Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, November 14, 2009

KECERDASAN SPIRITUAL (SQ) TERBILANG

KECERDASAN SPIRITUAL (SQ) TERBILANG
Oleh: Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz

Era pertengahan 1990-an telah menyaksikan bagaimana bidang psikologi yang merupakan satu disiplin dalam dunia sains moden telah menerima ‘emosi’ sebagai satu kecerdasan penting. Dalam dunia psikologi, telah muncul satu angkatan yang dikenali sebagai Transpersonal Psychology, yang percaya bahawa di sana ada satu hal yang lebih jauh dan dalam mengenai kejiwaan manusia. Ini bermakna, ‘spiritual’ yang sebelum ini begitu sinonim dengan agama dan ahli agama, yang lebih difahami sebagai dogma dan ritual, telah mula diterima sebagai satu bentuk sains yang tersendiri.

Jika Daniel Goleman dikenali dengan EQ-nya, maka Danah Zohar dan Ian Marshall telah dikenali sebagai yang mempopularkan istilah ‘Spiritual Quotient’ (Kecerdasan Kerohanian) yang mana telah menyimpulkan di dalam buku “SQ: Spiritual Intteligence - The Ultimate Intelligence” bahawa Kecerdasan Kerohanian (SQ) ialah kecerdasan tertinggi yang dimiliki oleh insan. Kini perkataan ‘spiritual’ telah mendapat tempat di dalam kamus neurologi, pengurusan, korporat malah sukan. Danah Zohar telah pun memperkatakan tentang ‘Spiritual Capital’ (Modal Spiritual) melalui buku terbarunya ‘Spiritual Capital: Wealth We Can Live By’. Malah Majlis Sukan Negara Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan satu Bengkel Kecerdasan Spiritual dan Doping kepada atlet Sukan Sea Korat negara.

Perkataan ‘spiritual’ itu sendiri bukanlah satu perkataan yang difahami secara detailnya dengan sekata. Bagaimanapun, tokoh-tokoh yang memperkatakannya bersetuju dengan satu konsep, bahawa seseorang insan itu mempunyai satu elemen yang sangat penting, iaitu spiritual. Satu elemen yang berkait dengan dimensi dalaman seseorang iaitu ‘roh, jiwa dan diri’.

Al-Quran sejak 1500 tahun dahulu telah memperkatakan berkenaan elemen ini, sebagai penerus kepada risalah yang dibawa oleh rantaian kitab-kitab samawi yang terdahulu. Al-Quran telah diturunkan dengan satu mukadimah yang jitu, iaitu satu penegasan bahawa manusia perlu ‘membaca’ asal kejadian mereka. Kajilah jasad lahiriah, sifat dan perlakuannya; akhirnya mereka tetap akan ‘sujud’ mengakui betapa di sana ada satu Zat ‘Allazi Khalaq’ (Yang Telah Menciptakan). Maka di sinilah dimensi rohaniah itu wujud (Q96:1-5). Dan pastinya inilah asas SQ yang paling tuntas. Kecerdasan ini dasarnya ialah natijah daripada satu proses cerapan akliah yang waras dan rasaan rohaniah yang halus, yang mana akhirnya mencetuskan satu tahap ‘pencerahan’ rohaniah (spiritual enlightenment) bahawa ‘diri’ itu mempunyai hubungan yang terlalu istimewa dengan Penciptanya; dan betapa Sang Pencipta Yang Maha Esa itu begitu ‘rapat’ dengannya (Q57:14).

