Alhamdulillah, Majalah Dakwah Isu05 telah selamat diterbitkan. Saya sertakan di sini artikel saya di dalam kolum Zihin Mukmin. Semoga muzakarah yang berterusan mengenai iman, akan menjadi tazkirah untuk diri saya. Dan semoga tazkirah ini, meresap ke lubuk hati menjadi az-Zikra. Sebagaimana firman Allah:
وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى(*) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى
"Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan (az-Zikra) itu memberi manfaat kepadanya." ( Surah 'Abasa 80: 3-4)
Semoga ada manfaatnya.
Iman bukanlah perkara yang kekal jumud tidak berubah. Iman adalah kualiti hati. Kualiti yang akan menentukan pula kualiti seluruh amalan dan tindak-tanduk kita. Akidah Islam mengajarkan bahawa iman bagi manusia biasa boleh bertambah dan berkurang. ‘Yazid wa yanqus!”
Oleh itu, para ulamak di dalam bidang dakwah dan islah ummah menyatakan, adalah sangat penting untuk kita sentiasa memuhasabahkan keadaan iman kita. Bagi memungkin muhasabah itu dilakukan, maka sangat penting untuk meneliti sifat-sifat iman. Al-Quran dipenuhui dengan dakwah keimanan dan penerangan tentang sifat-sifat keimanan. Di awal penulisan ini, kita telah memetik satu ayat al-Quran yang telah memerikan satu standard tentang antara sifat-sifat imaniah yang perlu kita miliki.
Allah s.w.t. berfirman:
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَٰناً وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah al-Anfaal 8:2)
Kita telah membicarakan tentang sifat pertama mereka yang sempurna imannya, iaitu hati mereka cukup terkesan apabila nama Allah disebutkan. Rasa agung dan besarnya Allah itu bukan sekadar membekas di dalam pemahaman sahaja, tetapi merebak menyelinap ke seluruh urat darah dan salur-salur nadi mereka. Bagaikan besi berani, hati mereka akan cukup terkesan apabila nama Allah dibicarakan. Apabila sifat-sifat Allah dimuzakarahkan. Apabila janji-janji Allah diulang-ulang.
Seterusnya, bagi mereka yang beriman, Allah s.w.t. menyatakan bahawa apabila ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka, maka keimanan mereka akan bertambah. Imam asy-Syaukani di dalam kitab tafsir Fathul-Qadir beliau menyatakan, Hadrat Ibnu Abbas r.a. menyatakan bahawa maksud ‘bertambah keimanan’ di sini ialah bertambahnya pembenaran terhadap Allah s.w.t. Manakala ar-Rabii’ bin Anas pula menyatakan, ayat ini bermaksud, bertambah rasa gerun terhadap kehebatan Allah s.w.t.
Bagi mereka yang benar-benar beriman, untuk mendengar ayat-ayat Allah dibacakan dengan erti kata disampaikan kandungannya, itu sahaja pun sudah memadai untuk menyebabkan kualiti keimanan mereka bertambah. Bukan mereka tidak beriman sebelum ini, tetapi kualiti keimanan merekalah yang telah dipertingkatkan.
Sebagai satu tamsil mudah, jika kita ditanya oleh seseorang, “Tuan ada duit ‘tak?”
Kebetulan dalam poket kita ada 10 sen. Apakah jawapan yang sepatutnya kita berikan? Jika kita jujur, maka kita mestilah menjawab, “Ya, saya ada duit. Tapi 10 sen saja!”
Kenapa? Ini disebabakan 10 sen itu pun duit yang diakui sah sebagai mata wang. Cuma nilainya amat kecil. Apa agaknya yang dapat kita beli dengan wang bernilai 10 sen pada hari ini?
Bagaimana pula jika kita ada RM10.00? Atau RM100.00? Atau RM1,000.00?
