Hadrat Tamim Daari RA meriwayatkan, Allah memerintahkan kepada Malakul-maut (Malaikat Maut) dengan berkata, "Pergilah kepada kekasih Ku ini! Aku telah menguji dia di dalam dua perkara iaitu kenikmatan dan kesusahan. Dia telah berjaya seperti yang Aku inginkan. Bawalah dia kepada Ku supaya dia mendapat kerehatan dan dia terselamat daripada kesusahan dunia."
Malakul-maut akan datang kepadanya bersama lima ratus malaikat dan mereka membawa kain kapan dari Jannah. Setiap tangan para malaikat ada sejambak bunga Raihan. Di dalam bunga Raihan itu ada dua puluh jenis cahaya (nur) warna dan setiap jenis cahaya akan mengeluarkan bau yang harum. Ditambah lagi, mereka akan membawa sehelai kain sutera yang berwarna putih semerbak harum Kasturi.
Malakul-maut akan duduk di bahagian kepala hamba Allah itu dan para malaikat yang lain akan mengelilinginya dan meletakkan tangan mereka ke atas setiap bahagian badan di hamba itu. Kain sutera berwarna putih lagi harum kasturi itu akan diletakkan di bawah dagunya. Maka terbukalah pintu Jannah di hadapan hamba itu. Hamba itu digembirakan dengan diperlihatkan dengan nikmat-nikmat baru sepertimana seorang ibu mengembirakan anaknya yang menangis dengan memperlihatkan benda-benda permainan. Kadang kala diperlihatkan 'nurul-ain' (bidadari), adakalanya diperlihatkan buah-buahan, adakalanya diperlihatkan pakaian yang sungguh mewah dan pelbagai nikmat yang lain lagi.
'Nurul-ain' akan mula terloncat-loncat kegembiraan. Pemandangan yang sungguh menyeronokkan ini akan menyebabkan rohnya dirasakan seolah-olah meronta di dalam badannya seperti seekor burung dalam sangkar meronta-ronta mencari jalan keluar dari sangkarnya.
Malakul-maut akan berkata, "Wahai roh yang sungguh diberkati! Berangkatlah ke tempat di mana ada pohon bidara yang tidak berduri, pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, naungan yang tetap terbentang luas dan air yang sentiasa mengalir." (Sebagaimana yang disifatkan di dalam Surah al-Waqiah: 28-31)
Malakul-maut akan berkata-kata dengan begitu lemah lembut kepadanya seperti seorang ibu berkata-kata kepada anaknya. Sebab Malakul-maut telah faham kedudukan roh tersebut di sisi Allah, iaitu roh itu mempunyai kedudukan yang hampir dengan Allah. Roh akan dikeluarkan dari jasad dengan begitu lembut seperti mana sehelai rambut di tarik keluar dari tepung.
Selepas rohnya keluar, para malaikat akan memberikan salam kepadanya dan akan memberikan khabar gembira, sesungguhnya dia akan memasuki syurga.
Semasa roh keluar dari jasad, maka roh akan berkata kepada jasad, "Moga-moga Allah akan membalas kebaikan kepada kamu! Kamu telah bersegera dalam mentaati perintah Allah dan beramal dengannya! kamu bertindak malas ketika melanggar perintah-perintah Allah! Moga-moga kamu berbahagia! Kamu sendiri selamat daripada azab dan menyelematkan diri saya sama."
Kata-kata yang sama juga akan diucapkan oleh jasad kepada roh. Perpisahan mereka akan menyebabkan bahagian bumi (tempat) yang mana dia beribadatmula menangis. Begitu juga pintu-pintu langit yang menjadi tempat naik segala amalan kebaikan serta dalam masa tempat turunnya rezeki, semuanya turut menangis.
Selepas rohnya berpisah dari jasad, amak lima ratus malaikatakan mendekatinya. Bila jenazahnya dimandikan oleh orang ramai, para malaikat pun sama-sama membalik-balikkannya. Malaikat terlebih dahulu membawa kain kapan syurga dan mengapankannya sebelum orang ramai menyediakan kain kapan untuk mengapankannya. Malaikat terlebih dahulu meletakkan wangi-wangian kasturi yang mereka bawa kepadanya sebelum orang ramai meletakkan wangi-wangian kepadanya. Akhirnya malaikat akan menyambut keberangkatan roh dari rumah hinggalah ke tanah perkuburan dengan menyusun silang dua barisan beserta dengan doa dan istighfar kepadanya.
Melihatkan kehebatan dan kemulian roh itu, maka syiatan akan mula menangis sekuat-kuatnya seolah-olah tulang-tulangnya hampir patah. Syaitan marah kepada pembantu-pembantunya lalu bertanya, "Celakalah kamu semua! Bagaimana orang ini boleh terlepas daripada cengkaman kamu semua!"
Pembantu-pembantunya akan menjawab, "Sesungguhnya dia terpelihara daripada dosa dan maksiat!"
Selepas itu Malakul-maut akan membawa roh yang diberkati itu ke langit dan Malaikat Jibril bersama tujuh pulu ribu malaikat lain akan menunggu untuk menyambut roh itu. Semua malaikat itu akan memberi khabar gembira bagi Allah Taala kepada roh itu. Seterusnya Malakul-maut akan membawa rohnya ke 'Arasy. Setelah sampai ke 'Arasy, rohnya akan bersujud di situ. Allah akan memerintahkan supaya rohnya ditempatkan di pohon-pohon bidara yang tidak berduri, dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya dan naungan yang tetap terbentang.
