Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, May 24, 2011

"Siapakah teman majlis yang paling baik?"

Abu Ya’la telah mengeluarkan riwayat ini daripada Hadrat Ibnu ‘Abbas r.a.huma, beliau mencerita; telah ditanyakan, “Ya Rasulullah s.a.w.! Teman duduk-duduk kami yang manakah paling baik?”

Sabda baginda, “Dia ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah (apabila kamu) melihatnya,; dan bertambah pada ilmu mu (apabila mendengar) perbicaraannya; dan mengingatkan kamu kepada Allah (apabila melihat) amalannya.”

Imam al-Munziri menyatakan bahawa kesemua rantaian periwayat hadis ini adalah sahih kecuali Mubarak bin Hassaan. Bagaimanapun Mubarak ini telah diriwayatkan daripadanya oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Adabul-Mufrad dan juga oleh Ibnu Majah di dalam kitab Sunan beliau.

Baiklah! Bukalah mata hati kita. Kita hadirkan diri kita di dalam majlis Rasulullah s.a.w. Kita lihat di sana para Sahabat sedang mengelilingi Rasulullah s.a..w di dalam satu halaqah (lingkaran). Lalu dalam majlis yang begitu mulia ini, seorang sahabat telah bertanyakan satu soalan. Soalan yang begitu ringkas sebenarnya. Namun ringkasnya soalan bukanlah ukuran ketinggian kualiti dan kedalaman maknanya.
Bagi para Sahabat, kesempatan dapat bersama Rasulullah s.a.w. seumpama memasuki lombong emas. Ini adalah saat yang amat berharga. Saat yang mereka sanggup tebus dengan nyawa mereka sendiri. Saat mereka disirami limpahan nur Rasulullah s.a.w. Saat tika mata mereka dapat menatap wajah suci Rasulullah s.a.w. yang bercahaya. Saat ketika telinga mereka dapat mendengar sabda-sabda suci Rasulullah s.a.w.
Maka dalam kesempatan ini, mereka telah bertanya, siapakah teman majlis yang paling baik. Ungkapan ‘yang paling baik’ maknanya ‘yang paling afdal’. Mereka bertanya siapakah teman yang paling afdal untuk mereka duduk-duduk bersama dalam sesuatu majlis. Majlis bersama siapakah yang paling tinggi fadilatnya.

Lalu Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan, sifat-sifat orang yang patut mereka dampingi dan sertai majlisnya. Di dalam kitab Hasyiah at-Targhib dijelaskan maksud teman majlis yang baik itu ialah “orang yang mengingatkan kamu kepada Allah (apabila kamu) melihatnya” bahawa seseorang yang apabila kamu melihatnya menyebabkan lidah kamu mula menuturkan zikrullah, bertasbih, bertahmid dan ber’tamjid’ kepada Allah s.w.t. Ini berlaku disebabkan keelokan sifatnya, kewarakannya serta ketakwaannya.
Beginilah tarbiah Rasulullah s.a.w. kepada para Sahabat baginda. Begitu halus dan tinggi hikmahnya. Baginda tidak menjawab, “Sayalah teman majlis yang terbaik!”.

Sebaliknya, memadai baginda hanya menyenaraikan ciri-ciri teman majlis yang hebat:
1) Memandangnya, sudah cukup menyebabkan kita teringat kepada Allah;
2) Mendengar perbicaraannya, menyebabkan ilmu dan kefahaman kita kepada agama bertambah; dan
3) Melihat amalannya, menyebabkan kita teringat kepada akhirat.

Apabila para Sahabat mendengar ciri-ciri dan sifat-sifat yang hebat ini, mereka tahu itulah sebenarnya sifat yang ada pada diri baginda. Namun, apabila Rasulullah s.a.w. memperincikannya, ini lebih memudahkan lagi para Sahabat untuk menanggap dan memahaminya. Malah, jawapan Rasulullah s.a.w. ini sebenarnya adalah satu targhib (galakan dan dorongan) agar mereka berusaha untuk mewujudkan sifat-sifat insan yang terbaik ini dalam diri mereka.

Para Sahabat amat suka untuk mengadakan halaqah-halaqah di dalam masjid. Sama ada halaqah itu dibuat sesama mereka, mahupun bersama Rasulullah s.a.w. Melalui halaqah-halaqah di dalam masjid yang sebegini, mereka telah mendalami ilmu agama dan kefahaman agama.

Qurrah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda duduk di dalam masjid, maka para Sahabat akan duduk mengelilingi baginda dalam bentuk halaqah-halaqah. (Hadis riwayat al-Bazzar).

Semoga Allah, menjadikan diri kita juga cinta untuk duduk-duduk di dalam masjid bersama mereka yang mampu menyebabkan hati kita menjadi hidup!


Nota: Artikel ini telah disiarkan dalam kolum bulanan Majalah SOLUSI Bil. 31

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum ustaz...syukran jazilan ats p'kongsian yg ustaz bgi..

Blog Widget by LinkWithin