Nabi Muhammad SAW merupakan insan pilihan yang mula-mula menerima suluhan wahyu tersebut, dan semestinya sebagai seorang Rasul Allah, Nabi Muhammad SAW adalah insan yang paling faham kandungan wahyu tersebut. Rasulullah SAW mengatakan, “Sesungguhnya, di dalam hati manusia itu ada seketul darah, jika elok, maka eloklah seluruh (anggota) jasadnya yang lain. Jika rosak, rosak seluruh (anggota) jasadnya yang lain. Ketahuilah, ia adalah hati!” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Maka hati adalah titik tolak segala gesaan rohaniah yang akan membentuk kerangka pemikiran minda. Kerangka pemikiran (paradigm) ini membentuk sikap dan tindakan; tetapi paradigma itu sendiri dibentuk oleh sistem kepercayaan (belief system). Seorang atheis ‘pandang-alam’nya (world view) pasti amat berbeza dengan seorang Muslim yang berkeyakinan bahawa alam ini ialah ciptaan Zat Sang Maha Pencipta.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Al-Quran menggagaskan SQ itu mestilah bermula dan berakhir dengan satu pengiktirafan diri terhadap kewujudannya sebagai makhluk dan hamba kepada Al-Khaliq (Sang Maha Pencipta); iaitu Allah SWT. Ini merupakan satu sistem kepercayaan yang paling tuntas dan hakiki (the ultimate belief system). Keimanan yang berpaksikan ketauhidan yang murni kepada Tuhan Yang Maha Pencipta akan menerbitkan satu kekuatan dalaman dan kecerdasan tertinggi dalam memberi makna dan nilai kepada hidup dan kehidupan. Kecerdasan inilah yang akan memandu Kecerdasan Intelektual (IQ) dan Kecerdasan Emosi (EQ) untuk saling berinteraksi dan berpartisipasi.

Terdapat puluhan penulisan jika tidak ratusan yang memperkatakan tentang cirri-ciri seorang mempunyai SQ yang hebat. Cherian P. Tekkeveettil, contohnya telah menyenaraikan lapan kriteria utama seorang yang mempunyai SQ yang tinggi, seperti fleksibiliti, kesedaran kendiri, kebolehan menghadapi dan memanfaatkan penderitaan, kebolehan mendapatkan ilham dan berfikiran secara holistik. Manakala Dr. Yusuf Al-Qardhawi pula melalui khutbahnya yang diangkat menjadi buku bertajuk ’12 Peribadi Cemerlang Ibadurrahman: Ciri Yang Allah Sebut 1500 lalu’ memperincikan 12 ciri-ciri seorang mukmin yang hebat berdasarkan saranan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Furqan 25:63-77. Sekadar mengambil dua contoh daripada dua peradaban yang berbeza, tetapi inti perbicaraannya masih sama. Malah penulisan terkini Dr. Stephen R. Covey yang tersohor dengan “7 Habits of Highly Effective Peoples”, iaitu bukunya “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness” dan juga satu hasil penerbitan De Jiao Hong Yang She yang bertajuk ‘Journey to The Underworld’ atau dalam bahasa asalnya ‘Diyu Youji’ masih dalam daerah perbincangan yang menyentuh mauduk yang sama.

Sesungguhnya, Al-Quran penuh dengan saranan dan gagasan agar seluruh kewujudan alam ini menjadi ‘trigger’ kepada insan agar sedar bahawa ‘Rabb’ mereka adalah Allah. Penyaksian bahawa Allah itulah ‘Rabb’ dan manusia adalah hamba-Nya yang istimewa dan mempunyai urusan yang istimewa merupakan kemuncak SQ yang perlu terjelma setelah menghayati saranan, ajakan, cabaran, tantangan, wacana, pujukan, perkhabaran, tamsilan dan renungan oleh Al-Quran. Malah ada cendekiawan ummah yang menyebut tentang ‘Quranic Quotient’ (Kecerdasan Kealquranan), dan juga 99Q iaitu ’99 Quotient’ yang digarap daripada 99 Asma Al-Husna Allah SWT. Malah, Ary Ginanjar Agustian telah memformula tauhid, enam rukun iman dan lima rukun Islam sebagai satu kesatuan yang memaparkan erti SQ melalui modul ESQ165 beliau yang semakin terkenal di Malaysia dewasa ini. Kesemua inilah adalah garapan akliah untuk menceritakan beberapa sudut daripada makna SQ yang ada di dalam Al-Quran.

Hati adalah medan kerohanian, maka usaha ke atas hati adalah medan yang paling tepat untuk pembinaan dan pemerkasaan SQ seorang insan. Al-Quran menyatakan, “Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya” (Q33:4). Hati ini kecil, inilah tempat tumpuan Allah SWT pada seseorang insan. Maka pencerahan spiritual ini mempunyai kesan langsung kepada perlakuan dan pentadbiran jasadi manusia. Hari ini, tidak ada mana-mana pakar pengurusan atau ekonomi yang dapat menafikan betapa etika, moral dan nilai merupakan perkara teras dalam mana-mana pengurusan hatta apa yang disifatkan sebagai korporat. Integriti atau luhur-akhlak menjadi inti kepada kejayaan sistem pengurusan mana-mana institusi.

