Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, August 5, 2009

Artikel untuk SOLUSI Bil. 10

Alhamdulillah, artikel saya untuk kolum bulanan di Majalah SOLUSI selamat diterbitkan di dalam Majalah SOLUSI Bil. 10. Letaknya di muka surat 65. Inilah artikelnya:

Wajah mereka tenang. Biarpun bentuk fizikal mereka berlainan, pakaian mereka berbeza dan darah keturunan mereka pelbagai; namun cahaya wajah mereka adalah seakan-akan sama.

Hari ini mereka sama-sama mendengar sabdaan suci Rasulullah s.a.w. dengan penuh khusyuk. Setiap patah perkataan yang terlontar dari mulut Nabi s.a.w. yang Mubarak disambut dengan penuh takzim oleh hati mereka. Nampaknya, hari ini Rasulullah s.a.w bercerita sesuatu tentang syurga dan ahlinya.

Muaz bin Jabal r.a. terpegun apabila mendengar Baginda Nabi s.a.w menjelaskan, “Tidak sesekali ahli syurga akan merasai rasa kesal, melainkan (tatkala mereka teringat) pada saat-saat dalam kehidupan dunia mereka yang telah berlalu tanpa mereka berzikir kepada Allah Taala!”

Hadrat ‘Aisyah r.anha dan Abu Hurairah r.a juga terkesan sama dengan perkhabaran ini.

(Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh At-Tobrani, dan Al-Baihaqi daripada Muaz bin Jabal r.a. Ibnu Abid-Dunya daripada ‘Aisyah r.anha, demikian juga daripada Abu Hurairah r.a. Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Hakim turut meriwayatkannya)

Riwayat di atas, menjelaskan tentang fadilat zikrullah atau berzikir kepada Allah. Betapa besar fadilatnya, hingga ahli syurga yang telah bersenang lenang menikmati kemewahan syurga pun masih timbul rasa kesal mereka mengingatkan sela-sela masa mereka di dunia, yang mereka telah tidak penuhinya dengan zikrullah.

‘Fadhail’ sebenarnya ialah bentuk kata jamak kepada perkataan Arab ‘fadhilat’ ( فضيلة ). Perkataan ini telah dimasukkan dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu dengan ejaan ‘fadilat’. Kamus Dewan menyatakan ‘fadilat’ ertinya kemulian, ketinggian, kelebihan (dalam beribadah).

Al-Quran sendiri dipenuhi dengan ayat-ayat yang menyentuh tentang fadilat sesuatu perkara. Begitu juga dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Fadilat ini boleh merujuk kepada ganjaran dan pahala ( الأجر و الثواب ) mauhupun kesan ( التأثير ) kepada sesuatu amalan atau perkara.

Ada ayat Al-Quran yang Allah Taala turunkan menyentuh tentang fadilat Iman dan Amal secara umum, contohnya firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.” (Al-Kahfi 18: 107-108)

Di dalam Tafsir Adhwa-ul-Bayan dinyatakan, bahawa di dalam ayat ini Allah Taala menyatakan bahawa Iman dan Amal Soleh itu adalah sebab kepada sampainya seseorang itu ke syurga-syurga Firdaus yang disediakan oleh Allah kepada hamba-Nya. Ini jelas menunjukkan bahawa fadilat kepada Iman dan Amal Soleh yang diterima oleh Allah ialah dapat memasuki syurga Allah.

Pada tempat yang lain pula, Allah Taala memberitahu kita fadilat seseorang yang istiqamah membesar-agungkan Allah, menyeru manusia kepada Allah (da’wah ilalLah) dan teguh mempertahankan seruan dan percakapannya:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas perbicaraan mereka itu, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!". Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru(mendakwahkan) kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41: 30-33)

Bagi orang-orang ini, berhaklah kepada mereka fadilat yang besar di sisi Allah (ringkasan daripada tafsir Fi Zilalil-Quran):
1. Persahabatan dengan para malaikat;
2. Kesetiaan dan kasih sayang malaikat kepada mereka;
3. Jaminan ketenangan hati;
4. Pengurniaan Jannah untuk mereka; dan
5. Dakwah ialah perbicaraan yang terbaik di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya fadilat dan tabsyir yang sebeginilah yang telah membentuk keimanan dan misi peribadi Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat Baginda!

3 comments:

Anonymous said...

salam?

harap ustaz masukkan juga artikel sulung deh?
Jazakallah

Anonymous said...

Assalamu alaikum
Saya Aljohan (aldjo.wordpress.com) hari ini berkesempatan bisa sillaturrahim ke blog Pak Cik. Banyak yang harus kami pelajari dari Pak Cik dan teman-teman di Malaysia. Mohon selalu doa untuk kami

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Ano,

Insyaallah.

Aljohan,

Jazakumullah... sudi silaturahmi ke blog kerdil saya.. janganlah lupakan kami di Malaysia ini...

Oh Allah... Satukan hati kami, fikir kami dan usaha kami.. dan terimalah kami...

Blog Widget by LinkWithin