Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Tuesday, August 26, 2008

SUMPAH...

Sejak kebelakangan ini, kita begitu dihuru-harakan dengan isu 'sumpah'. Kekeliruan demi kekeliruan tersebar. Bukan sahaja kalangan orang awam yang tidak sekata, bahkan dalam kalangan ilmuwan dan agamawan juga kelihatan hilang kesepakatan pandangan. Akhirnya, Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat satu kesimpulan. Kesimpulan yang boleh merungkai kekusutan masyarakat. Kekusutan yang mula menjerut maruah agama Allah, malah nama Allah Taala itu sendiri.

Allah menurunkan Al-Quran adalah sebagai 'huda' (petunjuk) kepada orang yang bertakwa. Semoga kita masih punya takwa, biar bagaimana pun tahap takwa itu, agar kita sentiasa layak mendapat petunjuk daripada Kitab Petunjuk Ilahi ini.

Semoga Allah ampunkan kita semua. Semoga taufik Allah sentiasa bersama kita!








Lafaz Sumpah Hanya Selepas Proses Perundangan, Kata Majlis Fatwa Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum lafaz sumpah laknat (muhabalah) dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam melakukan sumpah itu, ia perlu melibatkan kedua-dua pihak iaitu individu yang dituduh serta mereka yang menuduh dan ia tidak semestinya dilakukan hanya di masjid.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pendapat beberapa tokoh agama terhadap sumpah yang dilakukan baru-baru ini oleh Mohd Saiful berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu, telah mengelirukan masyarakat dan ia harus menjadi pengajaran kepada pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu seumpama itu pada masa akan datang.
"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan.
"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata rumusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu bukan berpihak kepada mana-mana individu sebaliknya ia adalah untuk menegakkan kebenaran mengikut syariat Islam.
"Undang-undang Islam adil dan jangan harus khuatir memikirkan perbicaraan melalui perundangan dan muhabalah boleh dilakukan di mahkamah ataupun di luar mahkamah bergantung kepada keputusan yang akan dibuat.
"Kedua-dua pihak berkenaan mesti berada dalam situasi yang mengizinkan muhabalah atau sumpah itu dilakukan.Tidak semestinya kedua-dua pihak itu berada pada satu tempat tetapi kedua-duanya mesti terlibat (melafaz sumpah)," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu berkenaan kerana sebarang persoalan mengenainya perlu dirujuk kepada ulama atau kitab-kitab agama.
Ditanya sama ada lafaz sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful mengikut syariat, Ahmad Zahid menjelaskan apa yang dilakukan bekas pembantu peribadi Anwar itu adalah bagi membersihkan nama dan imejnya.
Beliau berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah dengan memegang kitab suci al-Quran dan dilakukan dalam masjid adalah perkara-perkara teknikal yang tidak dipertikaikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
"(Bagaimanapun) kita berpendapat apa yang telah berlaku dijadikan pengajaran untuk kes-kes akan datang," katanya.
Ahmad Zahid menasihatkan umat Islam supaya tidak melakukan lafaz sumpah sewenang-wenang termasuk terhadap perkara remeh-temeh dan menjadikan perbuatan itu sebagai satu trend.
Beliau berkata sebarang lafaz sumpah itu perlu dilakukan selepas proses perundangan berjalan kerana jika seseorang itu kerap berbuat demikian, sumpah tersebut tiada nilai dan orang ramai tidak akan mempercayainya.-- BERNAMA

No comments:

Blog Widget by LinkWithin