Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Friday, August 6, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 22: Lailatulqadar Kemuncak Pesta Ibadah

Alhamdulillah, kita masih disempatkan Allah bertemu di hujung Sya'ban ini. Moga kita juga ada rezeki untuk bertemu Bulan Ramadhan al-Mubarak. Saya nukilkan di sini artikel saya yang disiarkan di dalam kolum bulanan saya dalam Majalah Solusi. Ini adalah artikel asal, mungkin ada sedikit perbezaan selepas suntingan editor. Semoga perkongsian ini menguatkan himmah kita bagi menyambut kehadiran Bulan Ramadhan ini:

Sekali lagi, Bulan Ramadhan datang mengunjungi kita. Alangkah mulianya tetamu ini. Alangkah dirindui tetamu ini. Hembusan bayu Ramadhan kembali mendamaikan jiwa-jiwa mukmin. Bahkan penghuni syurga juga terpinga-pinga dengan hembusan ‘muthirah’ yang menerpa syurga yang kini dibukakan seluas-luasnya. Syuga telah dihias dengan lebih hebat lagi. Di muka bumi, suasana keimanan mula mewarnai sukma para mukmin. Kemanisan iman begitu mudah dirasai, merdu suara keimanan begitu mudah menyentuh jiwa. Keberkatan Ramadhan menguasai langit dan bumi. Dan Allah Yang Maha Rahman, semakin mewah melimpahkan rahmat dan ihsan-Nya.

Hadrat Ibnu ‘Abbas r.a. berkata, bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiaskan dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadhan, satu angin akan berhembus dari bawah ‘Arasy yang dinamakan ‘muthirah’. Lalu bergeseranlah daun-daun pepohonan syurga dan juga gagang pintu-pintu syurga , maka kedengaran dari yang demikian itu satu bunyian merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu daripada itu sebelumnya. Kemudian muncullah bidadari-bidadari sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka kemudiannya menyeru, “Adakah sesiapa yang ingin meminang kami agar Allah mengahwinkannya dengan kami?” Kemudian mereka berkata lagi, “Wahai Ridhwan penjaga syurga! Malam apakah ini?” Ridhwan akan menjawab, “Labbaik!”, lalu dia berkata, “Mala mini adalah malam pertama daripada Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga untuk umat Muhammad.”…” (Sebahagian daripada hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Baihaqi. Imam as-Suyuti di dalam kitab at-Tadrib mengatakan, tidak terdapat dalam kalangan perawinya seseorang yang disepakati kedhaifannya, al-Qari menyebutkab di dalam al-Mirqat: Pelbagainya jalan-jalan periwayatan hadis ini menunjukkan hadis ini ada asalnya.)

Hadrat Salman r.a. menceritakan, “Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Sya’ban, baginda telah bersabda: Wahai manusia! Telah datang kepada kamu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan…” (Sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah di dalam kitab Sahihnya)

Dapat kita lihat di sini, bagaimana Rasulullah s.a.w. menyediakan jiwa para Sahabat untuk menyambut bulan rahmat dan penuh barakah ini. Dinyatakan melalui riwayat ini, bahawa Rasulullah s.a.w. menyampaikan targhib mengenai fadilat Ramadhan ini pada hujung bulan Syaaban. Ini bagi memastikan tidak ada satu detik pun daripada bulan Ramadhan ini akan berlalu sia-sia tanpa dimanfaatkan. Betapa ruginya sesiapa yang mensia-siakan kunjungan yang mulia ini.

Bersama Ramadhan ini, datangnya Lailatul-Qadr (Malam Kemuliaan). Satu malam yang penuh dengan kemuliaan, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sungguh bertuah mereka yang mendapat taufik untuk beribadah pada malam itu. Hanya satu malam al-Qadar ini! Keuntungan dan fadhilatnya , melebihi kebaikannya daripada 83 tahun 4 bulan. Fadhilat ini telah diberitakan sendiri oleh Pencipta siang dan malam, hari dan bulan, manusia dan seluruh alam.

Allah s.w.t. berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam al-Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul-Qadr itu? Lailatul-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadr 97: 1-5)

Allah s.w.t. telah mengkhususkan satu surah di dalam al-Quran, bagi menerangkan dan mengingatkan kita berkenaan Lailatul-Qadr atau malam al-Qadar ini. Di dalam kitab al-Durril-Manthur, melalui sumber Hadrat Anas r.a., Rasulullah s.a.w. telah menyatakan bahawa malam al-Qadar ini hanya diberikan oleh Allah s.w.t. kepada umat baginda sahaja. Alangkah besarnya nikmat ini dan alangkah tingginya ihsan Allah kepada umat yang bongsu ini!