Bila jenazahnya dikebumikan, maka solat akan ada di sebelah kanan, puasa akan ada di sebelah kiri dan tilawah al-Quran serta zikir akan ada di bahagian kepala. langkah-langkah kaki yang berjalan untuk solat berjemaah akan berada di hujung kaki. Kesabaran (yakni ketika menghadapi sebarang kesusahan di dunia dahulu, dan ketika menjauhkan dirinya dari membuat dosa dan maksiat) akan berada di satu sudut di kubur.
Azab kubur akan keluar dalam bentuk satu makhluk dan memanjang-manjangkan lehernya untuk mengintai mencari peluang untuk mengazab mayat tadi. Pada mulanya ia akan cuba dari sebelah kanannya, tetapi amalan solat akan berkata: "Jangan cuba mendekatinya. Demi Allah! Sesungguhnya orang ini menghabiskan seluruh kehidupan di dunia dengan bersusah-payah. Baharulah sekarang ini dia mendapat sedikit kerehatan!"
Kemudian makhluk azab itu akan cuba dari sebelah kirinya maka amalan puasanya akan mempertahankannya sama seperti amalan solat tadi.
Seterusnya azab kubur akan cuba lagi di bahagian kepala maka amalan tilawah Al-Quran serta zikirnya akan mempertahankannya dengan berkata, "Kamu tidak ada peluang di sebelah sini!"
Pendek kata, azab kubur tidak berpeluang langsung untuk mengazabnya sebab roh yang dikasihi Allah inidilindungi oleh amalan-amalannya yang berada disekelilingnya. Akhirnya makhluk azab berundur dari situ.
Amalan kesabaran yang ada di satu sudut kubur itu akan berkata kepada segala amalannya tadi, "Aku menunggu untuk membantu di mana-mana bahagian yang ada kelemahan dan kekurangan, tetapi Alhamdulillah kamu semua telah berjaya menghalangnya daripada mendekati mayat ini. Aku akan cuba membantunya pada hari Hisab nanti!"
Kemudian datang pula dua malaikat kepada mayat itu. Dari matanyaakan terpancar cahaya seperti kilat, bunyi suaranya bagaikan guruh, giginya panjang bagikan tanduk lembu, dari mulut dan hidung keluarlah api, rambutnya panjang berjuntai hingga ke kaki, jarak di antara satu bahu ke satu bahu lain adalah beberapa hari perjalanan. Sifat belas kasihan dan lemah lembut jauh daripada mereka (Sungguhpun mereka tidak akan berlaku kasar dengan seorang mukmin, tetapi rupa mereka sahaja pun sudah cukup untuk menggerunkan).
Dua malaikat itu adalah Munkar dan Nakir. Di tangan masing-masing ada satu pemukul yang begitu besar dan berat. Pemukul itu amat berat sehingga dikatakan jika dikumpulkan seluruh manusia dan jin di dunia ini untuk mengangkatnya nescaya tidak terangkatkan pemukul itu. Mereka menghampiri mayat tersebut dan memintanya supaya bangun. Sebaik sahaja mayat itu berada dalam keadaan duduk, kain kapan pun ditanggalkan daripada kepala hingga ke pinggang.
Malaikat Munkar dan Nakir pun bertanya, " Siapakah Tuhan kamu? Apakah agama mu? Siapakah nabi mu?"
Mayat itu akan menjawab, "Tuhan ku ialah Allah yang Esa Dia tiada sebarang sekutu bagi-Nya! Agamaku ialah Islam dan Nabiku ialah Muhammad Khatamin-Nabiyyiin (Penutup Segala Nabi)!"
Kedua-dua malaikat itu akan berkata, "Jawapan kamu adalah benar!"
Kemudian malaikat itu akan menyingkap dinding hijab sekelilingnya dan ini menyebabkan kubur terbentang luas dari segala arah.
Seterusnya malaikat akan berkata, "Lihatlah ke atas!"
Mayat akan melihat ke atas dan terlihatlah satu pintu. Dari pintu itu akan ditunjukkan suasana Jannah.
Ketika itu malaikat akan berkata, "Wahai wali (yakni orang yang dikasihi) Allah! Sesungguhnya itulah tempat tinggalmu, kamu mendapat tempat itu kerana mentaati perinta Allah Taala!"
Rasulullah s.a.w bersabda, " Demi Allah, yang nyawaku dalam genggaman-Nya! Mayat itu akan merasakan kegembiraan sepenuhnya sehingga dikatakan selepas ini dia tidak akan merasakan kegembiraan seumpama itu."
Seterusnya malaikat akan berkata, "Lihatlah ke arah kakimu!"
Sebaik sahaja mayat memandang ke arah itu, didapati ada satu pintu Jahannam. Malaikat akan berkata, "Wahai wali Allah! Sesungguhnya kamu telah terpelihara daripada memasuki tempat itu."
Mendengarkan kata-kata malaikat, maka mayat itu akan merasa kegembiraan selama-lamanya.
Akhirnya akan dibukakan tujuh puluh tujuh pintu Jannah di kubur dan dari segenap arah akan datanglah angin bayu yang sejuk dan wangi-wangian yang semerbak harumnya. Keadaan ini akan kekal selama-lamanya hinggalah ke hari Kiamat.
(Sedutan buku "Kepentingan Penghayatan & Natijah: Ingat Maut" oleh Hadrat Syaikhul-Hadith Al-'Allamah Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi rah.a. - Pengarang telah menyertakan catatan mengenai riwayat di atas, "Para muhaddithin telah mempersoalkan sanad hadis ini. Sebenarnya kandungan riwayat ini telah diperkuatkan oleh banyak riwayat yang lain. Khususnya riwayat daripada Hadrat Baraa bin Azib RA dan Hadrat Abu Hurairah RA yang terkandung dalam kitab Mishkaat, Bab Kitabul-Janaiz dan Bab Ithbat Azaabul-Qabr." Intaha.)
No comments:
Post a Comment