterusnya mendapat pula jaminan untuk diselamatkan daripada neraka di akhirat nanti. Selamat daripada neraka maknanya akan dimasukkan ke dalam syurga. Itulah kejayaan yang teragung bagi seseorang insan. Allah s.w.t. berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما ٱلْحَيَاةُ ٱلدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ ٱلْغُرُورِ

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Aali ‘Imran 3: 185)

Itu bagi masjid dan surau yang bertebaran di atas muka bumi ini, tetapi sebagai satu keistimewaan kepada Masjid Nabawi, ada riwayat yang juga bersumber daripada Anas bin Malik r.a.:

مَنْ صَلَّى فِى مَسْجِدِى أَرْبَعِينَ صَلاَةً لاَ يَفُوتُهُ صَلاَةٌ كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَنَجَاةٌ مِنَ الْعَذَابِ وَبَرِئَ مِنَ النِّفَاقِ

“Sesiapa yang bersolat di masjidku (yakni Masjid Nabawi) empat puluh solat tanpa terluput satu waktu solat pun, dituliskan baginya pelepasan daripada neraka, keselamatan daripada azabnya dan terlepas daripada kemunafikan.” (Riwayat Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya)

Syaikh Syu’aib al-Arnauth mengatakan bahwa sanad hadis ini dhaif (lemah) kerana status seorang perawi iaitu Nubait bin ‘Umar yang tidak diketahui. Manakala al-Haithamiy dalam al-Majma’ az-Zawa’id pula mengatakan bahawa periwayat hadis di atas adalah thiqah.

Untuk mendapatkan sekeping sijil atau ijazah, yang pada fikiran kita akan memberi manfaat yang besar untuk kehidupan kita, kita bersedia untuk bersusah payah dan akan bersungguh-sungguh. Adakah tawaran untuk mendapat jaminan pelepasan daripada neraka ini tidak langsung menggiurkan kita? Tidak tergerakkah keimanan kita untuk mendapatkannya?

Sekarang, tanyakan diri kita, apakah cara yang boleh kita lakukan agar kita dapat menjaga solat berjemaah lima waktu dengan bertakbiratul-ihram bersama imam secara berjemaah selama empat puluh hari berturut-turut?

Sunday, January 8, 2012

Hijrah dan Nusrah

Imam at-Tobrani telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Qirsofah r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ هَاجِرُوْا وَ تَمَسَّكُوا بِالإِْسْلاَمِ فَإِنَّ الهِجْرَةَ لاَ تَنْقَطِعُ مَا دَامَ الجِهَادُ

“ Wahai manusia sekalian, berhijrahlah kalian (di jalan Allah) dan berpegang teguhlah dengan Islam, sesungguhnya hijrah itu sesekali tidak terputus selagi mana masih ada jihad.”

Hijrah tidak dapat dipisahkan daripada jihad. Jihad itu pula akan terus berlangsung hingga ke hari kiamat. Hijrah merujuk kepada amalan meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk mempelajari, menyebarkan dan memperjuangkan agama Allah Taala.

Hijrah juga memaknawikan hakikat perubahan seseorang daripada satu keadaan yang tidak atau kurang elok, kepada tahap sahsiah dan keimanan yang lebih baik.

Hadrat Mu’awiyah, Hadrat Abdur-rahman ibn ‘Auf dan Hadrat Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash radhiyallahu ‘anhum meriwayatkan, bahawa baginda Nabi s.a.w. telah bersabda, “Hijrah itu dua bentuk iaitu: hijrah meninggalkan perbuatan-perbuatan yang jahat; dan satu lagi ialah hijrah seseorang itu kepada Allah dan Rasul-Nya (yakni dengan meninggalkan kampung halamannya). Dan hijrah itu tidak akan terhenti selagimana diterima taubat; dan taubat itu kekal diterima sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat; apabila telah terbit sedemikian, maka hati manusia akan dimeterai (atau dipatri) dengan sekadar apa yang telah ada; dan mencukupilah manusia dengan (sekadar) amalan (yang pernah dilakukan).”

(Hadis riwayat Ahmad dengan perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai); dan oleh at-Tobrani di dalam kitab al-Awsath dan al-Soghir beliau.)

