Alhamdulillah, berbaur antara rasa kerdil-diri dan rasa syukur yang amat dalam kepada Allah Azza Wa Jalla, pagi tadi selamat tiba di KLIA daripada safar selama 15 hari untuk Umrah dan Ziarah.
Selama dua minggu juga, saya tidak dapat kemaskini blog ini. Selama dua minggu di dua Tanah Suci, tempohnya terasa amat singkat. Dua minggu yang amat manis. Suasana yang dipenuhi dengan kesibukan bertawajuh kepada Allah SWT. Setiap hari adalah hari-hari yang membuatkan hati semakin rindu kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Sungguhpun agak sibuk sebagai pembimbing bersama jemaah Umrah YAKEB, tetapi itu semua tidak menghalang maksud safar Umrah saya. Malah memberi peluang untuk bersilaturahim dengan bekas-bekas atlet negara. Satu peluang yang amat disyukuri.
Keindahan Makkah dan Madinah begitu juga Masjidil-Haram dan Masjid Nabawi bukanlah kerana binaan fizikalnya, tetapi kerana aura kerohanian yang ada. Satu kemuliaan dan kekaguman rohani yang tidak dapat diperikan oleh kata-kata. Bak kata sebahagian besar ahli jemaah YAKEB, "tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan mereka." Sebenarnya, safar Umrah ini ialah safar hati. Hanya hati yang hidup dan bercahaya yang akan mengecapi kelndahan dan kemanisan berada di sana. Bersama dengan jemaah YAKEB ini, saya menyaksikan ketulusan dan betapa polosnya keikhlasan mereka. Ini sering membuatkan saya merasa kerdil dan airmata begitu mudah mengalir.
Baik di Makkah atau Madinah, semuanya mempunyai semacam cahaya yang tersendiri. Cahaya tadi akan menyuluh hati-hati yang datang, sesuai dengan tahap hati tadi. Semuanya akan merasa terpanggil. Semuanya akan merasai kesyahduan menyebut nama Allah dan berselawat kepada Rasuluyllah s.a.w. Hati yang disapa oleh cahaya ini akan terdorong untuk merasai betapa hampirnya mereka dengan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a..w Lalu mereka semua akan berusaha untuk memuaskan kerinduan ini dengan bertaqarub kepada Allah. Hati yang dilimpahi cinta akan rindu untuk bertemu dengan yang dicintai. Kecintaan yang semakin mekar di Makkah dan Madinah ini akan melahirkan rasa rindu yang tulus. Rindu ini akan menggelorakan jiwa pemiliknya, untuk bertemu dengan yang dirindui. Gelora keimanan inilah yang akan mendorong seseorang untuk beribadah sebaik dan semampu mungkin. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (al-Kahfi 18: 110)
Semoga Allah menerima Umrah ini. Allah jadikan Umrah ini sebagai andalan untuk menjemput saya sebagai tetamu bagi menunaikan haji pada musim 1432H ini. Mohon kesudian pengunjung blok semua untuk mendoakan saya yang faqir ini....
No comments:
Post a Comment