Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, August 30, 2011

Kerdil diri ku terima nikmat ini...

Alhamdulillah… Allah masih izinkan untuk dapat menyempurnakan Ramadhan buat sekian kalinya. Mungkin kualitinya tidaklah sempurna sangat, namun yang ada hanyalah harapan, agar Allah Taala berlemah lembut dengan segala kekurangan tersebut.

Sebenarnya, Ramadhan kali ini amat bermakna sekali. Betapa banyak nikmat-nikmat yang telah Allah SWT ihsankan dan kurniakan. Beberapa hari sebelum Ramadhan, Sdr Bilal telah menghantar kepada saya satu kitab yang saya telah cari sejak tahun 2005 lagi. Semasa saya berpeluang ke New Delhi dan Lucknow, saya cuba cari di Nadwatul-Ulamak. Nampaknya belum rezeki lagi. Melalui Fadhilah al-Musnid al-Ustaz Mohd Syamsul al-Muqri’, saya cuba buat pesanan daripada Mesir. Allah hanya rezekikan saya pada masa itu kitab-kitab tafsir. Semasa saya ke Makkah, saya cuba juga cari di toko kitab di sana, juga tidak ada. Tiba-tiba Allah SWT membuka laluannya bila saya bertemu dengan Sdr Bilal, yang merupakan murid al-Fadhil Ustaz Asmadi (UKM). Akhirnya dengan ihsan Allah, saya dapat memiliki kitab al-Abwab wa at-Tarajim li-Sohihi al-Bukhari karangan Fadhilatusy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddith Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a., Syaikhul-Hadith di Jami’ah Mazahirul-‘Ulum, Saharanpur, India.

Hadrat Syaikhul-Hadith juga adalah pengarang yang sama untuk buku Fadhail-A’mal. Walaupun kitab Fadhail-A’mal ini telah diterima dengan meluas di dunia Islam, namun ada juga segelintir umat yang memandang rendah terhadap kitab ini. Kitab ini dituduh sebagai mengandungi hadith-hadith yang maudhuk. Sebenarnya, kitab Fadhail-A’mal ini dikarang oleh Hadrat Syaikhul-Hadith untuk golongan ‘awamun-naas (orang awam). Disebabkan itu bahasan dari sudut ilmu hadithnya disampaikan dengan ringkas. Fadhail-A’mal bukanlah ukuran sebenar jika kita ingin menilai kemampuan Hadrat Syaikhul-Hadith di dalam bidang ilmiah.

Selain kitab Aujazul-Masaalik yang merupakan syarah kepada Muwattaa’ Imam Malik, maka kitab Al-Abwab wa At-Tarajim li Sohihi al-Bukhari ini adalah satu kitab yang begitu bernilai. Kitab ini adalah syarah kepada bab-bab yang menjadi tajuk di dalam Sahih Bukhari. Menentukan bab dan tajuk dalam kitab yang menghimpunkan hadith-hadith merupakan satu disiplin ilmu yang tersendiri, dikenali dalam kalangan ulama hadith sebagai ‘al-abwab wa al-tarajim’ (topik-topik dan penjelasan-penjelasan). Para ulama mengatakan: fiqhul-Bukhari fi tarajimihi (Fiqh Imam al-Bukhari terdapat dalam tajuk-tajuk yang diletakkannya).

Alhamdulillah, rezeki pada Ramadhan tahun ini, Allah dengan ihsanNya yang melaut luas, telah mudahkan untuk akhirnya dapat juga saya memiliki kitab ini.

Di antara nikmat Allah yang besar bagi diri saya untuk bulan Ramadhan ini ialah apabila menerima pula ijazah dan sanad untuk 40 hadith daripada 40 ulama yang diberikan oleh al-Musnid al-Ustaz Mohd Syamsul al-Muqri’. Dengan penuh rasa kerdil-diri, saya sanggupkan juga untuk menerima sanad ini. Semoga dengan berkat tawajuh Fadhilatul-Ustaz, penerimaan ijazat dan sanad ini membawa manfaat yang besar kepada saya yang faqir ini, jua buat umat keseluruhannya.

Seterusnya, antara kurniaan nikmat Allah Taala kepada saya pada bulan Ramadhan tahun ini ialah apabila dapat meng’attach’kan diri saya dengan jamaah dan rombongan yang bergerak di perkampungan orang asli dalam bulan Ramadhan ini. Ada 15 jamaah yang telah mula bergerak daripada 1 Ramadhan sehinggalah 1 Syawal atau lebih. Mereka telah mengorbankan keseronokan berpuasa dan berhariraya dengan kaum keluarga, demi untuk meninggikan Kalimah Allah. Semoga susah payah mereka berusaha di jalan Allah akan diterima untuk menjadi asbab hidayah untuk seluruh alam dan asbab kemuliaan mereka di sisi Allah Azza Wa Jalla. Saya sempat bersama dengan jamaah yang berusaha di kawasan Endau-Rompin dan Keluang. Kemudian ke Rahang bagi bertemu dengan jamaah yang berusaha di Negeri Sembilan dan Melaka. Seterusnya bergerak ke Dengkil, Sepang. Singgah iktikaf di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling sebelum meneruskan untuk menjengah jamaah yang berusaha di Tasik Banding, Grik. Alhamdulillah…

Akhirnya, pada penghujung Ramadhan kali ini, yakni pada pagi 29 Ramadhan, saya mendapat panggilan telefon daripada Tabung Haji Putrajaya memaklumkan bahawa saya terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Allahu akbar! Sungguh besar kurniaan dan ihsan ini ya Allah! Meskipun keperluan belum begitu mencukupi, tetapi hati ini membulatkan tawajuh dan tawakal ku padaMu ya Allah!

Ya Allah… untuk hamba Mu yang faqir lagi muznib ini, segala kurniaan Mu ini terlalu mahal dan berharga. Walaupun kadang-kadang diri ini terasa malu, namun nikmatMu ini sangat-sangat ku syukuri. Ya Allah, hanya sanya Engkaulah yang kami sembah dan kami sujud; maka hanya kepada Mu-lah kami pasrah dan menyerah! Maka Oh Allah, berlemah lembutlah dengan diri kami….

4 comments:

zarch said...

Saya mengucapkan Selamat Aidil Fitri, semoga ketemu lagi Ramadan ditahun hadapan...

Anonymous said...

Ya ustazi kitab maulana zakaria tu al-abwab.... mmg sukar utk mendapatkannya. Ana pernah berkeliling di karachi (2009)bersama seorang pelajar di mdrsh karachi di area toko2 kitab agama, habis keliling tawaf semua kedai tak jugak jumpa, semua kata dah habis, dah lama tak sampai stok baru. last2 ana potokopi shj daripada seorang plajar je lah. so ana ada yg salinan saje,time tu tgh khuruj. apa2 pon alhamdulillah.

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Anonymous,

Sebab tu la sy rasa syukur sgt bila Allah 'hadiah'kan kitab tu utk sambut ramadhan yg lalu. :-)

Alhamdulillah.

jzk, wslm.

Pak Det said...

Alhamdulillah ustaz...
indah perjalan uataz untuk mendapatkan kitab tu...
dan saya nk ucapkan selamat hari raye maaf zahir batin..
Rakan Blogger

Blog Widget by LinkWithin