Apabila ada hijrah, maka berlakulah pergerakan. Air yang mengalir, air itu akan menjadi jernih, suci lagi menyucikan walaupun sedikit. Sebaliknya, jika air itu jernih sekalipun, apabila bertakung dan tiada pergerakan berlaku, akhirnya air itu akan berlumut, busuk dan memudaratkan.

Apabila kita meneliti kehidupan para sahabat Rasulullah s.a.w., kita akan dapati kehidupan mereka sentiasa diwarnai dengan pergerakan hijrah. Sama ada hijrah secara kekal seperti hijrah para Sahabat daripada Makkah atau kampung halaman mereka ke Madinah untuk bersama Rasulullah s.a.w.; atau hijrah yang bersifat sementara dengan meninggalkan kampung halaman mereka demi keperluan agama. Hijrah telah menjadi darah daging mereka. Mereka bersedia meninggalkan kampung halaman mereka demi agama Allah.

Daripada Wathilah bin al-Asqa’ r.a., berkata, Rasulullah s.a.w. telah bertanya kepada ku, “Apakah engkau akan berhijrah?”

Saya menjawab, “Ya.”

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, “Hijrah al-Baadiyah atau Hijrah al-Baattah?”

Saya bertanya, “Yang mana di antara keduanya lebih utama?”

Sabda baginda, “Hijrah al-Baattah, iaitu engkau tetap tinggal bersama Rasulullah s.a.w. ; manakala Hijrah al-Baadiyah pula ialah (setelah meninggalkan kampung halaman dan menyempurnakan maksud agama) engkau pulang kembali ke kampung mu, dan hendaklah engkau dengar (perintah amir) dan mentaatinya baik dalam keadaan engkau sulit mahupun senang, juga ketika engkau enggan mahupun ketika engkau bersemangat, mahupun saat (ada perkara lain) yang kau anggap lebih utama (pada ketika itu).”

(Ini adalah sebahagian hadis yang diriwayatkan oleh al-Tobrani dengan perawinya adalah thiqah.)

Al-‘Allamah Asy-Syaikh Sayyid Abul-hasan ‘Ali al-Husaini an-Nadwi, seorang tokoh pemikir Islam, pernah menyatakan di dalam satu syarahannya, bahawa sesungguhnya umat Islam ini hanya terdiri daripada dua kelompok sahaja, iaitu: muhajirin (orang yang berhijrah) dan ansar (orang yang membantu mereka yang berhijrah).

Apabila ada kelompok kaum muslimin yang meninggalkan kampung halaman mereka kerana agama, maka wujudlah apa yang dipanggil sebagai muhajirin. Apabila kelompok muhajirin ini sampai ke sesuatu destinasi, dan disambut serta disantuni oleh penduduk tempat itu, maka terwujudlah kelompok ansar. Melalui amalan hijrah dan nusrah (bantuan kepada orang yang berhijrah) inilah Allah telah jadikan asas agama tegak dan mulia di atas muka bumi.

Allah SWT berfirman (maksudnya), “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (atas maksud agama) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” ( Surah al-Anfaal 8: 74)

Di dalam kelompok manakah kita sedang berada?

Amat dicintai oleh Ar-Rahman!

Imam al-Bukhari rah.a. telah mengeluarkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Hurairah r.a. Baginda Nabi s.a.w. telah bersabda:

“Dua kalimah yang dicintai oleh Tuhan Yang Maha Rahman; ringan (sebutan) kedua-duanya pada lidah; sangat berat (timbangan) kedua-duanya di Mizan, (iaitu):

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ العَظِيْمِ

[Maha Suci Allah dan segala pujian untukNya; Maha Suci Allah Yang Maha Agung]”

Riwayat ini diletakkan pada Kitab at-Tauhid di dalam kitab Jami’ Sahih beliau. Hadith ini merupakan hadis terakhir yang menjadi penutup bagi kitab Sahih Bukhari.