Oleh yang demikian, melalui pengajian, pengkajian, pemerhatian dan penghayatan daripada tunjuk ajar guru-guru dan alim-ulama, penulis melihat SQ ini boleh diterbilangkan melalui enam sifat yang diusahakan ke atas hati:

(1) Asal Segala Sumber

“Kita perlu mengetahui sumber hakiki segala sesuatu, barulah kita akan berjaya mendapatkannya. Umpamakan kita ingin menggali perigi. Maka kita hanya akan berjaya mendapatkan sebuah perigi, jika tapak yang kita gali itu mempunyai sumber air. Jika tidak, penat sahajalah yang kita akan dapat. Atau kita sedang berusaha mencari suatu harta. Jika kita tidak mengetahui sumbernya, maka akan sukarlah mendapatkannya.”

Hati perlu dibawa dan dibimbing untuk mengenal dan mengakui secara hak dan bulat, sumber bagi segala sumber, iaitu Allah SWT. Tanpa tahu dan kenal sumber sesuatu, bagaimanakah kita mampu memperolehnya? Maka hanya ada satu sumber yang maha hakiki, iaitu Iradat dan Kudrat Allah SWT. Tiada satu perkara pun yang terjadi melainkan dengan kehendak-Nya; dan mustahil sama sekali ada perkara yang terjadi, di luar kehendak dan izin Allah SWT. Allah-lah Asal Segala Sumber, dan Allah-lah satu-satunya tempat pergantungannya ‘keperluan’ segala makhluk. “Allah-lah yang tiada tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha ‘Qayyum’” (Q2:255). Al-Qayyum membawa maksud, “Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri dan segala sesuatu yang lain bergantung hidup dengan-Nya.” Allah mengisytiharkan, “Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak binasa (dengan berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya) dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Q35:41)

Tanpa pengenalan (ma’rifah) yang sempurna kepada Asal Segala Sumber ini, maka seolah-olah kita cuba mendapatkan sesuatu benda daripada sumber yang salah. Atas roh dan semangat inilah Rasulullah SAW menasihatkan anak saudaranya Hadrat Ibnu ‘Abbas RA dengan kata-kata, “Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kamu beberapa kalimah, (iaitu): Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu; jagalah Allah, kamu akan mendapati Dia akan berada di hadapan mu; apabila kamu meminta, mintalah dengan Allah!; apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah daripada Allah!; Ketahuilah, jika berkumpul seluruh umat untuk memberikan kamu manfaat dengan sesuatu, nescaya mereka tidak dapat memberikan manfaat itu, melainkan apa yang telah Allah tuliskan bagi mu; dan jika mereka berkumpul untuk mengenakan mudarat kepada mu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu mengenakan mudarat itu melainkan dengan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu; sesungguhnya pena telah terangkat, dan lembaran (takdir) telah kering (dakwatnya)!” (HR At-Tirmizi).

(2) Membuka Khazanah

“Setelah kita mengetahui Khazanah yang mengandungi segala harta karun itu, maka sangat perlu kita tahu dan mampu membukanya. Jika kita sudah tahu khazanah itu, tetapi gagal membukanya, maka semuanya akan jadi sia-sia. Hanya mampu menjadi pameran dan objek untuk dibangga-banggakan saja.”

Setelah hati dapat mengenal di mana Asal Segala Sumber, lalu terbentang kepadanya Khazanah bagi segala sesuatu. Sesungguhnya, segalanya datang dari khazanah Allah. Daripada sehebat-hebat makhluk seperti ‘Arasy dan syurga, mahupun sekecil-kecil makhluk seperti atom sekalipun, segalanya datang dari khazanah Allah SWT. Maka untuk membuka peti khazanah ini, hendaklah sebagaimana cara yang telah disistemkan oleh Pemilik peti khazanah itu. Lalu Allah SWT sendiri telah berfirman, “Wahai orang-orang yang ada iman! Mintalah kamu pertolongan dengan sabar dan solat! Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.” (Q2:153) Nyata sekali, kedua-dua perkara yang disebutkan di sini iaitu ‘sabar’ dan ‘solat’ adalah perkara yang semua orang mampu melakukannya dan tidak terikat dengan sebarang perkara yang berada di luar diri mereka sendiri.