Semua kita setuju, itu juga duit, sama seperti syiling 10 sen tadi. Namun begitu, nilainya amat berbeza sekali. Nilai 10 sen dan RM10.00, apa jauh bezanya. Apatah lagi jika dibandingkan dengan nilai RM1,000.00! Walaupun semuanya adalah wang, tetapi kita faham betapa berbeza nilainya. Apabila nilainya berbeza, maka manfaatnya juga berbeza.
Begitu juga nilai iman. Kita semuanya beriman, tetapi apa yang lebih kita perlu perhatikan ialah sejauhmana nilai iman kita. Bagi mengukur nilainya tadi, kita perlu merujuk kepada sifat-sifat iman dan juga contoh-contoh keimanan generasi yang telah diperakui keimanan mereka oleh Allah s.w.t, iaitu para nabi dan para sahabat Rasulullah s.a.w. Al-Quran dipenuhi dengan cerita dan rakaman peristiwa berkenaan dua golongan insan pilihan ini.
Ada satu kisah yang masyhur dari kalangan sahabat. Hanzalah r.a. bercerita, “Pada suatu ketika, kami berada dalam majlis Rasulullah s.a.w. Baginda telah menyampaikan satu khutbah yang menyebabkan hati-hati kami menjadi lembut dan air mata kami berlinangan. Setelah meninggalkan majlis Nabi s.a.w., saya terus pulang.”
Hanzalah meneruskan kisahnya bagaimana apabila pula ke rumah, sibuk dengan anak-anak dan isteri. Lalu kesan-kesan majlis Nabi s.a.w. telah semakin hilang daripada hatinya. Ini menyebabkan dia terfikir, kenapa tadi berlainan keadaan hatinya dan sekarang ini keadaan hatinya telah berubah.
Lalu kata Hanzalah, “Ini menyebabkan saya tersangats edih lalu keluar daripada rumah sambil berkata, “Wahai Hanzalah, kemu telah menjadi munafik!”
Kisah ini berterusan sehingga akhirnya Hanzalah telah bertemu dengan Saiyidina Abu Bakar r.a. dan mengadukan keadaan dirinya itu. Akhirnya, mereka telah bertemu Rasulullah s.a.w.
Lihatlah! Bagaimana seorang sahabat, hanya kerana berubah sedikit keadaan hatinya berbanding semasa berada di dalam majlis Nabi s.a.w. dan semasa berada di rumah, sudah cukup untuk beliau mencurigai kualiti dan nilai keimanannya. Mereka menjadi ebgitu sensitive dengan nilai keimanan mereka. Begitu serius hal ini di sisi mereka, cukup untuk membuatkan mereka menangis tersedu-sedu.
Ini disebabkan mereka faham, seseorang yang mati walaupun mempunyai hanya sebesar zarah, baginya syurga yang luasnya sepuluh kali ganda dunia ini; tetapi mereka yang mati tanpa iman yang diterima di sisi Allah, jangankan syurga, untuk mencium bau syurga pun tidak akan dapat!
Bagaimana kita?
2 comments:
Assalam.. nak tanya sikit mengenai gambar.. adakah gambar misalnya gambar kahwin hukumnya haram/makhru/harus/sunat/wajib jika digantung di bilik/rumah.. bagaimana pula kalau hanya dalam album sahaja.. apakah hukum filem or video dalam tv pula, adakah ianya lebih teruk daripada gambar.. saya baru beli buku masjid itu hidupku, tak habis baca lagi. sebenarnya saya nak jadi orang yang bertaqwa spt hadis nabi dalam buku ustaz itu.. sblm ini saya ada bertanya kepada ahli annurbpk.. sblm tu, saya mohon maaf terutamanya apabila tak beradap dalam bertanya dll kerana saya kurang dlm ilmu adap sopan santun. (menyesal selepas berbuat sesuatu kerana tak beradap)#kurang bijak.
apakah malaikat rahmat tu tak masuk di tempat yang ada gambar sahaja, klu dlm bilik takde gambar/tv so, malikat ble masuk. duk rumah sendiri senang nak buat, duk rumah org tua/mertua agak payah.
Post a Comment