Al-‘Allamah al-Muhaddith asy-Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a. di dalam kitabnya ‘al-Abwab wa at-Tarajim li-sohihi al-Bukhari’ menyentuh berkenaan pemilihan hadith ini dan diletakkan sebagai hadith penutup. Hadrat Syaikh menukilkan kata-kata Imam al-Kirmani yang menyatakan, hadith ini dipilih bukan sekadar untuk menceritakan kandungannya tetapi Imam al-Bukhari mahu menutup kitab Sahih beliau dengan kalimah tasbih tersebut; sebagaimana Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith “Sesungguhnya amalan-amalan itu adalah berdasarkan niat…” sebagai hadith pertama kitab beliau ini bagi menjelaskan keikhlasan beliau dalam menyusun kitab itu.

Seterusnya Hadrat Syaikh telah menyimpulkan bahawa apa yang zahir, Imam al-Bukhari bermaksud untuk menutup kitab beliau dengan hadith yang menunjukkan tentang ‘waznul-a’mal’ (timbangan amalan-amalan). Ini kerana timbangan amalan ini ialah impak kepada pertanggungjawaban ke atas seseorang hamba. Sesungguhnya, tidak ada selepas timbangan ini melainkan sama ada kekal di dalam antara dua tempat yang abadi: syurga atau neraka! Ini bermakna, Imam al-Bukhari telah memulakan kitabnya dengan bab Ikhlas dan menutupnya dengan bab Mizan.

Jika kita renungkan, sudah tentu hadith yang ringkas ini mempunyai kepentingan yang tersendiri sehingga dipilih oleh Imam al-Bukhari untuk menutup kitab Sahih beliau; satu kitab yang diiktiraf sebagai paling sahih selepas al-Quran.

Amirul-Mukminin fil-Hadith al-Hafiz al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul-Bari menyatakan, walaupun subjek utama hadith ini ialah dua kalimah tasbih itu, tetapi Rasulullah s.a.w. telah menyatakan predikat dahulu, yakni baginda memulakan dengan sifat dan fadilat dua kalimah itu terlebih dahulu. Selain dapat menarik perhatian pendengar kepada mesej yang ingin disampaikan, cara ini juga menunjukkan kepentingan dan penekanan baginda kepada dua kalimah tasbih ini.

Imam Ibnu Hajar juga menyatakan, kalimah ( حبيبتان ) ini bermaksud; “dua perkara yang dicintai”. Ini membawa makna bahawa orang yang melafazkan dua kalimah tasbih ini akan dicintai oleh Allah SWT.

Jika begitu, alangkah besarnya rahmat Allah kepada hambaNya! Melalui dua kalimah yang sederhana, mudah sekali untuk dilafazkan dan boleh diwiridkan tanpa banyak syarat; Allah menjanjikan kecintaanNya dan manfaat yang besar ketika kita ditimbang amalan-amalan kita di Mizan. Allahu Akbar!

Percayalah, Mizan adalah saat-saat genting bagi setiap daripada kita. Setelah melalui barzakh yang panjang dengan segala soal-jawabnya, kemudian menunggu di Mahsyar sehingga 50,000 tahun untuk hari Hisab dimulakan, seterusnya menghadapi pula perbicaraan di mahkamah Rabbul-Jalil; maka Mizan adalah saat yang amat menentukan. Beberapa riwayat menyatakan, semasa timbangan Mizan inilah syafaat-syafaat akan diberikan jika kita layak untuk menerimanya.

Segala amalan kita akan ditimbang. Tidak ada yang terkecuali. Saat penentuan ini diceritakan sendiri oleh Allah SWT.

“Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (Hari itu ialah: Hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya; Maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya; Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar.”

(Surah al-Qari’ah 101: 1-11)

Cuba ulang-baca sekali lagi hadith di atas, seterusnya tanyakan diri kita, “Apa yang harus aku lakukan sekarang!”

Hati yang telah terpaut dengan amalan masjid

Mereka akhirnya tiba di pinggir sungai Dajlah di bumi Babilon Iraq. Tempat yang pernah menjadi tapak ketamadunan manusia. Tempat yang pernah berkumandang dakwah Nabi Ibrahim a.s. Kelelahan perjalanan yang entah sudah berapa lama membuatkan mereka segera mencari-cari tempat yang sesuai untuk mendirikan khemah-khemah.