(3) Jalan Yang Terang

“Setelah mengetahui tempat khazanahnya, anak kunci sudah berada di tangan, maka perlulah tahu pula jalan yang cepat dan selamat untuk sampai kepadanya.”

Maka ‘jalan’ di sini ialah ‘ilmu’, dan cahaya yang terang di sini ialah ‘zikrullah’. Hukama menyatakan, “Ilmu tanpa zikir adalah berbahaya; dan zikir tanpa ilmu adalah sia-sia.” Allah SWT telah memerintahkan Penghulu Segala Rasul iaitu Nabi Muhammad SAW agar memohon untuk sentiasa ditambahkan ilmu, sebagaimana firman-Nya, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan ku, tambahkan bagi ku ilmu!” (Q20:114 ); sedangkan wahyu sentiasa diturunkan kepada baginda. Di tempat yang lain, firman-Nya, “Dan semua perumpamaan itu Kami bentangkannya kepada manusia, tetapi tiada seorang pun yang mampu memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Q29:43) Seorang yang mempunyai SQ yang tinggi akan sentiasa mampu melihat dan mengetahui apa yang dikehendaki oleh Pemilik Dunia dan Akhirat dalam setiap masa dan keadaan. Sentiasa peka dalam melakukan sesuatu perkara, agar sentiasa dengan cara yang paling disukai oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, sentiasa melaksanakan segala perintah-perintah-Nya dengan ingatan dan kesedaran yang sepenuhnya kepada Allah SWT.

(4) Menangkan Diri

“Apabila sumber segala khazanah telah dikenal pasti, cara untuk membukanya telah diketahui, jalan untuk menuju kepadanya telah dimaklumi; maka kita perlu ingat bahawa di sana juga terdapat ramai lagi orang yang berebut-rebut untuk mendapatkan khazanah ini. Umpamakan kita sedang menyertai acara ‘treasure hunt’. Oleh itu, kita kena menangkan diri kita.”

SQ yang mantap akan sentiasa mendorong tuannya untuk berusaha memenangkan diri mereka. Menang di sini maksudnya ialah bagaimana untuk memenangi ‘hati’ Allah SWT sebagai Pemilik Mutlak Segala Khazanah melalui hubungan sesama hamba-Nya. Seorang yang mempunyai SQ yang hebat, akan sentiasa melihat bahawa setiap diri saudaranya dan hubungannya dengan mereka adalah medan dan peluang keemasan untuk memenangi ‘hati’ Pencipta Segala Makhluk, iaitu Allah SWT. Rasulullah SAW menyingkapkan suatu hakikat, “…Dan Allah sentiasa menolong seseorang (hamba-Nya) itu selama mana dia menolong saudaranya.” (HR Ahmad).

(5) Perisai Penerimaan

“Setelah memenangi khazanah itu, sentiasa ada ancaman daripada musuh-musuh, semata-mata atas nama dengki dan iri hati. Maka kita perlulah sentiasa menjaga diri kita dengan perisai yang kukuh daripada ancaman dan gangguan musuh yang ingin melihat kita jatuh tersungkur dan binasa. Pada masa yang sama, kita mahu pastikan bahawa kemenangan kita itu sentiasa diiktiraf dan diterima oleh Penganjur perlumbaan ini.”

Musuh di sini adalah merujuk kepada syaitan (Q36:60) dan konco-konconya sama ada daripada kalangan jin dan manusia (Q114:4-6) bahkan daripada sekutunya iaitu nafsu ‘ammarah kita sendiri (Q12:53). Maka yang menjadi perisainya ialah ‘ikhlas’ (Q15:39-40) atau sekurang-kurangnya pada tahap sentiasa berusaha ‘mensahihkan niat’ (tashihun-niyyah). Allah SWT mengingatkan, “Dialah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Q40:65) Seorang yang mantap SQ-nya, akan memiliki kemahiran yang tinggi dalam mengenali musuh dan strategi-strateginya. Ini merupakan antara kemahiran hidup (living skill) yang terpenting bagi seorang insan.

