Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, May 16, 2010

Warna Kehidupan: Hidupkan semula sesi ta'alim

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/05/13


HARI ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak dan remaja akibat kegagalan kepemimpinan keluarga mempamerkan contoh teladan yang baik di samping tidak banyak keluarga yang memastikan banyak masa perlu diluangkan untuk seisi keluarga demi membolehkan lahirnya keluarga bahagia.

Akibatnya isu keruntuhan moral golongan remaja yang membabitkan kes pembuangan bayi dan ibu bapa semakin galak berlaku, hatta dalam keluarga Melayu yang sepatutnya menunjukkan contoh terbaik memandangkan mereka mewarisi sikap berhemah bangsa Melayu dan beragama Islam. Salah satu warisan berharga pada hari ini yang semakin kurang dipraktikkan dalam keluarga adalah sesi ta’alim di rumah yang bermaksud perkongsian ilmu antara ahli keluarga yang dulunya menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan dalam berkeluarga. Dalam budaya hidup Melayu dulu, ta'alim di rumah suatu perkara biasa kerana ia bukan saja dapat mempertemukan seluruh ahli keluarga, tetapi juga berlangsungnya sesi berkumpul pada waktu malam bagi membolehkan seluruh ahli keluarga mendalami al-Quran dengan ibu bapa sebagai penunjuk.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan mereka dalam jagaannya berada dalam keadaan baik serta mengikut landasan diredai Allah SWT.

“Justeru konsep ta’alim yang menggunakan pendekatan diplomasi penting kerana ia membabitkan usaha mendidik dan membimbing anak muda ke landasan betul agar remaja tahu hala tuju mencapai kejayaan dan mengelakkan kesan negatif dalam mengharungi perjalanan hidup yang penuh cabaran,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Bangi, baru-baru ini.

Baginya sesi ta’alim bukan saja membolehkan berlangsungnya pendidikan ibadah seperti mendidik ahli keluarga kepada pentingan bersolat, berpuasa dan ibadah lain, tetapi turut membuka peluang kepada ayah selaku ketua keluarga memainkan fungsi penting dalam pendidikan keluarga.
“Ayah memperoleh ilmu dan maklumat daripada kuliah atau ta'alim di masjid, bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang diperoleh buat seisi keluarga di rumah.
Dengan ini, bukan saja anak-anak mendapat manfaat, bahkan ibu juga boleh dan seluruh isi keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, pendekatan seperti itu baginya memerlukan usaha berterusan kerana kebanyakan ibu bapa zaman moden sibuk dengan tugas di pejabat dan meletakkan pendidikan anak mereka kepada guru sekolah sehingga ada kalanya generasi muda berasa mereka tidak lagi perlu meluangkan masa bersama-sama keluarga.

“Sama ada sedar atau tidak, sikap mengambil ringan terhadap masalah seperti ini menyebabkan institusi keluarga semakin teruk, walhal banyak pendekatan boleh digunakan untuk menyemarakkan semangat kekeluargaan seperti ditekankan masyarakat zaman dulu.

“Dari segi psikologi, perbincangan berunsur ilmiah di kalangan ahli keluarga menggunakan konsep ta’alim ini boleh mencetuskan keghairahan untuk melakukan sesuatu amal ibadat kerana ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahu diganjari apabila melakukan sesuatu,” jelasnya.

Penulis blog, Muhammad Syukri Rosli pula menganggap ta'alim di rumah mampu memberi kesan kesan besar kepada keluarga Islam kerana pengisian seperti pembacaan al-Quran, perkongsian fadilat amal, ilmu ibadah dan doa serta pengkisahan Nabi adalah usaha jitu dalam mengakrabkan perhubungan sesebuah keluarga.

“Berdasarkan catatan sejarah, keluarga tradisional Melayu, dari kurun ke-15 hingga kurun ke-18, menggunakan kitab sirah terjemahan untuk dibacakan buat seisi keluarga. Antara kitab itu ialah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Dzulkarnain dan Hikayat Nabi Yusuf.