Amir jamaah ini tidak lain dan tidak bukan ialah Saiyidina Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. Abdullah bin Qais, itulah nama asalnya. Berasal daripada Yaman. Seorang tokoh besar dalam kalangan para Sahabat. Seorang sahabat yang amat dekat di hati Rasulullah s.a.w.

Angin tanah Iraq terus menyapa. Terik matahari bahangnya mula terasa. Setelah memerhatikan kedudukan tempat yang ada di tepi sungai Dajlah ini, akhirnya mereka memilih satu tempat yang strategik. Sebagaimana biasa, satu khemah yang agak besar akan didirikan di tengah-tengah kumpulan khemah yang ada. Khemah utama ini sifatnya sebagai masjid untuk jamaah ini. Begitulah kebiasaan para Sahabat apabila mereka keluar di jalan Allah. Mereka amat mementingkan masjid dan berpegang teguh untuk tetap menghidupkan amalan-amalan masjid sebagaimana semasa mereka berada di Madinah. Jamaah yang dipimpin oleh Saiyidina Abu Ubaidah al-Jarrah r.a. yang dihantar ke tanah Syam juga melakukan perkara yang sama di luar bandar Baitul-Maqdis.

Kini mereka sudah mendekati bandar Basrah. Hasrat mereka hanya satu, iaitu membawa manusia kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Mereka telah keluar meninggalkan apa sahaja yang mereka cintai di Madinah dan bertebaran di seluruh alam, atas satu maksud sahaja. Atas maksud untuk melihat hidayah Allah tersebar atas muka bumi ini. Kini mereka sudah berada di bumi Iraq yang berada di bawah pemerintahan empayar Parsi. Demi maksud menyampaikan kalimah Allah di situ, mereka bersedia hatta untuk mengorbankan nyawa.

Beberapa orang yang telah diputuskan untuk menyediakan makanan mula menjalankan tugas mereka. Ada yang mula mengambil gandum kasar untuk dijadikan roti, ada yang mula ke hutan-hutan kecil untuk mengumpulkan kayu api. Manakala sebahagian besar ahli jamaah sudah berada di dalam khemah masjid.

Hiththan bin Abdullah ar-Raqasyi salah seorang daripada ahli jamaah di tepi sungai Dajlah ini. Beliau memerhatikan suasana di kem jamaah Abu Musa al-‘Asy’ari ini.

Akhirnya, waktu zohor telah masuk. Seorang muazzin telah mengumandangkan azan. Jamaah yang sudah sedia di dalam khemah masjid, mula bangun memenuhi saf dan melaksanakan empat rakaat solat sunat rawatib qabliyah Zohor. Masing-masing dengan penuh tenang menunaikannya. Kemudian, Zohor telah diimamkan oleh Abu Musa sendiri.

Setelah selesai Zohor berjemaah, mereka segera mendirikan solat rawatib ba’diyah Zohor. Seterusnya, mereka duduk semula dan membentuk halaqah. Halaqah ini diisi dengan majlis dan muzakarah ilmu. Begitu ghairah dan bersungguh-sungguh mereka. Keadaan ini berterusan, sehinggalah masuk waktu Asar. Lalu muazzin melaungkan azan.

(Ilustrusi ini berdasarkan beberapa riwayat yang dinukilkan di dalam kitab Hayatus-Sahabah dengan rujukan utama kepada riwayat oleh Abdur-Razzaq melalui sumber Hiththan bin Abdullah ar-Raqasyi. At-Tohawi juga meriwayatkannya secara ringkas di dalam Syarh Ma’ani al-Aathar)

Apa yang kita boleh belajar daripada cebisan kisah daripada kehidupan para Sahabat ini?

Inilah kesungguhan mereka menghidupkan amalan-malan masjid dan keghairahan mereka dalam mencari ilmu. Ilmu yang membolehkan mereka faham apa yang Allah mahu daripada mereka dan bagaimana cara yang tepat untuk mengamalkannya. Hinggakan dalam perjalanan yang penuh susah payah ini pun mereka masih bersungguh-sungguh berada di dalam halaqah-halaqah ilmu.

Bagaimana kita?

Blog Widget by LinkWithin