(6) Pengorbanan Membara

“Setelah strategi dan rahsia-rahsia kemenangan telah dimiliki, maka kita perlu bersedia untuk mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh. Bersedia untuk melakukan apa sahaja pengorbanan yang perlu, dalam masa yang sama mempunyai hasrat yang membara untuk membawa seramai mungkin ahli kumpulan kita untuk mendapatkan kemenangan itu.”

Rasulullah SAW telah menggariskan satu prinsip kerohanian yang amat penting, “Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehinggalah dia menyukai bagi saudaranya, apa yang dia suka untuk dirinya.” (HR Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Ahmad dll.) Berpaksi kepada prinsip keimanan ini, SQ seseorang itu akan terbentuk untuk faham bahawa segala kebaikan dan apa saja yang boleh membuatkan manusia berjaya dan mulia di sisi Allah SWT, perlulah dikongsi, disebarkan, disampaikan, diuar-uarkan, dikempenkan, digagaskan dan diperjuangkan. Untuk maksud itu, mereka sedia untuk berhabis-habisan melalukan pengorbanan sama ada pemikiran, diri, harta, masa dan seluruh hidup mereka. Mereka penuh sedar bahawa kehadiran mereka di muka bumi ini bukan sekadar untuk menjadi hamba Allah yang cemerlang untuk diri mereka semata-mata; bahkan mereka dengan penuh keghairahan sedar bahawa mereka perlu menjadi terbilang secara ummah (khaira ummah) (Q3:110), umat penuh wibawa (ummatan wasatan) (Q2:143) dan secara taklifnya telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi pewaris dan penerus risalah yang dibawa oleh insan-insan terbilang, iaitu para nabi dan rasul (Q42:13). Malah secara khusus, mereka telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi pewaris misi kepada insan yang paling terbilang, iaitu Hadrat Habibullah Saiyidina Muhammad SAW (Q12:108)

Jika keenam-enam perkara ini benar-benar menjadi sebati di dalam hati seseorang, maka sudah pasti seseorang itu akan mempunyai satu pakej SQ yang lengkap. Pakej yang membuatkan seseorang itu cemerlang dan terbilang ‘hubungannya dengan Allah’ (hablum-minallah) dan terbilang pula ‘hubungannya dengan manusia’ (hablum-minannas). Tanpa mengira apa tahap pendidikan dan status sosial dan ekonomi seseorang itu, dengan enam perkara ini, membolehkan seseorang itu mengenali ‘diri’ mereka dengan begitu jelas; mempunyai definisi terhadap hidup dan mati dengan tepat; keghairahan untuk mengisi kehidupan dengan kebaikan dan dengan perkara yang terbaik; sentiasa dengan penuh kesungguhan dan kreativiti ingin memastikan kebaikan sentiasa dijulang; dan secara semula jadi akan menjadi pemangkin agar orang lain juga akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan dan menyebarkan kebaikan.

Sejarah dunia telah menjadi saksi, generasi terbilang yang secara umumnya telah mencapai SQ sedemikian ialah generasi 300 tahun yang pertama umat ini. Merekalah ‘benchmark’ terbaik untuk kita dewasa ini, terutamanya generasi para Sahabat RA. Merekalah contoh yang pernah dicatatkan oleh sejarah bagaimana melalui pemilikan SQ mereka yang tinggi, mereka telah membangunkan satu sumber rahmat kerohanian, dan telah menyebarkan rahmat itu ke seluruh alam. “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari kalangan orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan ihsan (sebaik-baik ikutan iman dan ketaatan), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Q9:100) Adakah kita bersedia untuk menuruti jejak langkah mereka?

1 comment:

Ishak Zaini said...

Aslmkm..

Jazakallah..
Cantik susun aturnya..
Allah s.w.t telah tetapkan bahawa kejayaan kita semua di dunia dan akhirat hanya dalam Islam yg sempurna.
taat Allah.. ikut cara Rasulullah s.a.w.

Blog Widget by LinkWithin