“Selain itu, dalam sesi ta'alim di rumah, anak kecil juga diajar mengenai doa untuk memohon perlindungan, meminta keredaan dan mengharapkan keberkatan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Biasanya doa ini akan diperdengarkan kepada anak-anak secara berulang kali, sehingga anak mampu menghafaz serta mengamalkannya,” katanya yang dididik menggunakan konsep ta’alim.

Baginya konsep ta’alim sudah bertapak sejak zaman kedatangan Islam, tetapi atas nama kemajuan yang dipromosikan oleh orang Barat, nilai agama dan budaya yang diwarisi turun-temurun, terabai satu persatu sehingga menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia terjerumus dalam perangkap gejala sosial yang serius.

“Masalah ini berlaku apabila ahli keluarga tidak lagi mempunyai banyak masa untuk bersama-sama, apatah lagi untuk melakukan sesi perkongsian ilmu dan pendapat. Saya berharap ibu bapa sedar sedar bahawa ta'alim di rumah, bukan saja mengikuti sunnah Baginda SAW, bahkan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

Ulasan saya:

Hari ini banyak keluhan berkenaan keadaan umat yang menyedihkan yang kita dengar dan dilaporkan. Bagaimanapun, amat sedikit jalan penyelesaian yang dibentangkan. Keluhan demi keluhan. Akhirnya timbul rasa putus asa dan seterusnya terlontar perkataan, "Lantaklah... apa 'nak buat, dunia memang 'dah nak kiamat."

Ada juga yang menundingkan jari ke sana ke sini, menyalahkan pihak sana dan pihak sini; berkenaan keadaan masyarakat yang semakin memilukan iman seorang yang benar-benar mukmin. Semunya salah orang dan akhirnya tidak ada satu penyelesaian pun yang dapat diusahakan.

Artikel ini amat kena pada masanya. Pada hemat saya, majlis ta'lim di rumah adalah penyelesaian hakiki kepada kebimbangan dan keputusasaan yang ada. Biarpun gagasan ini kelihatan amat sederhana, dan mungkin dilihat sebagai amat sepele, tetapi sekurang-kurangnya ia membawa sinar di dalam kekelaman zulumat maksiat yang mendominasi umat hari ini.

Amalan majlis ta'lim di rumah merupakan amalan yang hidup di rumah Rasulullah s.a.w. sendiri serta di rumah para Sahabat r.a. Sebagaimana yang diisyaratkan oleh firman Allah s.w.t.:

"Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di Rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan Hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha mendalam pengetahuanNya." (al-Ahzab 33:34)

Apalah malang yang menimpa kita hari ini? Amalan yang begitu jelas diterangkan di dalam al-Quran, telah ditinggal-tinggalkan. Kemudian apabila kerosakan melanda masyarakat, kita berteriak ke sana dan ke sini mengeluh dan merintih kekesalan.

Keyakinan kita kepada sistem yang entah dari mana asalnya, lebih kita yakini berbanding dengan apa yang telah diperintah oleh Allah s.w.t. sendiri, dan dilazimi oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat.

Jika keyakinan itu sendiri telah lemah, apa lagi yang dapat diharapkan tentang amalan?

Semoga Allah berikan kita kefahaman, kekuatan untuk mengamalkan dan juga menyebarkan gagasan majlis ta'lim di rumah ini kepada seluruh umat.

4 comments:

Irwan said...

setuju!! info yg sgt berguna. disamping majlis ta'alim, rutin bermusyawarrah sesama ahli keluarga juga penting...wallahu alam.

Hunny said...

Salam,

Alhamdulillah.. syukur sebab ada abah yang menganjurkan sesi ta'alim sejak kami kecil lagi..entri yang sangat baik dan efektif..

Ziarah76 said...

jgn lupa muzakarah 6 sifat...ingatan buat saya sendiri

Irwan said...

salam. semoga Allah tambahkan lagi nikmat yang te;ah DiturunkanNya kepada keluarga tuan, melimpah ruah ke keluarga dan sedara mara saya pula...Ameen

Blog Widget by LinkWithin