Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, February 14, 2009

Pengurusan Emosi, Kem. Belia dan Sukan

Alhamdulillah, milik Nya jualah segala puji-pujian. Dialah Al-Khaliq, semata-mata Dia. Tidak pernah sama sekali dikongsi kedudukan satu-satunya Maha Pencipta. Yang menciptakan daripada tiada kepada ada. Dialah satu-satunya Penguasa, atas segala ciptaan Nya. Segalanya hanya tunduk kepada masyii-ah dan iradah Nya. Dialah Allah, tiada Tuhan lain selain Dia.

Setelah beberapa hari suara saya hilang, asbab batuk-batuk. Beberapa kuliah juga terpaksa ditangguhkan. Akhirnya saya terpaksa juga memenuhi jemputan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai salah seorang penceramah di dalam kursus "Pengurusan Emosi" di Suria Cherating Beach Resort, Cherating, Pahang. Suara saya sebenarnya masih lagi serak, tetapi memandangkan masa yang amat singkat untuk mendapatkan pengganti, saya terpaksalah meneruskan juga perkongsian ilmu dengan peserta kursus ini. Lagipun, untuk modul "Tafakkur Zihni", sememangnya saya seorang sahaja yang mengajarkannya. Itupun setelah puas berbalas SMS dengan urusetia kursus iaitu En Gopal (Kaunselor di KBS), akhirnya dengan diiringi permohonan maaf, saya terpaksa penuhi juga jemputan ini.

Slot saya telah dipinda kepada sebelah malam. Setelah memandu kira-kira empat jam daripada Putrajaya, akhirnya saya sampai di Cherating kira-kira jam 6.30 petang. Setelah menikmati jamuan BBQ bersama para peserta, kelas malam itu diadakan bermula jam 9.00 malam hingga ke 11.00 malam. Saya mulakan kelas dengan permohonan maaf kepada peserta kerana mutu suara saya yang masih lagi serak. Alhamdulillah, para peserta telah memberikan perhatian dan partisipasi yang amat memberangsangkan. Wajah-wajah mereka amat bertenaga. Bagi saya, di sini saya belajar daripada mereka erti keikhlasan dan kesungguhan mencari ilmu.

Walaupun telah berkursus selama 3 hari, dan malam ini ialah malam terakhir mereka. Nampaknya, mereka masih sudi memberikan hati dan minda mereka kepada perkongsian ilmu yang saya sampaikan. Semoga Allah menjadikan kesungguhan mereka sebagai asbab kemuliaan mereka di sisi Nya.


Sebenarnya emosi juga perlukan kemahiran untuk menguruskannya. Kemahiran inilah yang dinamakan sebagai Emotional Quotient (EQ). EQ merupakan satu elemen yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Kursus ini dikendalikan oleh tiga orang penceramah, iaitu YM Puan Raja Kamariah (Kaunselor JPM), Tn Hj Abd Latif (Pengerusi Kelab Rakan Pembimbing JPM) dan saya sebagai salah seorang Rakan Pembimbing di JPM. Jadi, bahagian saya ialah berkongsi dengan satu bidang yang saya asaskan, iaitu "Tafakkur Zihni". Di sini, saya berpegang kepada pentingnya kita mengenal diri kita sebelum kita dapat menguruskan emosi. "Tafakkur Zihni" ialah satu sorotan rohaniah ke atas diri (Spiritual Quotient [SQ]) sebagai satu alat untuk menguruskan emosi.

Semoga Allah meletakkan manfaat di dalam perkongsian ini, dan memanjangkan manfaatnya kepada para peserta sekalian.
Allahumma aamiin!

2 comments:

Anonymous said...

Asalamualaikum,

Saya Fadzli dari presint 16, Putrajaya. Anak murid master Hazil yang jumpa ustaz di food court kompleks kejiranan p16 tempohari.

Saya sebenarnya berminat ingin tahu lebih lanjut mengenai 'Tafakkur Zihni' yang ustaz pelopori .... bagaimana cara saya nak dapatkan maklumat tersebut ? dan saya juga berminat untuk meneroka bidang pembangunan ESQ (emotional & spiritual quotient)ini.

Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah buku sewaktu di berkunjung ke kedai buku MPH di Alamanda, buku ini berkenaan kecerdasan kerohanian (spiritual quotient) berasaskan amalan zikir Asmaul Husna ... yang dikenali dengan nama 99Asma-Q. Apa pendapat ustaz ?

Sekian. wassalam.

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Sdr Fadzli,

Alhamdulillah, terima kasih sudi singgah.

Setakat yang saya tahu, dalam kursus ESQ oleh Aaary Ginanjar pun, mereka akan menggunakan 99 Asmaul-Husna sebagai modul pembinaan SQ peserta.

Dan apa yang dinamakan 99Q itu, semuanya berasaskan satu hadis Rasulullah SAW (mafhumnya): "Berakhlaklah kamu dengan 'akhlak' Allah!"

Maka 99 Asmaul-Husna yang hampir keseluruhannya adalah berasal daripada sifat-sifat Allah seperti Rahman (Pengasih), Kariim (Mulia), Azim (Agung) dsb. Lalu kita sebagai khalifah Allah, telah disediakan 'kecerdasan' untuk mengikuti teladan Asmaul-Husna ini.

Lebih kurangnya begitulah, wallahua'lam.

Berkenaan Tafakkur Zihni, disebabkan kekangan masa, saya tidak sempat lagi untuk membuat 'public course' untuk TZ ini. Cuma dikongsikan apabila ada jemputan daripada mana-mana penganjur. Selalunya saya masukkan dalam modul 'SQ Terbilang' saya.

Terima kasih atas minat dan pertanyaan, wassalam.

Blog Widget by LinkWithin