Pada kesempatan yang lain, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa kemuncak kepada kemuliaan yang akan diperolehi oleh seseorang hamba yang tekun beribadah pada malam al-Qadar ini ialah, mendapat keampunan total terhadap segala dosa, yang menyebabkan seseorang itu menjadi bersih sebersihnya.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang mendirikan ibadat pada malam al-Qadar (Lailutul-Qadr) dengan penuh keimanan dan ihtisab (yakni ikhlas mengharapkan ganjaran daripada Allah), diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Amatlah malang jika kita yang diizinkan bertemu dengan tetamu Ramadhan yang penuh barakah, hanya membiarkan Lailatul-Qadr berlalu tanpa kita mendapatkan manfaat kerohanian yang melimpah ruah dan penuh keagungan ini. Satu kerugian yang tidak dapat dibayangkan!

Hadrat Anas r.a. berkata, “Telah masuk bulan Ramadhan, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terhalang daripadanya telah terhalang daripada seluruh kebaikan, dan tidaklah terhalang daripada kebaikannya melainkan seseorang yang benar-benar rugi.” (HR Ibnu Majah)

Bagaimanapun Lailatul-Qadr bukanlah suatu yang diperolehi dengan hanya kebetulan. Bedasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. di atas, terdapat dua syarat bagi membolehkan kita benar-benar mendapat kelebihan dan keistimewaan Lailatul-Qadr, iaitu iman dan ihtisab.

Oleh itu, kita perlulah mengusahakan dua perkara ini, sebelum Ramadhan itu tiba. Iman dan ihtisab ialah pra-syarat utama untuk menikmati kemanisan dan kedamaian rohaniah Ramadhan al-Mubarak dan Laillatul-Qadr. Iman menuntut untuk kita benar-benar merasai keesaan Allah s.w.t. dan betapa hanya Dialah Tuhan, tiada tuhan melainkan Dia. Dialah Allah. Sang Pencipta segala sesuatu. Hanya Dialah Sang Pencipta, selain daripada-Nya semuanya adalah makhluk yang diciptakan. Dialah Allah, Yang Maha Sempurna Zat, Sifat, Af’al dan Asma’-Nya. Dialah Allah yang Maha Mutlak Kudrat dan Iradat-Nya. Dialah Allah, Yang Maha Memerhatikan segala gerak geri hamba-hambaNya. Tidak gugur sehelai daun, melainkan hanya dengan izin Allah. Tidak bergetar seheali daun di tengah rimba, melainkan segala getaran itu di dalam perhatian Allah. Dialah Allah, yang telah menyatakan bahawa rahmatNya meliputi segala sesuatu, yang keampunanNya mendahului kemurkaan.

Maka Allah yang sama inilah yang akan sentiasa melihat dan memerhatikan Ramadhan kita. Yang sentiasa menanti ketaatan dan kepatuhan hamba-hambaNya menunaikan perintahNya. Dialah Allah yang menyaksikan, betapa hamab-hambanya bersungguh-sungguh berlumba antara satu sama lain dalam mencari dan mencapai keredhaanNya. Betapa bersungguh-sungguhnya mereka mengabdikan diri semata-mata kerana meyakini janji-janjiNya. Mereka melakukan segala ibadah dan ketaatan, semata-mata ihtisab dengan janji Allah. Allah! Tuhan mereka, Tuhan langit dan bumi. Tuhan yang Maha Esa, “La ilaaha illalLah!”

Manifestasi keimanan dan ihtisab ini telah dtunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat di dalam kehidupan mereka, lebih-lebih lagi dalam kehidupan Ramadhan mereka. Pagi dan petang Ramadhan mereka, siang dan malam Ramadhan mereka, segalannya menunjukkan apakah yang dikatakan berpuasa pada siangnya dan mendirikan ibadat pada malam Ramadhan itu. Kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat adalah neraca kita dalam menilai dan memandu Ramadhan kita.

Maka bagi mendapatkan manfaat dan segala kemuliaan yang terkandung di dalam Ramadhan dan Lailatul-Qadr khususnya, maka antara sunnah paling utama ialah beriktikaf di masjid. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan bagaimana kesungguhnya baginda untuk beriktikaf secara sepenuh masa di dalam bulan Ramadhan. Inilah amalan yang menjadi syiar utama Ramadhan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. pernah beriktikaf sebulan penuh di dalam bulan Ramadhan. Ada tahunnya, Rasulullah beriktikaf selama 20 hari. Pada tahun wafatnya baginda, baginda telah beriktikaf selama 20 hari. Oleh kerana beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. maka ulama menyimpulkan bahawa amalan ini ialah sunat muakkadah. Kesungguhan beriktikaf ini dapat dilihat, sehingga Rasulullah s.a.w. mendirikan khemah di dalam Masjid Nabawi untuk baginda beriktikaf. Dan alangkah malangnya, inilah amalan yang paling kita abaikan di tanah air kita.

Marilah kita teguhkan himmah kita, untuk melakukan yang terbaik bagi tahun ini. Semoga taufik Allah, sentiasa bersama kita.

3 comments:

nur said...

Assalamualaikum wbt,

Ustaz, diputrajaya ne, di mana boleh dpaatkan produk HPA?
Agak sukar nak dapatkan bila ianya tidak dijual di pasaraya / kedai runcit.

terima kasih

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

nur,

Boleh hubungi stokis en Muin: 013-2314837

tk, wslm.

nur said...

terima kasih :)

Blog Widget by LinkWithin