Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, May 26, 2011

"Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman..."

Iman ialah tuntutan Allah s.w.t. kepada kita. Malah iman adalah segala-galanya. Tanpa iman, jangankan untuk memasuki syurga; malah untuk mencium harum syurga sahaja pun tidak akan dapat. Sedangkan wangi syurga itu tersebar harumnya sehingga 500 ratus perjalanan. Zihin (minda) kita perlulah faham perkara ini sejelas-jelasnya. Seterang sinar matahari di siang hari.

Allah s.w.t. dengan rahmatNya yang amat luas, bukan sahaja memerintahkan kita agar beriman, bahkan Allah s.w.t telah mewujudkan sekelompok insan pilihan sebagai contoh ikutan dalam keimanan kita. Kita perlu sedar, kita ini bukan lagi umat akhir zaman, bahkan kita adalah umat hujung akhir zaman.

Selain golongan para Rasul dan Nabi yang maksum; ada sekelompok lagi insan pilihan yang telah dijadikan benchmark oleh Allah untuk kita semua. Allah tidak meninggalkan kita terpinga-pinga untuk mengetahui bagaimanakah caranya untuk kita beriman kepada Allah? Apakah sifat dan kriterianya? Macamana contoh praktikalnya?

Semuanya telah disediakan oleh Allah. Allah s.w.t. menceritakan rentetan usaha dakwah Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda. Allah s.w.t. berfirman:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman.” (Surah al-Baqarah 2: 13)

Ayat ini merupakan sebahagian daripada ayat-ayat yang menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w. berbicara dengan kaum baginda. Dialog dan seruan yang terjadi antara mereka. Rumpunan ayat-ayat ini menunjukkan, Rasulullah s.a.w. berdakwah secara langsung dengan umat baginda. Inilah sunnah dalam mendakwahkan agama. Setiap lorong telah baginda susuri. Setiap pintu rumah diketuk. Mata bertemu mata. Dari hati menuju ke hati.

Imam at-Tabari memberikan komentar mengenai ayat ini dengan memetik pendapat Ad-Dahhak yang mengambilnya daripada Ibnu Abbas r.a., bahawa yang dimaksudkan dengan “orang-orang itu” ialah para Sahabat radhiyallahu ‘anhum. Imam asy-Syaukani pula menyimpulkan anjuran beriman sebagaimana “orang-orang itu” beriman merujuk kepada golongan Sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar.

Maka jelaslah di sini, para Sahabat telah dijadikan contoh dalam keimanan dan kehidupan yang dipenuhi dengan cahaya iman. Malah Allah s.w.t telah memuji dan mengisytiharkan keredhaanNya terhadap para Sahabat. Biarpun mereka bukan maksum, tetapi mereka adalah kelompok insan pilihan yang telah berjaya membuatkan Allah s.w.t. ‘jatuh hati’ dengan mereka. Allah Taala memuji mereka serta memerintahkan orang-orang selepas mereka agar mengikuti para Sahabat ini:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah 9: 100)

Jelas melalui ayat ini, jalan paling pantas dan mudah untuk kita mencapai redha Allah ialah melalui ittibaa’ (menuruti dan mengikuti jejak) para Sahabat. Di dalam Kitab Tafsir Bayanul-Quran dinyatakan, klausa “orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik” itu masih terbuka hingga ke hari kiamat.

Oleh yang demikian, cara yang paling bijak untuk kita mulakan usaha kita ke atas iman ialah berkenalan dengan lebih rapat dengan para Sahabat. Apabila golongan akhir umat ini memisahkan diri mereka daripada golongan para Sahabat yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka, maka kehinaan demi kehinaan mula menimpa umat ini. Kemuliaan keimanan akan kembali kepada kita, hanya apabila kita kembali mendampingi peribadi-peribadi hebat para Sahabat.

Cuba kita senaraikan, berapa orang nama Sahabat Rasulullah s.a.w. yang kita tahu? Cubalah senaraikan…

1 comment:

مسافر اسلام said...

Assalammualaikom wtb ya Ustaz. Khaifahaluka. Allhamdullah sedikit ilmu untuk kami. Jika untuk dibicarakan tentang iman, ia pasti tidak akan habis sehinggakan hari kiamat. Masukan fikir Nabi Muhammad saw diri kita, InsyaAllah.

JazakaAllah

Blog Widget by LinkWithin