Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, September 21, 2011

Usaha yang kecil, tetapi ganjarannya terlalu agung dan besar.

Daripada Ibnu ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada ‘Abbas ibni Abdul Muttalib, “Wahai ‘Abbas, wahai bapa saudara ku! Mahukah aku berikan kepada kamu sesuatu? Mahukah aku berikan sesuatu yang kamu boleh mengambil manfaat daripadanya? Mahukah aku khabarkan kamu sesuatu? Mahukah aku lakukan kepada mu sepuluh perkara yang bila kau lakukan perkara itu Allah akan ampunkan dosa-dosa engkau. Dosa-dosa yang terdahulu mahupun dosa yang terkemudian, dosa yang lama mahupun dosa yang baru; dosa-dosa yang dilakukan tanpa sedar mahupun yang dilakukan dengan sengaja; dosa yang kecil mahupu yang besar; dosa yang tersembunyi mahupun dosa yang nyata; iaitu (hendaklah) engkau dirikan solat sebanyak empat rakaat. Pada setiap rakaat dibaca al-Fatihah dan surah. Setelah selesai bacaan surah, ketika engkau masih berdiri maka bertasbihlah:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَإِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ اللهُ أَكْبَرُ

Sebanyak 15 kali. Kemudian dalam rukuk 10 kali, sesudah bangun dari rukuk 10 kali, semasa sujud pertama 10 kali, semasa duduk antara dua sujud 10 kali, semasa sujud kedua 10 kali dan sesudah bangun dari sujud yang kedua 10 kali. Ini berjumlah 75 kali. Dilakukan sedemikian dalam empat rakaat. Jika mampu, lakukanlah sekali pada setiap hari, jika tidak maka sekali pada setiap hari Jumaat, ataupun sebulan sekali, jika tidak maka setahun sekali. Sekiranya inipun engkau tidak dapat lakukan, maka kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.”

(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan at-Tirmizi)

Solat ini dinamakan sebagai solat tasbih. Jumlah tasbih yang diungkapkan untuk empat rakaat ini ialah sebanyak 300 tasbih. Fadilat dan kepentingan solat ini begitu jelas ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. di mana amat digalakkan supaya solat ini dapat dilakukan setiap hari. Sekiranya tidak mampu, sepaling lemahpun hendaklah dilakukan sekali dalam seumur hidup kita.

Cuba kita lihat, mukadimah Rasulullah s.a.w. sebagai pembuka bicara sebelum menganjurkan dan mengajarkan kepada Saiyidina ‘Abbas r.a. berkenaan solat tasbih ini. Rasulullah s.a.w. telah memulakan dalam bentuk pertanyaan yang mana jawapannya akan dijawab oleh Rasulullah s.a.w.. sendiri. Seterusnya pertanyaan itu diiringi dengan fadilat dan kelebihan solat tasbih ini. Ini adalah manhaj tarbiah yang amat berkesan untuk menyuburkan rasa kepentingan kepada apa yang akan dianjurkan nanti.

Diberitakan di dalam kitab ‘al-Mirqat’ bahawa Hadrat Abdullah ibnu ‘Abbas r.huma mengerjakan solat tasbih ini pada setiap hari Jumaat. Manakala al-Baihaqi menukilkan bahawa seorang ulama besar dari kalangan Tabi’in iaitu Hadrat Abu Jauza rah.a menunaikan solat tasbih setiap hari pada waktu Zohor.

Lihatlah, hanya melalui empat rakaat yang sederhana; dihiasi dengan tasbih yang sederhana dan mudah; tetapi kesan dan impaknya amatlah dahsyat lagi menakjubkan, iaitu pengampunan dan penghapusan segala dosa. Apa sahaja bentuk dosa yang seseorang itu boleh jadi terlibat; ditawarkan pengampunan total oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya ini adalah satu rahmat Allah yang terlalu agung buat umat kekasih-Nya, Muhammad s.a.w.

Usaha yang kecil, tetapi ganjarannya terlalu agung dan besar. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, anak Adam mana yang tidak melakukan khilaf dan dosa? Maka tawaran pengampunan dosa melalui solat tasbih ini adalah antara kurniaan Allah Taala yang tiada taranya untuk kita. Jika insan-insan hebat seperti Saiyidina ‘Abbas dan Saiyidina Ibnu ‘Abbas r.huma bersungguh-sungguh melakukannya, apatah insan kerdil dan banyak dosa seperti kita ini; tentulah lebih-lebih lagi perlu mendapatkan pengampunan dosa-dosa melalui solat tasbih yang hebat ini.

Apa kata iman kita?

3 comments:

Anonymous said...

berkenaan solat tasbih rasulullah saw tidak pernah mmelakukan. ada pun hadis2 yg menganjurkan tidak shahih mahu hassan.minta penjelasan ustaz besrta nas...

School Of Tots said...

Pahala jadi rebutan. Dosa jangan dipandang ringan. Terima kasih atas perkongsian ini.

Gunawan Aziz said...

Anonymous,

perkara ini adalah masalah khilafiah.. malah martabat hadis berkenaan solat atsbih ini juga tidak sepakat.. maknanya juga khilafiah.. jika ada ulamak yg mengatakan hadis tersebut tidak sahih atau hasan; maka ada juga ulamak yg menghasankannya.. jadi kita nak menidakkan pendapat yg mengatakan bahawa rasulullah s.a.w. menganjurkannya, tidak boleh secara total... itu menyalahi adab ikhtilaf ar-ra^yi.

sy bukanlah seorang yg layak utk mentahqiq masalah khilafiah sebegini. Mmg diakui ia adalah masalah khilafiah.

Solat sunat Tasbih ini asalnya dari hadis nabi saw yg diriwayatkan dari pelbagai jalur sanad. Imam Abu Daud, Ibn Majah, Tabarani dan Ibn Khuzaymah meriwayatkan dari Ibn Abbas ra; adDaruqutny dari jalan Ibn Abbas dan Abu Rafi'; atTermidzi dari jalan Abu rafi', alHakim dari Ibn Umar ra, dan Abu Daud ada juga meriwayatkan dari jalan Ibn Amru. Ia menjadi khilaf kerana ada bantahan dari sebahagian ahli ahli hadis, antaranya Ibn Jawzi (alMawdhu'at 2/143), alhafeedz alUqaili dan Imam alQadhi Ibn Araby. Imam hadis yg berpendapat solat Tasbih sunnah ialah Imam Syuyuti, anNawawi, alHafedz alMunziri, alhafeedz Ibn Hajar. nama-nama ini sahaja sudah cukup bg kita menghormati khilafiah ini...

Saja sy nak sebut kat sini, tetapi bukanlah sbg hujah atau nas, hatta ulama spt syaikh al-albani (Sahih Sunan atTermidzi 1/398 dan Sahih Sunan Ibn Majah 1/1138) menetapkan solat Tasbih ini sunnah bukan bid'ah dan hadis2 tersebut adalah thabit. beliau kata: taraf hadis ibnu abbas tu SOHIH LI GHAIRIH..

wallahua'lam.

Blog Widget by LinkWithin